Skip to content

LIAM NEESON LUAH HASRAT BERSARA DARIPADA FILEM AKSI

LIAM NEESON LUAH HASRAT BERSARA DARIPADA FILEM AKSI

Kongsikan artikel ini

Kerjaya Liam Neeson sebagai bintang aksi pujaan ramai mungkin akan berakhir tidak lama lagi.

Dalam satu temu bual bersama majalah People, aktor kelahiran Ireland itu meluahkan hasratnya untuk bersara daripada genre filem yang menjadi tulang belakang kerjayanya selama ini.

Peranannya sebagai Bryan Mills dalam filem Taken pada 2008 melonjakkan namanya sebagai ikon filem aksi. Sejak itu dia sering membawakan watak serupa di layar perak. Malah pada usia 70-an kini, Liam terus melakukan lagak ngeri sendiri dengan bantuan kolaborator aksi Mark Vanselow.

“Saya sudah berusia 72 tahun – ia perlu berhenti pada satu peringkat. Anda tidak boleh memperbodohkan penonton. Saya tidak mahu Mark melakukan aksi pertarungan bagi pihak saya,” katanya.

Foto: Stephanie Branchu

Walaupun Liam masih belum menetapkan tarikh persaraannya, katanya ia mungkin akan berlaku pada tahun 2025. “Mungkin pada hujung tahun. Saya rasa setakat itu saja.”

Filem Aksi Hebat Lakonan Liam Neeson

Sejak kejayaan filem Taken pada 2008, Liam terus menghiburkan penonton dengan karisma dan lagak ngerinya dalam pelbagai filem aksi.

Dia menerajui dua sekual Taken dan turut mempamerkan aksi lincahnya dalam filam Unknown (2011), The Grey (2012), Non-Stop (2014), Run All Night (2015), The Commuter (2018), The Ice Road dan banyak lagi. Projek terbarunya, Absolution akan ditayangkan di layar perak pada November 2024.

Walaupun Liam meluahkan hasrat bersara dari filem aksi pada 2025, buat masa ini dia masih terus melakonkan naskah dengan genre sedemikian. Awal tahun ini dia menerima tawaran filem Hotel Tehran, aksi-seram terbaru daripada pengarah Guy Moshe. Filem ini sudah pun memulakan penggambaran pada akhir musim panas lalu.

 

Foto: Getty Images

Pautan berkaitan: “INI ALBUM TERAKHIR SAYA” – ENRIQUE IGLESIAS UMUM BERSARA?