Skip to content

5 KESILAPAN BERGAYA SETIAP LELAKI PERLU ELAKKAN

5 KESILAPAN BERGAYA SETIAP LELAKI PERLU ELAKKAN

Kongsikan artikel ini

Jika mahu dicop lelaki maskulin bergaya, anda perlu sentiasa setapak ke hadapan dari segi fesyen.

Seperti yang GL kongsikan sebelum ini, berpenampilan bergaya bukan semata-mata dengan menyarung pakaian berjenama. Ia memerlukan pengorbanan masa, usaha serta wang ringgit, dan anda perlu komited pada gaya hidup ini.

Bagaimanapun ada beberapa kesilapan yang lelaki biasa lakukan, terutama golongan muda. Salah satunya melabur pada helaian tidak berkualiti, dek kerana tiada bajet untuk berbelanja besar.

Ini beberapa kesilapan berfesyen yang patut anda hindari

1. Terlalu Berusaha

Tidak dinafikan ada lelaki di luar sana yang terlalu mahu menonjol dengan menyarung kot bersama seluar kargo atau menggayakan lebih 10 aksesori dalam satu masa, misalnya. Ingat, less is more. Jika orang memandang anda lebih daripada sekali, bermakna ada sesuatu yang tak kena pada penampilan anda. Pastikan gaya anda ringkas dan ada kelas, pujian akan datang dengan sendirinya.

 

2. Memakai Pakaian Terlalu Besar

Foto: Freepik

Menggayakan seluar longgar atau lengan baju terlalu labuh hanya akan mencacatkan penampilan. Cari tukang jahit berpengalaman untuk mengubah suai pakaian anda yang terlalu besar. Sedikit pengubahsuaian mampu memberi impak besar pada penampilan.

 

3. Menyarung Kasut Murah Dan Tidak Berkualiti

Ramai lelaki di luar sana yang mempunyai asas bergaya yang betul. Jaket muat elok, celana tidak terlalu labuh atau senteng, serta tali leher sedondon dengan kemeja dan sut yang disarungkan. Namun bila sampai bab kasut, amat mengecewakan. Jangan kedekut untuk berbelanja pada kasut mahal kerana ia berkualiti tinggi, justeru tahan lama dan menjimatkan dalam jangka panjang. Juga, jangan lupa membersih dan menggilap kasut agar penampilan anda kelihatan sempurna.

 

4. Poket Terlalu Penuh

Foto: Wirestock/Freepik

Bukan dengan wang ringgit, tetapi dengan barangan seperti dompet, telefon bimbit, kunci, rokok dan sebagainya. Elakkan kesilapan ini! Bonjolan besar hanya akan menarik perhatian yang salah ke bahagian paha anda dan mencacatkan penampilan. Poket yang tidak terlalu padat akan melancarkan pergerakan anda. Juga, lebih mudah dan selesa untuk duduk.

 

5. Lupa Tampil Bergaya Dalam Cuaca Panas

Ada kalanya dalam cuaca terlalu panas, sesetengah lelaki hilang kewarasan dalam bergaya. Seluar pendek atau singlet memang selesa disarung dalam cuaca berbahang seperti di Malaysia. Tetapi ia lebih sesuai ke pantai atau gelanggang tenis, bak kata Tom Ford. Sebaiknya gayakan pakaian daripada fabrik nipis dan ringan seperti kapas serta linen. Anda tetap boleh tampil bergaya dalam apa jua cuaca.

 

Foto: Senivpetro/Freepik

Pautan berkaitan: 10 ASAS TAMPIL BERGAYA SETIAP LELAKI WAJIB TAHU!