Skip to content

PUTERA WILLIAM TERUSKAN MISI MENDIANG BONDA, PUTERI DIANA

PUTERA WILLIAM TERUSKAN MISI MENDIANG BONDA, PUTERI DIANA

Kongsikan artikel ini

Putera Wales, Putera William mengambil inspirasi daripada mendiang ibunya untuk kerja amal terbarunya.

Menerusi alih suara dalam treler sebuah dokumentari akan datang, putera berusia 42 tahun itu berkata dia mendapat bimbingan daripada Puteri Diana untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

“Secara perlahan-lahan saya cuba fikirkan apa yang boleh saya sumbang melalui peranan dan platform yang saya miliki. Saya mengambil sedikit inspirasi dan bimbingan daripada apa yang ibu saya lakukan sebelum ini, terutama untuk golongan gelandangan,” katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini akan muncul dengan dokumentari terbaru berjudul Prince Williams: We Can End Homelessness tidak lama lagi. Ia berkisar tentang Homewards – program yang dilancarkan putera itu pada 2023 untuk memerangi gelandangan di UK – pada tahun pertamanya.

putera William

Foto: Page Six

Dalam treler tersebut, dia turut berbual dengan pemain bola sepak Fara Williams yang kehilangan tempat tinggal selama enam tahun. “Anda bermain untuk England dan Chelsea semasa bergelar gelandangan,” katanya dengan rasa tidak percaya. Menerusi video sama, Putera William turut menegaskan bahawa gelandangan tidak sepatutnya wujud pada abad ke-21 ini.

Sokongan Putera William Buat Gelandangan

Puteri Diana yang meninggal dunia pada Ogos 1997 juga berjuang untuk menamatkan gelandangan sewaktu masih bekerja dengan kerabat Diraja Britain.

Semasa zaman kanak-kanak, Putera William dan Putera Harry sering dibawa melawat tempat perlindungan gelandangan oleh ibu mereka. Puteri Diana terkenal dengan kerja amalnya bersama Centrepoint, sebuah badan amal gelandangan belia di UK.

putera william puteri diana

Foto: WireImage

Dua tahun lalu Putera William itu dirakam menjual majalah tepi tepi jalan di London. Ternyata ia adalah The Big Issue, majalah yang terkenal dengan misi menyokong gelandangan.

Dia menggelar pengalaman itu sebagai ‘sesuatu yang membuka mata’ dalam esei yang ditulisnya secara eksklusif untuk majalah tersebut.

“Saya mahu menerokai sisi lain dan melihat bagaimana rasanya menjadi vendor The Big Issue. Pengalaman itu benar-benar membuka mata,” tulisnya.

Kini dengan organisasinya sendiri, pewaris takhta Britain ini berusaha untuk memastikan gelandangan berkurangan dan tidak berulang, menurut kenyataannya dalam laman web Homewards.

 

Foto: InStyle

Pautan berkaitan: MENGAPA PUTERA WILLIAM & KELUARGA SERING MENYARUNG PERSALINAN BIRU?