Skip to content

5 DIET YANG BOLEH MEROSAKKAN KEHIDUPAN SEKSUAL ANDA

5 DIET YANG BOLEH MEROSAKKAN KEHIDUPAN SEKSUAL ANDA

Kongsikan artikel ini

Banyak perkara yang boleh menyumbang kepada isu kesihatan seksual terutama penurunan ereksi: Lemah jantung, merokok dan ubat-ubatan tertentu.

Satu lagi pembunuh utama? Diet tidak sihat. Jenis, jumlah dan kekerapan makanan yang anda ambil boleh menjejaskan tenaga, aliran darah dan hormon. Semua ini penting untuk menghangatkan kehidupan seksual anda.

Ada banyak makanan yang boleh memperhebatkan ereksi, memastikan sperma sihat dan meningkatkan testosteron. Begitu juga sebaliknya, tabiat makan yang salah boleh membunuh libido.

Lihat bagaimana diet mengganggu prestasi seksual dan ketahui cara mengatasinya

 

1. MENGAMBIL TERLALU BANYAK MAKANAN MEREPEK

Jantung sihat menjamin seks yang sihat. Sama seperti mana-mana senaman, sesi hangat di ranjang memerlukan kekuatan, stamina dan ketahanan. Dalam erti kata lain, tabiat makan yang tidak baik untuk aktiviti gim juga buruk untuk kehidupan seks anda.

Malah apabila jantung bermasalah, contoh jika arteri anda tersumbat, ia boleh menghalang aliran darah ke zakar seterusnya menyumbang kepada disfungsi erektil (ED). Mengambil makanan tinggi lemak tidak sihat dan gula tambahan memburukkan lagi keadaan.

Penawarnya? Amalkan diet yang kaya dengan makanan padat nutrisi dan bersenam sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu. Apa-apa sahaja yang membantu mengurangkan jumlah lemak dalam badan akan membantu meningkatkan tahap testosteron secara semula jadi. Menurut pakar, semakin kuat anda bersenam, semakin lama anda mampu bertahan di ranjang.

 

2. KERAP MENGAMBIL MAKANAN MANIS

5 DIET YANG BOLEH MEROSAKKAN KEHIDUPAN SEKSUAL ANDA

Foto: Freepik

Gula adalah pembunuh kehidupan seks dalam beberapa aspek. Pertama, diet tinggi gula akan memberi kesan pada kesihatan kardiovaskular secara keseluruhan, seterusnya kesihatan zakar. Kedua, ia menurunkan libido dengan mengurangkan tahap testosteron.

Dalam satu kajian pada 2013, penyelidik mengukur tahap testosteron lelaki berusia 19 hingga 74 tahun selepas mereka mengambil 75 gram gula, iaitu dua kali ganda daripada pengambilan harian yang disyorkan. Penyelidik mendapati terdapat penurunan 25 peratus dalam purata paras testosteron yang kekal sehingga dua jam.

Jadi sebaiknya dapatkan gula daripada sumber semula jadi seperti buah-buahan. Untuk gula tambahan seperti di dalam soda dan pencuci mulut, Persatuan Jantung Amerika mengesyorkan tidak lebih daripada 36 gram sehari untuk golongan lelaki.

 

3. MENGAMBIL MINUMAN TANPA KAFEIN

Kopi yang diambil setiap hari memainkan peranan jauh lebih besar di ranjang daripada yang anda jangka. Ini kerana pengambilan kafein boleh memberi impak kepada aliran darah. Dalam kajian awal Persatuan Jantung Amerika, individu yang mengambil secawan kopi berkafein (sekitar 100 miligram kafein) mengalami 30 peratus peningkatan aliran darah dalam tempoh 75 minit berbanding mereka yang minum kopi tanpa kafein.

Para penyelidik membuat teori bahawa kafein mungkin meningkatkan fungsi saluran darah kecil dan mengurangkan keradangan, kedua-duanya petanda baik untuk jantung anda. Ini bermakna ia turut melancarkan peredaran darah pada alat sulit sekali gus memperhebatkan ereksi.

 

4. MAKAN DALAM JUMLAH YANG BANYAK

Foto: Freepik

Pengambilan makanan berlebihan boleh menjejaskan prestasi di kamar. Ia bukan saja meningkatkan berat badan malah menyebabkan tenaga anda merosot. Makan terlalu banyak terutama karbohidrat dan gula boleh menyebabkan keletihan, sudahnya anda hanya akan melepek atau tertidur di atas sofa atau katil.

Selain berasa letih kerana makan terlalu banyak, pengambilan karbohidrat seperti roti putih meningkatkan gula dalam darah dengan pantas. Tubuh akan cuba melawan dengan mengepam lebih banyak insulin, membuatkan anda berasa lebih penat.

Jadi jika anda sudah merancang mahu beraksi pada waktu malam, elakkan makan berlebihan pada siang hari. Makan kerap tetapi dalam jumlah sedikit. Perbanyakkan protein dan karbohidrat lambat dihadam yang kaya dengan serat seperti oat, quinoa dan sayur-sayuran.

 

5. MENGAMALKAN DIET VEGAN

Siapa sangka diet vegan boleh mendatangkan beberapa akibat tidak diingini pada kesihatan seksual. Walaupun banyak faedahnya mengambil lebih buah-buahan dan sayur-sayuran, menyingkirkan produk haiwan sepenuhnya boleh membuatkan tubuh kekurangan Vitamin D.

Menurut kajian yang diterbitkan oleh The Jornal of Sexual Medicine, kekurangan Vitamin D meningkatkan risiko disfungsi erektil. Apabila tubuh tidak mendapat Vitamin D yang cukup, ia mungkin tidak mampu menghasilkan oksida nitrik, sebatian yang diperlukan saluran darah untuk berfungsi dengan baik.

Cara terbaik mengatasinya adalah dengan mendapatkan sinaran matahari yang mencukupi. Vitamin ini sukar diperoleh secara semula jadi melalui makanan namun tidak mustahil. Ikan berlemak seperti salmon dan tuna, telur, susu diperkaya dan keju antara pilihan terbaik. Untuk memastikan tahap kesihatan zakar pada tahap terbaik, lelaki yang disahkan kekurangan Vitamin D disyorkan mengambil antara 2000 hingga 5000 IU, menurut pakar. Berunding dengan doktor sebelum anda mengambil sebarang makanan tambahan untuk kesihatan.

 

Foto: Freepik

Pautan berkaitan: PUNCA & RAWATAN MASALAH EJAKULASI PRAMATANG

By Siti Syahidah
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

5 MANFAAT YOGA UNTUK KESIHATAN LELAKI

5 MANFAAT YOGA UNTUK KESIHATAN LELAKI

Bacaan Lanjut
DIET ASAS TUMBUHAN ANTARA RAHSIA AWET MUDA LENNY KRAVITZ

DIET ASAS TUMBUHAN ANTARA RAHSIA AWET MUDA LENNY KRAVITZ

Bacaan Lanjut
PUNCA & RAWATAN MASALAH EJAKULASI PRAMATANG

PUNCA & RAWATAN MASALAH EJAKULASI PRAMATANG

Bacaan Lanjut
5 SUPERFOOD PERLU AMBIL UNTUK MILIKI PROSTAT YANG SIHAT

5 SUPERFOOD PERLU AMBIL UNTUK MILIKI PROSTAT YANG SIHAT

Bacaan Lanjut
makanan Lelaki

5 MAKANAN YANG LELAKI PERLU ELAK UNTUK ZAKAR LEBIH KUAT

Bacaan Lanjut
BENARKAH PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT MENGURANGKAN BILANGAN SPERMA?

BENARKAH PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT MENGURANGKAN BILANGAN SPERMA?

Bacaan Lanjut