Skip to content

PERKAHWINAN ABHISHEK BACHCHAN & AISHWARYA RAI GAGAL DISELAMATKAN?

PERKAHWINAN ABHISHEK BACHCHAN & AISHWARYA RAI GAGAL DISELAMATKAN?

Kongsikan artikel ini

Salah satu pasangan popular Bollywood, Abhishek Bachchan dan Aishwarya Rai dipandang tinggi oleh peminat kerana perhubungan mereka yang stabil.

Abhishek dan isterinya yang merupakan bekas ratu cantik dunia telah mendirikan rumah tangga selama 17 tahun. Pasangan itu sering dilihat menghabiskan masa berkualiti bersama anak tunggal mereka Aaradhya Bachchan, 14 dan tidak segan berkongsi kebahagiaan mereka bersama peminat.

Namun begitu mereka juga tidak terlepas daripada khabar angin berkaitan keretakan perkahwinan. Sekali lagi, kehadiran pasangan itu ke majlis perkahwinan mega Anant Ambani dan Radhika Merchant secara berasingan baru-baru ini mencetus spekulasi perceraian.

Foto: Koimoi

Abhishek dilihat hadir ke dewan acara lebih awal bersama ahli keluarga termasuk ibu bapanya, Amitabh Bachchan dan Jaya Bachchan. Aishwarya dan anak mereka pula hadir tidak lama kemudian. Situasi itu mencetuskan rasa janggal sekali gus memberi bayangan bahawa mereka tidak lagi tinggal sebumbung.

Isu Dalaman Rumah Tangga Abhishek Bachchan & Aishwarya Rai

Spekulasi perceraian mereka dikuatkan lagi dengan tindakan Abhishek memberi tanda suka pada satu hantaran di Instagram baru-baru ini. Perkongsian berjudul When Love Stops Being Easy yang dimuat naik penulis, Heena Khandelwal itu berkisar tentang perceraian di kalangan pasangan berusia 50-an.

Bagaimanapun menurut perbincangan netizen dalam laporan Times of India, tindakan itu hanyalah tanda sokongan Abhishek buat Dr Zirak Marker yang berkongsi fakta dalam artikel tersebut. Umum mengetahui pakar kesihatan mental itu adalah kenalan rapat Aishwarya malah mereka pernah muncul bersama dalam rancangan televisyen Jeena Isi Ka Naam Hai tidak lama dahulu.

Ini bukanlah kali pertama keretakan rumah tangga pasangan itu menjadi perhatian. Pada April tahun lalu Aishwarya hadir ke majlis pelancaran Nita Mukesh Ambani Cultural Centre hanya ditemani anaknya. Disebabkan itu, gosip perpisahan mereka hangat diperkatakan di media sosial.

Malah sebelum itu mereka dikatakan sudah pun tidak tinggal sebumbung disebabkan isu dalaman dengan keluarga mentua. Dilaporkan inilah salah satu punca keretan rumah tangga pasangan itu.

Abhishek dan Aishwarya disatukan sebagai suami isteri dalam satu upacara tradisional Hindu pada 20 April 2007. Kehidupan mereka diserikan dengan kehadiran Aaradhya yang dilahirkan pada 16 November 2011.

Aishwarya Rai Abhishek Bachchan

Foto: Bollywoodshaadis

 

Foto: EPA

Pautan berkaitan: PERCERAIAN MENGEJUTKAN ARTIS HOLLYWOOD SEPANJANG TAHUN 2023