Skip to content

MACKLEMORE MERIAHKAN KONSERT AFTER RACE FEST DI MALAYSIA NOVEMBER INI

MACKLEMORE MERIAHKAN KONSERT AFTER RACE FEST DI MALAYSIA NOVEMBER INI

Kongsikan artikel ini

Penyanyi rap Amerika, Macklemore bakal menghiburkan peminat tanah air pada acara Petronas After Race Fest yang akan diadakan pada 3 November 2024.

Menurut penganjur HIFIVE Entertaiment, penyanyi itu akan menerajui Fasa 1 yang dijadualkan berlangsung di Helipad Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC).

Macklemore akan disertai oleh kumpulan rock California, Smash Mouth yang mengungguli carta-carta muzik pada tahun 1999 menerusi lagu All Star.

Festival muzik itu akan bermula pada pukul 4 petang sebaik sahaja Grand Prix Petronas Malaysia berakhir. Pemuzik tempatan yang akan turut membuat persembahan termasuk 6ixth Sense, Nidji, Defam dan Feel Koplo.

Macklemore & Penyanyi Popular Bakal Menghiburkan Penonton

Konsert ini menandakan persembahan sulung Macklemore di Malaysia. Pengarah Urusan HIFIVE Entertainment, Sean Pereira berkata konsert itu adalah hiburan istimewa buat pengunjung yang hadir menonton perlumbaan MotoGPTM.

“Tak lengkap rasanya jika MotoGPTM ditutup tanpa ada sambutan untuk meraikannya dalam kalangan pengunjung. Justeru, kami akan membawakan After Race Fest yang bukan sekadar berbentuk hiburan.

“Ia bertujuan meraikan pengunjung dari seluruh dunia dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan dron dan bunga api sebagai simbolik istimewa kejayaan acara terbabit,” katanya, menurut Harian Metro.

Penganjuran konsert sempena ulang tahun ke-25 pembukaan Litar Antarabangsa Petronas Sepang itu turut mengundang keterujaan ramai termasuk Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.

“Kami sangat teruja kerana sudah 25 tahun sejak membuka pintu pada 1999. Setinggi penghargaan kami rakamkan kepada HIFIVE Entertainment kerana berganding bahu untuk menjadikan sambutan ini lebih meriah. Kami mengalu-alukan semua untuk turut serta menyaksikan perlumbaan MotoGPTM dan menikmati konsert sebelum pulang ke rumah,” ujarnya.

Dijangka seramai 10,000 hingga 15,000 penonton bakal hadir ke konsert tersebut, dan keutamaan akan diberikan kepada pembeli tiket perlumbaan MotoGPTM.

 

Foto: Getty Images

Pautan berkaitan: GREEN DAY BAKAL GEGARKAN PENTAS KONSERT SULUNG DI MALAYSIA