WARIS & SUKI LOW TERIMA PINGAT KEBESARAN NEGERI SEMBILAN
Tahniah diucapkan kepada Waris dan Suki Low atas kurniaan anugerah kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-77 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Kedua-dua anak jati Negeri Sembilan ini berkongsi khabar gembira itu bersama peminat di Instagram. Bagaimanapun mereka tidak mendedahkan anugerah kebesaran dan gelaran yang diterima.
Waris yang terkenal dengan lagu Rembau Most Wanted berkata, dia mendedikasikan anugerah tersebut buat para peminat yang selama ini tidak henti-henti menyokongnya. Tidak lupa isterinya, Izzati Amirah yang turut hadir menemaninya.
“Untuk rakyat N9. Terima kasih menginspirasi. Terima kasih isteri, tulang rusuk saya. Dan seluruh keluarga Diraja Negeri Sembilan khususnya Tuanku Mukhriz dan Tunku Zain yang sentiasa menyokong perjalanan muzik saya,” tulisnya.
Suki Low Berjanji Menjaga Amanah Sebaiknya
Suki yang hadir bersama suami, Jeremy Chong berkata kepercayaan terhadap bakatnya tidak akan dipersiakan. Penyanyi berusia 35 tahun itu turut merakamkan ucapan penghargaan buat Tuanku Munawir atas anugerah yang diberikan kepadanya.
“Patik menjunjung kasih Tuanku, Tunku Ampuan Besar dan kerabat Diraja Negeri Sembilan yang memberi kepercayaan, sokongan dan kurniaan ini kepada patik sempena Hari Keputeraan ke-77 Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.
“Kurniaan ini patik terima dengan amanah dan akan dipelihara dengan sebaik-baiknya. Berkatlah Yang di-Pertuan Besar. Daulat Tuanku,” tulisnya.
Suki dan Waris merupakan antara 555 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Sesi pertama istiadat ini berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada 14 Januari. Sesi kedua pula akan diadakan pada 20 Januari manakala sesi ketiga pada 25 Januari 2025.
Foto: X/Instagram
Pautan berkaitan: REMY ISHAK DIKURNIAKAN GELARAN DATUK
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.