JAMAL ABDILLAH DIKURNIAKAN CAHAYA MATA KETUJUH
Kehidupan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah kini semakin meriah dengan kelahiran ahli keluarga baru.
Pada tanggal 7 Januari, anak ketujuhnya yang diberi nama Magdalena Yamani selamat dilahirkan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada jam 9.38 pagi.
Menurut penyanyi berusia 66 tahun itu, isterinya Datin Zai Izzati Khiruddin melahirkan anak perempuan mereka menerusi kaedah pembedahan dengan berat 2.9 kilogram.
“Alhamdulillah, pembedahan semua berjalan lancar, anak dan isteri kedua-duanya okey. Saya sangat bersyukur Allah beri kami rezeki ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menitipkan ucapan tahniah,” katanya menurut laporan Astro Awani.
Jamal Abdillah Berkongsi Berita Kehamilan
Jun tahun lalu pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu memberi kejutan kepada peminat apabila mengumumkan isterinya sedang berbadan dua.
Jamal meluahkan rasa gembira kerana impiannya untuk memiliki ramai anak bersama Zai bakal menjadi kenyataan. Mengurus anak-anak kecil pada usia emas agak mencabar, namun dia bersyukur dengan adanya bantuan daripada pembantu.
“Seronok tengok anak-anak. Macam-macam perangai. Kami ada pembantu untuk menjaga mereka. Dari semasa ke semasa saya ambil pengasuh mengikut hari dan jam. Tugas mereka berbeza sedikit, mengajar, bermain serta merancang aktiviti anak-anak. Azura dan Isaac dah sekolah, jadi senanglah sikit,” katanya menurut Harian Metro.
Jamal dan Zai disatukan sebagai suami isteri pada 1 April 2017. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat anak iaitu Nur Azura Yamani, 6, El Isaac Yamani, 5, Iskandar Rayyan Yamani, 5 dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 2.
Penyanyi itu juga mempunyai dua lagi anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 22 dan Ahmad Zaki Yamani, 18.
Foto: Facebook
Pautan berkaitan: TAHNIAH! FIZZ FAIRUZ & ALMY NADIA SAMBUT KELAHIRAN ANAK KELIMA
Tags
Artikel Yang Berkaitan
JAMAL ABDILLAH BAKAL TIMANG ANAK KETUJUH
Murah rezeki penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah apabila bakal dikurniakan seorang lagi cahaya mata tidak lama lagi.