Skip to content

PENYATUAN SEMULA BINTANG PRISON BREAK, DOMINIC PURCELL & WENTWORTH MILLER SELEPAS 19 TAHUN

PENYATUAN SEMULA BINTANG PRISON BREAK, DOMINIC PURCELL & WENTWORTH MILLER SELEPAS 19 TAHUN

Kongsikan artikel ini

Dua aktor versatil, Dominic Purcell dan Wentworth Miller kini sudah bersedia untuk berkongsi skrin sekali lagi.

Hampir dua dekad selepas tayangan siri popular Prison Break, mereka akan bersatu semula dalam siri terbaru berjudul Snatchback. Berita gembira itu turut dikongsi Dominic, 54, menerusi satu hantaran di Instagram.

Menurut laporan Variety, ia berkisar tentang pasukan operasi berkemahiran tinggi yang misinya menyelamatkan tebusan dari beberapa lokasi eksotik dan berbahaya di seluruh dunia.

Diinspirasikan daripada kehidupan pegawai perisik rahsia sebenar yang masih aktif dalam bidang ini, siri ini ditulis oleh Scott Risenbaum yang juga selaku penerbit eksekutif.

Dominic turut bergelar penerbit eksekutif di samping isterinya, Tish Cyrus dan Dannah Axelrod Summers. Walaupun plot telah didedahkan, sehingga kini barisan pelakon lain masih dirahsiakan.

Dari Prison Break Ke Naskah Seterusnya

Siri Prison Break yang disiarkan selama empat musim dari 2005 hingga 2009 menyaksikan Dominic dan Wentworh, 52, menggalas watak dua beradik bernama Lincoln Burrows dan Michael Scofield.

Prison Break

Selepas ditampilkan dalam bentuk telefilem berjudul The Final Break, siri itu dihidupkan semua untuk musim kelima pada 2017. Sejak itu kedua-dua pelakon ini telah berkongsi skrin yang sama menerusi penampilan dalam siri The Flash dan Legends of Tomorrow.

Selain Prison Break dan francais Arrowverse, Dominic pernah terlibat dalam pelbagai siri popular termasuk Blade: Trinity, Killer Elite, Blood Red Sky dan Straw Dogs. Dia bakal menerajui filem Paramount dan Republic Pictures berjudul Cassini In Ischia.

Wentworth pula muncul dalam Law & Order: SVU, The Loft, The Human Stain dan Madam Secretary. Selain berlakon, dia juga bergelar penulis lakon layar untuk filem seram Stoker arahan Park Chan Wook.

 

Foto: X

Pautan berkaitan: MICHELLE YEOH BAKAL TERAJUI SIRI BLADE RUNNER 2099