DIANGGAP SEBAGAI SIMBOL SEKS HOLLYWOOD, INI REAKSI STANLEY TUCCI
Aktor The Devil Wears Prada, Stanley Tucci mengakui masih terkejut dan keliru dengan transformasinya daripada seorang pelakon kepada ‘simbol seks penggemar makanan’ sewaktu pandemik Covid-19.
“Saya tidak tahu (bagaimana ia boleh berlaku). Nampaknya orang sangat terdesak, itu saja yang boleh saya katakan,” selorohnya kepada Page Six dalam satu temu bual.
Kehebatan kulinari dan pembuatan koktel Stanley mengujakan jutaan peminat sewaktu perintah kawalan pergerakan pada tahun 2020. Kerjaya barunya itu membawa kepada penghasilan siri dokumentari CNN bertajuk Stanley Tucci: Searching for Italy yang berjaya menggondol anugerah Emmy.
Bukan itu saja, ia turut membawa kepada penerbitan buku memoir What I Ate in One Year (and related thoughts) yang mendedahkan hidangan yang dimasak dan dimakannya, dengan penampilan nama-nama besar seperti Harry Styles, Woody Harrelson dan Raja Charles III. Ia akan dijual di pasaran bermula Oktober 2024.
Pelakon berusia 64 tahun itu berkata, dia tidak menyesal memilih haluan kerjaya ini sejak beberapa tahun lalu, terutama apabila kemahiran kulinarinya membuatkan ramai peminat gembira.
“Pada masa sama saya maih boleh bekerja seperti biasa dan berlakon dalam filem dan televisyen. Bagi saya ia satu kombinasi yang baik,” katanya.
Pergelutan Stanley Tucci Sebelum Menceburi Bidang Kulinari
Dalam buku terbarunya itu, Stanley banyak menulis tentang keluarga dan tahap kesihatannya sejak didiagnos kanser pada 2021. Dia bergelut dengan kanser pangkal lidah sejak 2018 dan terpaksa menggunakan tiub untuk makan semasa menjalani rawatan.
Disebabkan tumor pada pangkal lidahnya terlalu besar, pelakon The Hunger Games ini tidak boleh menjalani pembedahan dan hanya boleh dirawat dengan kemoterapi serta radiasi berdos tinggi.
“Penerimaan anak-anak saya hebat, tetapi ia sesuatu yang sukar buat mereka. Saya terpaksa makan menggunakan tiub semalam enam bulan. Saya hampir tidak berpeluang menghadiri majlis graduasi cahaya mata kembar saya.
“Kanser membuatkan anda terasa lebih takut dan kurang takut pada masa yang sama. Saya berasa lebih matang kini berbanding sebelum didiagnos menghidap kanser. Apa pun yang berlaku, anda perlu terus melangkah maju ke hadapan,” katanya.
Akuinya, dia kini telah sembuh dan lebih menghargai masa bersama isteri, Felicity Blunt dan lima anaknya. Stanley mendirikan rumah tangga dengan kakak kepada Emily Blunt pada 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Dia juga mempunyai tiga lagi cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan isteri pertama Kate Spath-Tucci yang meninggal dunia akibat barah payudara pada 2009.
Foto: Getty Images
Pautan berkaitan: PERKEMBANGAN SAM NEILL SELEPAS DISAHKAN MENGHIDAP BARAH TAHAP 3
Tags
Artikel Yang Berkaitan
“ENAM BULAN SAYA MAKAN MENGGUNAKAN TIUB” – STANLEY TUCCI UMUM MENGHIDAP KANSER
Kanser bukanlah sesuatu yang baharu dalam keluarga Stanley. Dia kehilangan isteri pertama, Kate Spath-Tucci akibat barah payudara sedekad lalu.