Skip to content

RATU CANTIK MALAYSIA, RASHMITA RASINDRAN RANGKUL TAKHTA JUARA MISS CHARM 2024

RATU CANTIK MALAYSIA, RASHMITA RASINDRAN RANGKUL TAKHTA JUARA MISS CHARM 2024

Kongsikan artikel ini

Model dan aktivis sosial, Rashmita Rasindran melakar sejarah apabila dinobat sebagai pemenang Miss Charm 2024.

Dalam pertandingan yang berlangsung di Stadium Nguyen Du, Vietnam, jelitawan berusia 24 tahun itu berjaya menewaskan 35 peserta lain dari seluruh pelosok dunia.

Wakil Australia, Alana Deutsher-Moore dipilih sebagai naib juara manakala wakil tuan rumah, Nguyen Thi Quynh Nga pula berada pada kedudukan ketiga.

RATU CANTIK MALAYSIA, RASHMITA RASINDRAN RANGKUL TAKHTA JUARA MISS CHARM 2024

Foto: Facebook

Rashmita merupakan wakil Malaysia kedua menyertai Miss Charm dan memenangi gelaran itu selepas model dan aktres Kavita Sidhu pada 1990 yang menjuarainya pada edisi pertama.

Rashmita Rasindran Pukau Barisan Juri

Kemenangan anak kelahiran Kuala Lumpur ini sudah boleh dijangka sejak awal lagi selepas dia mempamerkan prestasi cemerlang bermula dari pusingan kelayakan.

Pada pusingan tiga terbaik, Rashmita diminta mengulas tentang pendidikan sebagai platform untuk memerangi ketidaksamaan sosial dalam masyarakat kini. Jawapan yang diberikannya berjaya memikat hati juri.

“Pendidikan seharusnya menjadi sebahagian daripada kehidupan semua orang, kerana ia merupakan platform yang boleh mengubah kehidupan seseorang dari kosong ke hero.

“Saya percaya hanya dengan pendidikan yang merupakan platform berkuasa mampu mengubah hidup seseorang dan memberi impak besar. Saya juga percaya setiap daripada kita dilahirkan untuk melakukan sesuatu di dunia ini dan ia hanya boleh berlaku dengan kuasa pendidikan,” jawabnya.

Foto: Facebook

Rashmita sempat meluahkan rasa teruja kerana dapat membawa pulang mahkota Miss Charm ke Malaysia selepas 34 tahun.

“Saya masih rasa terkejut. Matlamat saya adalah untuk menang, tetapi perjalanan saya tidak mudah kerana peserta lain juga layak sebab mereka semua sangat hebat.

“Saya rasa sangat terharu dan sangat beremosi ketika ini. Kini saya mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai Miss Charm 2024. Saya berharap dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik. Malaysia Boleh!” katanya.

 

Foto: Facebook

Pautan berkaitan: KENALI VICTORIA KJAER THEILVIG, PESERTA DENMARK PERTAMA MEMENANGI MISS UNIVERSE