4 WANGIAN UNISEKS WAJAR DICUBA
Tahun lalu, kata kunci utama dalam dunia olfaktori ialah ‘uniseks’. Trend utama ini melihatkan lambakan haruman-haruman neutral gender daripada label fesyen ternama. Malah, ramai di kalangan mereka memperkenalkan lebih daripada satu haruman uniseks untuk menambat deria bau anda.
Louis Vuitton hadir dengan tiga wangian uniseks bertemakan jiwa bebas California, yakni Sun Song, Cactus Garden dan Afternoon Swim. Thom Browne, pereka yang sudah sinonim dengan pendekatan gender fluid dalam koleksi-koleksinya, pertama kali melangkah ke dunia wangian dengan melancarkan enam EDP uniseks berasaskan ramuan vetiver. Sebagaimana Versace, dengan enam haruman uniseks mewah di bawah payung Atelier Versace. Tak mahu kalah, Celine pula – di bawah arahan Hedi Slimane – mengeluarkan sebanyak 11 haruman uniseks yang dicipta untuk memenuhi tuntutan siang dan malam. (Kali terakhir Celine tampil dengan haruman baru adalah pada tahun 2011). Belum dikira lagi wangian uniseks daripada Christian Dior dan Gucci.
GL senaraikan 4 semburan neutral gender keluaran 2019 yang wajar anda cuba.
1. Figue Blanche daripada Atelier Versace
Oh, what a scent! Tema kemewahan koleksi ini cukup terasa dalam setiap semburan Figue Blanche. Semarak flora dan buah-buahan yang tidak terlampau manis, tapi menyegarkan – and it smells expensive. Dicipta untuk menggambarkan suasana musim panas di Itali, Figue Blanche kaya dengan gabungan nota buah ara dengan minyak pati buah mandarin dan bergamot Itali, juga lada hitam Madagaskar. Yang didukung adunan kompleks bunga melur, ros, kemenyan, kayu cedar dan ambrettolide.
Dizahirkan dalam botol kaca geometrik hitam buatan tangan dengan penutup emas dihiasi kepala Medusa, lambang signatur jenama. Disimpan pula dalam kotak serba mewah – Versace semestinya pakar dalam produk luxe. Haruman ini sudah pun menjadi antara yang paling laris dari koleksi Versace Atelier. Malah, di kala pelancarannya Oktober lalu, stok Figue Blanche di Kuala Lumpur sold out selepas dua hari jualan.
Figue Blanche, Eau De Parfum 100ml, RM1,490
2. Gucci Mémoire d’Une Odeur daripada Gucci
Sebagaimana rekaan Alessandro Michele untuk koleksi-koleksi Gucci, wujud sesuatu yang unik dan istimewa pada haruman Gucci Mémoire d’Une Odeur. Direka sebagai satu simbol kebebasan berekspresi, tidak mengira gender, usia, warna kulit dan latar belakang, haruman ini mahu menangkap suatu memori. Tak hairanlah rekaan botol, dan juga baunya, punya pesona vintaj yang distingtif. An old world charm for the digital age.
Semarak olfaktori nota kamomil Rom yang dibina daripada kelopak melur Indian coral meminjamkan satu kelembutan, dengan kesturi memberi dimensi, dihangatkan nota sandalwood, kayu cedar, dengan belaian vanila. Baunya seakan-akan secawan teh yang nyaman. Istimewanya, nota jasmine dalam wangian ini adalah eksklusif untuk Gucci. Dipetik khusus di India, aroma bunganya hadir pekat di waktu malam dan menjadi lebih ringan dan segar di siang hari.
Mewakili famili olfaktori baru, yakni aromatik mineral, sifat keindividuan yang dijulangkan Gucci Mémoire mungkin hanya akan memikat individu-individu tertentu yang mahukan sesuatu yang luar biasa untuk mewakili spirit autentik mereka.
Gucci Mémoire d’Une Odeur, Eau De Parfum 60ml, RM320 & 100ml, RM435
3. Spice Blend daripada Christian Dior
Untuk sesuatu yang lebih ‘menyengat’, seperti yang jelas tertera pada namanya, Spice Blend bercirikan aromatik rempah hasil karya pakar olfaktori terkemuka, François Demachy. Permulaannya tajam hasil nota atas rum dan halia, tapi karakter Spice Blend tidaklah sepekat nota pengenalan ini. Kepintaran Demachy terbukti pabila mencapai keseimbangan antara bau yang hangat dengan yang segar dalam Spice Blend. Adunan nota tengah lada hitam, lada merah, kayu manis, buah pala, cengkih dan ketumbar meminjamkan aura eksotik, langsung membuka jalan kepada nota dasar daun bay dan nota kekayuan. Wangian mekar yang sesuai untuk waktu malam.
Spice Blend, Eau De Parfum 40ml, RM395 & 125ml, RM890
4. Afternoon Swim daripada Louis Vuitton
Sebahagian daripada seleksi haruman uniseks pertama daripada Louis Vuitton, Afternoon Swim secara tepat melakarkan senario beriadah di tepi pantai yang indah – it smells like the beach. Dengan sentuhan sitrus daripada jambangan oren Sicily, bergamot dan mandarin yang lebih berdimensi daripada haruman sitrus biasa. Semarak sitrusnya lembut, bukan tajam, hasil gabungan halia dan ambergris. Impresi pertamanya tampil segar dan cerah, sebelum memikat dengan pasang-surut nuansa akuatik yang membuat anda rasa tenang. Haruman ideal untuk hari-hari cerah dan bersahaja.
Pembungkusan wangian Louis Vuitton Cologne Perfumes mengadaptasikan lukisan artis California, Alex Israel pada kotak-kotaknya untuk menghidupkan aura California yang menjadi inspirasi di sebalik koleksi ini, termasuk Afternoon Swim.
Afternoon Swim, Eau De Parfum 100ml, RM1,050 & 200ml, RM1,550
Tags
Artikel Yang Berkaitan
HENRY JACQUES MEMPERKENALKAN WANGIAN BERHARGA RM45,000
Rumah wangian Perancis, Henry Jacques yang terkenal dengan minyak wangi tulen kini memperkenalkan himpunan Collection de l’Atelier dengan set tiga haruman edisi terhad yang eksklusif.
12 WANGIAN PILIHAN GLAM LELAKI DAN RIZAL RASID UNTUK LEBARAN 2024
Merayakan Lebaran dengan penuh keyakinan adalah impian setiap lelaki yang ingin menonjol dalam setiap penampilan. Di samping pakaian dan gaya rambut yang menawan, salah satu elemen yang tidak boleh diabaikan adalah wangian.
“MEN ARE MADE HOW MEN SHOULD BE.” – AIMAN HAKIM RIDZA, GLAM LELAKI JANUARI 2024
Untuk edisi digital Januari 2024, GLAM Lelaki menampilkan hero Malaya berbakat, Aiman Hakim Ridza yang bakal menimang cahaya mata kedua bersama aktres jelita, Zahirah MacWilson pada tahun ini.
GAYA TERBAIK MEERQEEN SEPANJANG 2023
Meerqeen sering menampilkan perwatakan yang begitu segak yang disulami dengan stail fesyen peribadinya yang cukup bergaya. Mari lihat gaya terbaik Merqeen sepanjang 2023.
10 WANGIAN TERBAIK PILIHAN GLAM LELAKI 2023
Tidak mempunyai masa yang cukup untuk menguji setiap wangian secara langsung? GLAM Lelaki membariskan 10 pilihan terbaik untuk wangian lelaki pada tahun 2023.
FELIX STRAY KIDS DAN SHO HIRANO ANTARA YANG MENGHADIRI LOUIS VUITTON MEN PRE-FALL 2024 DI HONG KONG
Felix daripada Stray Kids, Song Joong-ki, Aaron Kwok dan ramai lagi bintang Asia yang menghangatkan kerusi barisan hadapan pertunjukan Louis Vuitton Men Pre-Fall 2024 di Hong Kong.