5 PERKARA YANG LELAKI BOLEH BUAT HUJUNG MINGGU INI UNTUK RESET DIRI
Hujung minggu ialah waktu yang paling sempurna buat lelaki untuk reset diri dengan perkara yang lebih produktif.
Selepas lima hari mengejar deadline, menghadiri mesyuarat dan berdepan dengan rutin yang sama, hujung minggu sepatutnya bukan sekadar masa untuk tidur lebih lama. Ia juga peluang untuk berhenti seketika, menyusun semula fikiran dan kembali kepada diri sendiri. Tidak perlu merancang percutian mahal atau menghabiskan sepanjang hari di spa untuk berasa lebih segar. Kadangkala, beberapa perubahan kecil dalam rutin harian sudah cukup untuk membuatkan kita memasuki minggu baharu dengan tenaga yang berbeza.
Jika hujung minggu ini anda tidak mempunyai sebarang rancangan besar, berikut lima perkara yang boleh dilakukan lelaki untuk memberikan diri ruang untuk reset.
#1 JAUHKAN DIRI DARIPADA SKRIN
Kita menghabiskan terlalu banyak masa melihat skrin. Daripada telefon ketika bangun tidur, komputer ketika bekerja, sehinggalah media sosial sebelum tidur. Jadi, hujung minggu ini cuba letakkan telefon jauh daripada anda untuk beberapa jam. Tidak perlu terus melakukan digital detox selama dua hari. Mulakan dengan perkara mudah seperti tidak memeriksa telefon ketika sarapan, mematikan notifikasi yang tidak penting atau menetapkan satu tempoh tanpa media sosial.
Gunakan masa tersebut untuk membaca buku, mendengar muzik menggunakan vinyl, keluar berjalan atau sekadar menikmati kopi tanpa perlu merakamnya untuk Instagram. Kadangkala, kita bukan perlukan lebih banyak hiburan. Kita cuma perlukan sedikit ruang daripada terlalu banyak informasi.
#2 GERAKKAN BADAN
Reset tidak semestinya bermaksud duduk dan berehat sepanjang hari. Luangkan sekurang-kurangnya 30 minit untuk menggerakkan badan. Pergi ke gim, bermain futsal bersama rakan, berlari di taman atau sekadar berjalan kaki sambil mendengar playlist kegemaran. Tidak perlu menjadikan hujung minggu sebagai sesi latihan paling intensif dalam seminggu. Fokus kepada aktiviti yang membuatkan anda berasa lebih bertenaga dan bukannya lebih penat. Selepas seminggu duduk di hadapan komputer atau terperangkap dalam kesesakan jalan raya, sedikit pergerakan mungkin apa yang badan anda perlukan.
#3 JADIKAN GROOMING SEBAGAI RITUAL
Hujung minggu ialah masa terbaik untuk memberikan sedikit perhatian kepada diri sendiri. Ambil masa untuk melakukan rutin grooming yang mungkin sering anda abaikan sepanjang minggu. Potong kuku, kemaskan rambut wajah, lakukan rutin penjagaan kulit atau luangkan masa lebih lama ketika mandi. Jika sudah terlalu lama tidak ke barber, mungkin ini masa yang sesuai untuk mendapatkan potongan rambut baharu. Begitu juga dengan wangian. Cuba susun semula koleksi minyak wangi dan pilih satu haruman yang boleh menjadi signature anda untuk minggu akan datang. Grooming bukan semata-mata tentang penampilan. Ada sesuatu yang memuaskan apabila kita meluangkan masa untuk menjaga diri sendiri tanpa tergesa-gesa.

#4 KEMASKAN BILIK DAN ALMARI
Jika kepala terasa berserabut, cuba lihat ruang di sekeliling anda. Mulakan dengan perkara kecil. Kemas meja kerja, tukar cadar, susun semula rak kasut atau asingkan pakaian yang sudah lama tidak dipakai. Untuk almari pula, gunakan hujung minggu ini sebagai peluang untuk melakukan sedikit wardrobe reset. Asingkan pakaian yang masih kerap dipakai, yang perlu dibaiki dan yang sudah boleh didermakan. Ruang yang lebih teratur boleh membuatkan rutin harian terasa lebih mudah. Lebih-lebih lagi pada pagi Isnin apabila anda tidak perlu menghabiskan masa mencari kemeja atau sepasang stoking yang hilang entah ke mana.
#5 RANCANG MINGGU YANG BAKAL TIBA
Sebelum hujung minggu berakhir, ambil masa sekitar 15 hingga 20 minit untuk melihat apa yang menanti pada minggu hadapan. Semak jadual kerja, deadline, janji temu dan perkara penting yang perlu diselesaikan. Jika ada tugas besar, pecahkan kepada beberapa langkah kecil supaya ia tidak kelihatan terlalu membebankan. Tetapi jangan jadualkan setiap minit dalam hidup anda. Pastikan masih ada ruang untuk makan tengah hari dengan tenang, bersenam, bertemu rakan atau sekadar berehat selepas bekerja. Produktiviti bukan tentang memenuhi setiap ruang kosong dalam kalendar, tetapi mengetahui perkara yang benar-benar memerlukan perhatian.
RESET, BUKAN REINVENT
Pada akhirnya, hujung minggu tidak perlu menjadi projek untuk mencipta versi baharu diri sendiri. Tidak salah untuk menghabiskan satu hari dengan menonton filem, makan makanan kegemaran atau tidur lebih lama. Reset bukan bermaksud kita perlu sentiasa produktif. Sebaliknya, ia tentang memberi tubuh dan fikiran peluang untuk berehat sebelum kembali kepada rutin.

Jadi hujung minggu ini, cuba pilih sekurang-kurangnya satu perkara daripada senarai ini. Putuskan seketika daripada skrin, gerakkan badan, jaga diri, kemaskan ruang dan bersedia untuk minggu baharu. Kerana kadangkala, perkara paling produktif yang boleh dilakukan seorang lelaki ialah berhenti seketika, dan memberikan dirinya ruang untuk bernafas.
Pautan berkaitan: TREND GROOMING LELAKI YANG AKAN MENDOMINASI HUJUNG TAHUN 2026
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.





