PUNCA & RAWATAN MASALAH EJAKULASI PRAMATANG
Ejakulasi pramatang atau lebih dikenali sebagai ‘cepat pancut’ di kalangan lelaki adalah satu bentuk disfungsi seksual yang paling biasa berlaku.
Ia merujuk kepada keadaan di mana ejakulasi berlaku terlalu awal ketika melakukan hubungan ranjang bersama pasangan. Walaupun jarang dibincangkan secara terbuka, ejakulasi pramatang dialami hampir kebanyakan lelaki dan tentunya boleh menggugat keharmonian rumah tangga.
Kajian mendedahkan kira-kira 20 hingga 30 peratus lelaki mengalaminya pada satu tahap dalam kehidupan mereka. Ia terjadi kepada hampir tiga orang dalam setiap sepuluh individu. Daripada jumlah ini, satu pertiga daripada mereka turut mengalami masalah mati pucuk. Lelaki yang berdepan dengan masalah ini mempunyai pelbagai pergolakan emosi – berasa tertekan, malu dan kurang kawalan.
Apakah Punca Ejakulasi Pramatang?
Tempoh purata ketahanan seorang lelaki di ranjang adalah sekitar lima hingga sepuluh minit. Jika tidak mampu bertahan selama itu, kemungkinan besar anda merupakan salah seorang mangsa keadaan ini.
Terdapat dua sebab mengapa ejakulasi pramatang berlaku iaitu psikologi dan biologi. Isu psikologi termasuk tekanan, kebimbangan melampau, kemurungan, rasa rendah diri yang keterlaluan atau trauma akibat menjadi mangsa penderaan seksual ketika zaman kanak-kanak.
Selain itu faktor dari pasangan turut menyumbang, contohnya apabila isteri berasa takut atau sakit ketika melakukan hubungan kelamin. Jika anda mengalami masalah ini seawal usia sangat muda, ia mungkin disebabkan faktor keturunan atau keadaan zakar yang terlalu sensitif pada sentuhan.
Punca biologi pula dikaitkan dengan hormon tidak normal, tahap neurotransmitterserotonin yang rendah, keadaan abnormal yang menjejaskan sistem ejakulasi, masalah tiroid, diabetes dan penyakit kardiovaskular. Ia juga boleh disebabkan oleh kerosakan pada sistem saraf akibat trauma atau pembedahan, serta keradangan atau jangkitan pada organ pembiakan khususnya prostat atau uretra.
Rawatan Yang Diperlukan
Anda yang mengalami ejakulasi pramatang disebabkan isu psikologi digalakkan mencuba terapi fizikal. Antaranya memberi rangsangan kepada pasangan sebelum melakukan hubungan kelamin supaya orgasme kedua-dua pihak boleh dicapai serentak.
Cara lain yang boleh dicuba adalah teknik berhenti-dan-mula. Anda perlu memperlahankan aksi dan mengurangkan ransangan apabila terasa hampir orgasme. Tunggu sekitar 30 saat sebelum meneruskan penetrasi.
Selain itu penggunaan kondom boleh membantu kerana ia mengurangkan ransangan di bahagian zakar dan membantu lelaki tahan lebih lama. Anda juga boleh mencuba sapuan ubat bius yang mengandungi anestetik ringan. Ia menjadikan kulit zakar kebas buat sementara waktu. Untuk mengurangkan tekanan dan kebimbangan melampau, kaunseling pasti dapat membantu.
Ejakulasi pramatang boleh menyumbang kepada masalah ketidaksuburan kerana air mani tidak dapat memasuki faraj secara optima. Ini bermakna lebih sukar untuk anda memperoleh zuriat. Jadi jika rawatan yang dicadangkan di atas tidak membantu, sebaiknya berjumpalah doktor untuk mendapatkan penyelesaian tepat.
Foto: Stefamerpik/Freepik
Pautan berkaitan: 6 MAKANAN UNGGUL UNTUK MENINGKATKAN KESIHATAN PROSTAT
Tags
Artikel Yang Berkaitan
5 DIET YANG BOLEH MEROSAKKAN KEHIDUPAN SEKSUAL ANDA
Lihat bagaimana diet mengganggu prestasi seksual anda dan ketahui cara untuk mengatasinya.
5 MANFAAT YOGA UNTUK KESIHATAN LELAKI
Senaman yoga sering dikaitkan dengan wanita, namun ini tidak bermakna kaum lelaki tidak boleh mengamalkannya.
DIET ASAS TUMBUHAN ANTARA RAHSIA AWET MUDA LENNY KRAVITZ
Walaupun sudah berusia lebih separuh abad, pemuzik dan pelakon ini membuktikan dirinya masih gagah dan bergaya.
5 SUPERFOOD PERLU AMBIL UNTUK MILIKI PROSTAT YANG SIHAT
Tiada bukti menunjukkan pemakanan yang baik boleh mencegah masalah prostat, namun pengambilan makanan unggul boleh mengurangkan risiko anda.
5 MAKANAN YANG LELAKI PERLU ELAK UNTUK ZAKAR LEBIH KUAT
Kaum lelaki perlu mengelak untuk mengambil beberapa makanan ini yang berpotensi untuk memberikan kesan negatif kepada kesihatan zakar dan stamina seksual nanti.
BENARKAH PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT MENGURANGKAN BILANGAN SPERMA?
Telefon bimbit mungkin antara salah satu sebab mengapa kiraan sperma lelaki menurun secara mendadak sejak seabad lalu, menurut kajian.