Skip to content

SELENA GOMEZ & 5 PEMUZIK HOLLYWOOD BERSTATUS BILIONAIR

SELENA GOMEZ & 5 PEMUZIK HOLLYWOOD BERSTATUS BILIONAIR

Kongsikan artikel ini

Nama bintang serba boleh, Selena Gomez memasuki senarai bilionair baru-baru ini.

Menurut Bloomberg Billionaires Index, nilai kekayaan penyanyi berusia 32 tahun itu berjumlah USD1.3 bilion (RM5.6 bilion). Bagaimanapun kekayaan ini bukan datang daripada projek nyanyian atau lakonannya. Lebih 80 peratus diperolehi menerusi jenama kecantikannya, Rare Beauty.

Siapa lagi pemuzik yang menyertai kelab bilionair ini?

 

5. Bruce Springsteen

Foto: Britannica

Pemuzik berusia 75 tahun ini memiliki kekayaan sekitar USD1.1 bilion, menurut Forbes. Menceburi industri muzik sejak enam dekad lalu, Bruce telah menghasilkan 21 album studio, tujuh album secara langsung dan lima EP, serta menjual lebih 140 juta album di seluruh dunia.

Pada 20221, penyanyi yang popular dengan jolokan ‘The Boss’ ini menjual rakaman asal dan hak penerbitan muziknya kepada Sony Music pada harga USD500 juta. Baru-baru ini dia memulakan konsert jelajah Eropah dan UK selama tiga bulan.

Sumber kekayaannya bukan datang daripada muzik yang dihasilkannya tetapi konsert jelajah yang dijayakannya bersama kumpulan E Street Band.

 

4. Paul McCartney

Foto: Getty Images

Menjadi pemuzik UK pertama bergelar bilionair, bintang The Beatles ini dianggarkan memiliki kekayaan berjumlah USD1.3 bilion. Sumber pendapatannya dikhabarkan meningkat selepas Beyonce mempopularkan semula lagu kumpulannya berjudul Blackbird.

Nilai kekayaannya bertambah hampir USD65 juta pada tahun lalu selepas kejayaan konsert jelajah dan peningkatan pada nilai katalog muziknya.

 

3. Taylor Swift

Foto: Getty Images

Pelantun lagu Fortnight ini menyertai senarai bilionair pada awal tahun 2024 dengan nilai kekayaan USD1.3 bilion. Taylor merupakan pemuzik pertama meraih kejayaan itu daripada penulisan lagu dan persembahan pentas. Lebih USD500 juta kekayaannya datang daripada royalti muzik dan konsert.

Konsert jelajah pertama Eras Tour berjaya mengaut keuntungan USD190 juta selepas penolakan cukai. Dia dilaporkan memperoleh USD35 juta daripada dua minggu pertama tayangan filem Taylor Swift: The Eras Tour.

Taylor juga menjana USD500 juta lagi daripada peningkatan nilai katalog muziknya selepas dia merakam semula Taylor’s Version bagi enam album pertamanya. Ini berlaku selepas rakaman asalnya dibeli Scooter Braun pada 2019 dan dijual kepada Shamrock Capital dengan harga USD300 juta setahun kemudian.

 

2. Rihanna

penyanyi bilionair, pemuzik bilionair

Foto: Getty Images

Walaupun tidak mengeluarkan sebarang album sejak 2016, Rihanna memiliki kekayaan bernilai USD1.4 bilion dan majoritinya datang daripada perniagaan. Penyanyi ini memegang 50 peratus saham dalam jenama kecantikannya Fenty Beauty, manakala separuh lagi dimiliki oleh konglomerat LVMH.

Dilancarkan pada 2017, Fenty Beauty menjana lebih USD 100 juta pada dua bulan pertama. Hari ini ia bernilai lebih USD2.8 bilion. Rihanna juga memiliki 30 peratus saham dalam jenama pakaian dalam Savage x Fenty yang bernilai USD270 juta.

 

1. Jay-Z

penyanyi bilionair, pemuzik bilionair

Foto: Getty Images

Penyanyi rap dan penerbit ini merupakan pemuzik terkaya di dunia dengan nilai USD2.5 bilion. Walaupun bergelar salah seorang artis hip hop terlaris sepanjang masa, sumber kekayaannya datang daripada perniagaan bukannya muzik.

Jay-Z mempunyai portfolio aset yang pelbagai termasuk empayar minuman keras Armand de Brignac yang dikenali sebagai Ace of Spades. Juga jenama D’ussé Cognac yang majoriti pegangan sahamnya dijual pada pada 2023.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini juga memiliki pelbagai jenis seni halus termasuk karya Jean-Michel Basqiuat, serta mempunyai saham dalam syarikat terkenal seperti Block dan Uber. Jay-Z juga kekal sebagai individu penting dalam Roc Nation yang diasaskannya pada 2008.

 

Foto: Getty Images

Pautan berkaitan: 5 BILIONAIR DUNIA YANG BIJAK BERGAYA