AISHWARYA RAI BERI PETUNJUK TELAH BERCERAI DENGAN ABHISHEK BACHCHAN
Pasangan popular Bollywood, Abhishek Bachchan dan Aishwarya Rai dipandang tinggi oleh peminat kerana perhubungan mereka yang stabil.
Abhishek dan isterinya yang merupakan bekas ratu cantik dunia telah mendirikan rumah tangga selama 17 tahun. Pasangan itu sering dilihat menghabiskan masa berkualiti bersama anak tunggal mereka Aaradhya Bachchan, 13, dan tidak segan berkongsi kebahagiaan di media sosial.
Namun begitu mereka juga tidak terlepas daripada khabar angin keretakan rumah tangga. Baru-baru ini pasangan itu sekali lagi mencetus spekulasi perceraian pada acara Global Women’s Forum yang berlangsung di Dubai.
Acara itu menyaksikan penampilan Aishwarya yang elegan dan mempesona di atas pentas sambil memberi ucapan tentang pemerkasaan wanita dengan penuh semangat.
Namun apa yang lebih menarik perhatian ramai adalah namanya yang tertera pada tirai latar iaitu ‘Aishwarya Rai’, bukannya ‘Aishwarya Rai Bachchan’ seperti yang digunakannya sebelum ini.
Ketiadaan nama keluarga suaminya sekali lagi menghangatkan ura-ura bahawa pasangan ini telah pun bercerai. Dan sama seperti kebiasaan, mereka enggan mengesahkan atau menafikan perkara itu kepada peminat mahupun media.
Isu Dalaman Abhishek Bachchan & Aishwarya Rai
Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga pasangan ini bukanlah isu baru di Bollywood. Julai lalu Abhishek dan Aishwarya hadir ke majlis perkahwinan mega Anant Ambani dan Radhika Merchant secara berasingan.
Abhishek dilihat hadir ke dewan acara lebih awal bersama ahli keluarga termasuk ibu bapanya, Amitabh Bachchan dan Jaya Bachchan. Aishwarya dan anak mereka pula hadir tidak lama kemudian. Situasi itu mencetuskan rasa janggal sekali gus memberi bayangan bahawa mereka tidak lagi tinggal sebumbung.
Khabar angin perceraian mereka dikuatkan lagi dengan tindakan Abhishek memberi tanda suka pada satu hantaran di Instagram beberapa minggu sebelumnya. Perkongsian berjudul ‘When Love Stops Being Easy’ yang dimuat naik penulis, Heena Khandelwal itu berkisar tentang perceraian di kalangan pasangan berusia 50-an.
Bagaimanapun menurut perbincangan netizen dalam laporan Times of India, tindakan itu hanyalah tanda sokongan Abhishek buat Dr Zirak Marker yang berkongsi fakta dalam artikel tersebut. Umum mengetahui pakar kesihatan mental itu adalah kenalan rapat Aishwarya malah mereka pernah muncul bersama dalam rancangan televisyen Jeena Isi Ka Naam Hai tidak lama dahulu.
Pada April tahun lalu pula, Aishwarya hadir ke majlis pelancaran Nita Mukesh Ambani Cultural Centre hanya ditemani anaknya. Disebabkan itu, gosip perpisahan mereka hangat diperkatakan di media sosial.
Malah sebelum itu mereka dikatakan sudah pun tidak tinggal sebumbung disebabkan isu dalaman dengan keluarga mentua. Dilaporkan inilah salah satu punca keretan rumah tangga pasangan itu.
Abhishek dan Aishwarya disatukan sebagai suami isteri dalam satu upacara tradisional Hindu pada 20 April 2007. Kehidupan mereka diserikan dengan kehadiran Aaradhya yang dilahirkan pada 16 November 2011.
Foto: Thehindu
Pautan berkaitan: ALASAN MENGAPA JENNIFER LOPEZ TEKAD BERCERAI DENGAN BEN AFFLECK
Tags
Artikel Yang Berkaitan
PERKAHWINAN ABHISHEK BACHCHAN & AISHWARYA RAI GAGAL DISELAMATKAN?
Kehadiran pasangan itu ke majlis perkahwinan mega Anant Ambani dan Radhika Merchant secara berasingan mencetus spekulasi perceraian.
TREND ARTIS BERCERAI, PERKAHWINAN ABHISHEK BACHCHAN DAN AISHWARYA RAI JUGA DILANDA BADAI?
Ketiadaan Abhishek Bachchan di sisi Aishwarya Rai dan anaknya, Aaradhya pada acara NMACC mencetuskan spekulasi perceraian mereka.