RAFAEL NADAL UMUM PERSARAAN DARI ARENA TENIS
Selepas Roger Federer dan Andy Murray, sukan tenis akan kehilangan seorang lagi bintang sensasi berbakat besar iaitu Rafael Nadal.
Khabar itu dikongsikannya bersama peminat menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman X. Menurut Nadal, dia akan menggantung raket tenis secara rasmi selepas berakhirnya saingan Piala Davis pada bulan depan.
“Saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa saya akan bersara dari sukan tenis profesional. Beberapa tahun kebelakangan ini amat sukar, terutama sejak dua tahun lalu. Saya tidak lagi boleh bermain tanpa had.
“Ia adalah satu keputusan yang cukup sukar, saya mengambil masa lama untuk memikirkannya. Tetapi inilah lumrah kehidupan, segalanya ada permulaan dan pengakhiran. Ini masa tepat untuk saya menamatkan kerjaya yang cukup panjang dan pelbagai kejayaan yang tak pernah saya bayangkan akan capai,” katanya panjang lebar.
Aksi Terakhir Rafael Nadal
Bintang kelahiran Mallorca, Sepanyol itu meluahkan keterujaan mengenai penglibatan terakhirnya pada aksi Final 8 (suku akhir) Piala Davis yang akan berlangsung di Malaga pada bulan November.
“Saya sangat teruja untuk beraksi mewakili negara saya dalam aksi Piala Davis kerana salah satu kenangan manis adalah ketika memenangi kejohanan sama pada 2004,” katanya yang berjaya meraih 14 gelaran Terbuka Perancis.
Menurut laporan, legenda yang meraih 22 gelaran Grand Slam sepanjang kerjayanya ini membuat keputusan bersara dek kecederaan berulang yang dialami sejak beberapa tahun lalu.
Disebabkan kecederaannya, perjalanan kerjaya Nadal terganggu apabila terlepas aksi Terbuka Perancis pada 2023. Dia juga tersingkir pada pusingan pertama di tangan Alexander Zverev pada tahun ini.
Gelaran terakhir yang dimenanginya adalah pada saingan Rolland Garros 2022 untuk meraih 112 kemenangan perlawanan berbanding empat tewas.
Foto: AP
Pautan berkaitan: PERKEMBANGAN TERKINI ROGER FEDERER SELEPAS BERSARA DARI ARENA TENIS
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.