TAHNIAH! HEFNY SAHAD SELAMAT DISATUKAN DENGAN WANITA PILIHAN HATI
Pelakon dan penyampai radio Sinar FM, Hefny Sahad telah selamat bergelar suami kepada wanita idamannya, Nur Atiqah.
Dengan sekali lafaz, pasangan itu selamat diijabkabulkan pada 29 Jun sekitar jam 5.40 petang oleh bapa pengantin perempuan. Upacara pernikahan mereka berlangsung secara tertutup di sebuah hotal terkemuka di ibu negara dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan terdekat.
Dalam majlis itu, Hefny menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 kepada pengantin perempuan. Bagaimanapun jumlah wang hantaran tidak dihebahkan kepada umum.
Berita perkahwinan pasangan itu dikongsikan bersama peminat menerusi akaun Instagram rasmi Sinar FM. Turut dimuat naik adalah foto sepanjang acara pernikahan mereka.
“Alhamdulillah penyampai radio Sinar FM, Hefny Sahad selamat bernikah bersama pasangan pilihannya Nur Atiqah. Tepat jam 5.39 petang, mereka sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz. Majlis pernikahan itu dihadiri oleh tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan terdekat,” tulisnya.
Perkahwinan Hefny Sahad Turut Dirai Rakan Selebriti
Di ruangan komen, para peminat tidak melepaskan peluang untuk menzahirkan ucapan tahniah dan mendoakan kebahagiaan mereka. Termasuk juga rakan selebriti seperti Sherry Alhadad, Adriana Adnan dan Donna Muslim.
“Tahniah bro! Alhamdulillah,” ucap Nabil Mahir manakala Erra Fazira pula menulis, “Yeay, Hefny dah jadi suami orang.”
Hefny merupakan naib juara pertandingan pencarian bakat baru dalam bidang penyiaran, On Air. Dia bertugas sebagai penyampai Sinar FM sejak lima tahun lalu.
Bintang berusia 37 tahun ini pernah membintangi beberapa filem dan drama televisyen termasuk Operasi X, Nafas, Syurga Tanpa Cinta, Maafkan Jika Aku Tak Sempurna dan Melankolia.
Sebelum mendirikan rumah tangga, Hefny pernah dikaitkan dengan beberapa aktres popular tanah air termasuk Nad Zainal dan Uqasha Senrose.
Foto: Instagram
Pautan berkaitan: REDZA ROSLI PILIH BELLA HANNA SEBAGAI SURI HATI
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.