Skip to content

FOTO SEKITAR ISTIADAT PERKAHWINAN TENGKU PUTERI AFZAN & FD IDZHAM

FOTO SEKITAR ISTIADAT PERKAHWINAN TENGKU PUTERI AFZAN & FD IDZHAM

Kongsikan artikel ini

Tanggal 22 Ogos 2024 menyaksikan penyatuan dua hati antara Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan jejaka pilihan hatinya, FD Idzham FD Iskandar.

Dengan dua kali lafaz, pasangan sama cantik sama padan itu selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri. Istiadat Adat Nikah berlangsung di Balai Mahkota Istana Abdulaziz, Kuantan sekitar jam 9 malam.

Mufti Negeri Pahang, Datuk Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim diberi amanah menikahkah pasangan Diraja itu selepas mendapat perkenan daripada Sultan Pahang. Majlis akad nikah dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah, lafaz syahadah dan bacaan khutbah.

PERKAHWINAN TENGKU PUTERI AFZAN

PERKAHWINAN TENGKU PUTERI AFZAN

Majlis istiadat itu dihadiri lebih 300 tetamu termasuk jemputan khas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Istiadat Akad Nikah Tengku Puteri Afzan & FD Idzham

Pasangan mempelai ini tampil berseri dalam persalinan serba putih. Tengku Puteri Afzan mengenakan baju kurung sarat sulaman manakala FD Idzham segak dalam baju Melayu sedondon.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pula memilih sepersalinan berwarna kuning Diraja.

PERKAHWINAN TENGKU PUTERI AFZAN

Usai akad nikah, FD Idzham diiring ke kamar khas untuk menunaikan solat sunat. Ini disusuli dengan perarakan Tengku Puteri Afzan ke mahligai pelamin. Majlis diteruskan dengan penyerahan mas kahwin iaitu senaskah Al-Quran.

Kemudian berlangsungnya Istiadat Menyarung Cincin oleh kedua-dua mempelai sebelum Majlis Merenjis yang disempurnakan oleh Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah dan Tengku Hassanal.

Pada istiadat ini, Tunku Azizah tidak dapat menahan sebak dan mencium pipi serta dahi anakandanya beberapa kali. Baginda turut menyentuh bahu FD Idzham dan menitipkan pesanan sebelum beredar meninggalkan mahligai pelamin.

Ibu bapa pengantin lelaki, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Datin Seri Hafizah Mohd Zakaria turut merenjis pasangan mempelai.

Istiadat perkahwinan Diraja ini dijadualkan berlangsung dari 22 Ogos hingga 25 Ogos 2024, Khamis hingga Ahad. Selepas berlangsungnya akad nikah, istiadat akan diteruskan dengan acara berinai pada hari Jumaat dan persandingan pada hari Ahad.

 

Foto: Instagram/Facebook

Pautan berkaitan: KENALI BAKAL SUAMI YAM TENGKU PUTERI AFZAN AMINAH HAFIDZATULLAH