MILO VENTIMIGLIA BAKAL MENIMANG CAHAYA MATA SULUNG
Kehidupan Milo Ventimiglia dan isteri, Jarah Mariano bakal diserikan dengan kehadiran anak pertama tidak lama lagi.
Khabar gembira itu dikongsikan bersama peminat menerusi satu perkongsian di media sosial baru-baru ini. Jarah yang juga model memuat naik fotonya dengan perut yang semakin membesar di Instagram. Turut kelihatan tangan Milo yang sedang menunjukkan isyarat ‘shaka’.
“Baby on board!” tulisnya di ruangan kapsyen. Bagaimanapun usia kandungan, jantina bayi dan tarikh jangkaan bersalin tidak didedahkan.
Milo Ventimiglia Teruja Mahu Bergelar Bapa
Dalam satu temu bual bersama Us Weekly pada 2017, aktor This Is Us itu berkongsi bahawa dia tidak sabar mahu membina keluarga.
“Ia akan berlaku pada masa yang tepat. Saya tidak terburu-buru mencarinya. Cuma saya tahu apabila waktunya tiba, ia akan hadir dalam ruang hidup saya dengan sendirinya,” ujarnya.
Berita kehamilan ini muncul setahun selepas Milo dan Jarah disatukan sebagai suami isteri dalam satu majlis tertutup di Hawaii. Sempena menyambut ulang tahun pertama perkahwinan, model berusia 39 tahun itu memuat naik beberapa foto hari bahagia mereka berserta kapsyen romantis.
“Tahun lalu saya bergelar isteri kepada kawan baik saya. Tidak ada perkataan yang mampu menjelaskan betapa istimewanya dia di hati saya. Apa yang boleh saya katakan, saya bersyukur dengan kehidupan yang kami lalui bersama dan kebahagiaan yang kami cipta. Aloha wau iā ‘oe suamiku Milo,” tulisnya.
Milo jarang bercakap tentang perhubungan cintanya kepada media kerana tidak gemarkan perhatian. Bagaimanapun dalam satu temu bual pada Februari lalu, dia meluahkan kesyukuran kerana berjaya memiliki hati Jarah.
“Dalam hidup ini cinta hadir dan pergi. Namun pada akhirnya kita akan bertemu insan paling serasi yang memberi inspirasi kepada kita dengan cara berbeza. Saya bersyukur kerana memiliki Jarah dan gembira kerana sudah mengecapi tahap ini. Kehidupan berumah tangga adalah sesuatu yang indah,” katanya.
Foto: Los Angeles Times
Pautan berkaitan: JUSTIN BIEBER SAMBUNG TRADISI KELUARGA MENERUSI NAMA ANAK SULUNG
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.