Skip to content

SIAPA YUSUF DIKEC, ATLET TURKIYE TULAR DI OLIMPIK PARIS 2024?

SIAPA YUSUF DIKEC, ATLET TURKIYE TULAR DI OLIMPIK PARIS 2024?

Kongsikan artikel ini

Nama Yusuf Dikec bukan saja meniti bibir peminat kebelakangan ini, malah turut menjadi meme hangat di media sosial.

Bergaya santai dengan sebelah tangan di dalam poket dan memakai cermin mata biasa, atlet dari Turkiye ini sekelip mata menjadi kegemaran di Sukan Olimpik Paris 2024.

Tanpa peralatan canggih seperti penembak lain, Yusuf berjaya membawa pulang pingat perak dalam acara 10 meter pistol udara berpasukan bersama atlet Sevval Ilayda Tarhan.

Foto: Getty Images

Ayuh ketahui lebih lanjut tentang Yusuf Dikec

 

Latar Belakang

Atlet berusia 51 tahun ini dilahirkan pada 1973 di perkampungan Tasoluk di Goksun, Kahramanmaras. Selepas tamat pembelajaran sekolah rendah di kampung, dia mendapatkan pendidikan sekolah menengah di daerah Goksun.

Pada 1994 dia memasuki Sekolah Ketenteraan Gendarmerie di Ankara. Sebaik tamat pengajian dia dilantik menjadi korporal dan memulakan tugas di Mardin.

Selepas lima tahun, Yusuf memasuki semula Sekolah Ketenteraan Gendarmerie dan tamat belajar setahun kemudian dengan pangkat sarjan. Setelah setahun berkhidmat di Istanbul, dia ditugaskan pula di Jardarma Gucu di Ankara, kelab sukan Turkish Gendarmerie.

 

Penglibatan Dalam Sukan Menembak

Yusuf melibatkan diri dalam sukan menembak pada 2001. Sejak itu dia telah menyertai pelbagai pertandingan sebagai wakil pasukan ketenteraan dan pasukan kebangsaan.

Dek minatnya dalam arena sukan, dia turut mendapatkan pendidikan dalam bidang jasmani dan sukan di Universiti Gazi di Ankara.

Yusuf Dikec

Foto: AA Photo

Selain Olimpik, Yusuf pernah menyertai dan memenangi pelbagai pertandingan antarabangsa. Dia telah beberapa kali menjadi juara kebangsaan dan bergelar juara Eropah sebanyak tujuh kali.

Yusuf memiliki dua gelaran Kejohanan Dunia yang diraihnya pada 2014 selepas memenangi acara 25 meter pistol lelaki dan 25 meter pistol standard lelaki.

 

Penyertaan Sukan Olimpik

Ini bukanlah kali pertama Yusuf mewakili Turkiye dalam Olimpik. Dia pernah menyertai temasya ini sebanyak lima kali namun hanya mendapat perhatian kali ini dek gayanya yang bersahaja.

Yusuf membuat penampilan sulungnya di Olimpik Beijing 2008 ketika berusia 35 tahun. Empat tahun kemudian, dia kembali di Olimpik London 2012 dan mencatat keputusan terbaik pada tempat ke-13 dalam acara 50 meter pistol gaya bebas lelaki.

Bapa kepada seorang cahaya mata ini kemudiannya bertanding di Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020. Pada temasya kelimanya di Paris, dia mencipta sejarah dengan menjadi pemenang pingat Olimpik tertua Turkiye pada usia 51 tahun dan 212 hari.

 

Pengalaman Di Olimpik Paris 2024

Bercakap mengenai aksi menembaknya yang mencuri perhatian ramai, Yusuf berkata walaupun dia kelihatan tenang dan santai, hakikatnya adalah berbeza.

“Itu (gaya santai) adalah posisi paling selesa dan membuatkan tubuh saya stabil. Walaupun nampak tenang di luar, dalaman saya sedang berperang,” katanya menurut laporan agensi berita Anadolu Ajansi.

Foto: MustShareNews

Apabila ditanya mengenai pilihannya untuk tidak mengenakan sebarang peralatan canggih, jawabnya, “Saya tak perlukan peralatan khas. Saya penembak semula jadi.”

 

Foto: Getty Images

Pautan berkaitan: 14 KERABAT DIRAJA YANG PERNAH BERTANDING DI SUKAN OLIMPIK