Skip to content

KENALI VICTORIA KJAER THEILVIG, PESERTA DENMARK PERTAMA MEMENANGI MISS UNIVERSE

KENALI VICTORIA KJAER THEILVIG, PESERTA DENMARK PERTAMA MEMENANGI MISS UNIVERSE

Kongsikan artikel ini

Victoria Kjaer Theilvig melakar sejarah sebagai warganegara Denmark pertama membawa pulang mahkota Miss Universe.

Bakal peguam berusia 21 tahun itu menewaskan 120 peserta dalam pertandingan Miss Universe ke-73 yang berlangsung di Arena CDMX, Mexico City pada 17 November lalu. Dia dimahkotakan oleh juara terdahulu, Miss Nicaragua, Sheynnis Palacios.

Kemenangan Victoria menandakan pencapaian sulung Denmark dalam pertandingan ratu cantik yang diiktiraf di peringkat global itu. Persaingan berlangsung sengit, sekali gus menyaksikan Chidimma Adetshina dari Nigeria dan Maria Fernanda Beltran dari Mexico masing-masing merampas tempat kedua dan ketiga.

Foto: Instagram

Berita kemenangan Victoria turut dimuat naik di akaun rasmi Miss Universe. Pihak penganjur merakamkan ucapan tahniah dan berharap kemenangannya memberi pengaruh baik buat wanita lain.

“Era baru bermula! Tahniah kepada Denmark, Miss Universe ke-73. Semoga kemenangan anda memberi inspirasi dan memperkasakan wanita di seluruh dunia. #73MissUniverseCompetition,” tulis pengajur di ruangan kapsyen.

Latar Belakang Victoria Kjaer Theilvig

Dilahirkan pada 2003 di Sobarg, Denmark, ratu cantik berwajah ‘Barbie’ ini merupakan penari profesional, usahawan fesyen serta aktivis kesihatan mental dan perlindungan haiwan.

Minatnya untuk menjadi ratu cantik timbul seawal usia lima tahun. Victoria menyertai pertandingan pertamanya ketika berumur 17 tahun dan berjaya dinobat naib juara. Dia kemudiannya mewakili Denmark ke Miss Grand International 2022 di mana dia tersenarai dalam 20 peserta terbaik.

Mempunyai ijazah sarjana muda dalam perniagaan dan pemasaran, dia juga cemerlang dalam bidang keusahawanan terutama industri barang kemas mewah dan berlian. Bakatnya tidak terhenti di situ. Victoria yang juga penari profesional pernah menyertai pertandingan berprestij seperti European and World Championships. Dia turut menurunkan kemahiran dan pengalamannya dengan menjadi guru tari.

Foto: Getty Images

Bagaimanapun perjalanan hidupnya tidak selalunya berwarna-warni. Victoria pernah menjadi mangsa penderaan keluarga, dan sebab itulah dia nekad untuk bergelar aktivitis dan pejuang kesihatan mental. Tujuannya untuk memberi inspirasi kepada orang lain ke arah pemerkasaan diri.

“Datang dari latar belakang penuh trauma, juga pernah didera dan dirogol, saya telah berusaha keras untuk diri saya sendiri. Saya baru berusia 20 tahun, dan hari ini saya berdiri di sini sebagai versi terkuat diri saya,” katanya.

 

Foto: X

Pautan berkaitan: KENALI KYLIE FAUSTO VERZOSA, RATU CANTIK FILIPINA BERWAJAH IRAS NEELOFA DAN FAZURA