“JANGAN TAKUT GAGAL, JANGAN TAKUT BERUBAH” – 10 KATA TUN MAHATHIR UNTUK LELAKI YANG INGIN BERJAYA
Tak ramai pemimpin yang kata-katanya kekal hidup walaupun masa terus berlalu. Tetapi kata Tun Mahathir Mohamad sama sekali lain dan boleh dikatakan akan tersemat dalam kotak fikiran ramai selamanya. Dalam diam atau dalam kontroversi, ada sesuatu yang sentiasa melekat tentang cara beliau melihat dunia, tegas, jelas, dan tanpa selindung.
Kini, ketika usia beliau mencecah satu abad, ya, 100 tahun, kita bukan sahaja mengenang jasanya dalam politik, tetapi juga hikmah yang boleh dipelajari oleh generasi baru, terutamanya lelaki hari ini yang hidup dalam dunia yang cepat dan penuh cabaran.
Apa yang menjadikan kata Tun Mahathir berbeza? Ia datang dari pengalaman sebenar. Bukan dari seminar motivasi, tetapi dari pentas dunia nyata, ketika negara baru belajar berdiri, ketika keputusan sukar perlu dibuat, ketika semua orang senyap tapi beliau tetap bersuara.
10 Kata Tun Mahathir Yang Boleh Jadi Prinsip Hidup Lelaki Masa Kini

Kredit foto: Instagram Tun Mahathir
1. “Kalau takut gagal, takkan ke mana.” – kata Tun Mahathir
Pernah dengar beliau sebut ini ketika bercerita tentang reformasi ekonomi negara. Bagi lelaki masa kini, ini bukan sekadar nasihat, malah ini cabaran. Jangan tunggu semua sempurna baru hendak mula. Gagal itu proses, bukan pengakhiran.
2. “Disiplin itu bukan pilihan, tapi keperluan.”
Tun seorang yang sememangnya ‘a morning person‘, bangun awal, baca, tulis, fikir. Disiplin bukan tentang jadi kaku, tetapi tentang tahu ke mana masa kita pergi. Dalam dunia sekarang, lelaki yang tahu jaga masanya akan lebih jauh ke hadapan.
3. “Jangan ikut orang bulat-bulat. Fikir sendiri.”
Dunia digital banyak suara. Tetapi Tun Mahathir pesan, jangan semua ditelan. Lelaki perlu ada pendirian, bukan sekadar pengikut. Fikir, nilai, dan berani berbeza.
4. “Masa itu tak tunggu sesiapa.”- kata Tun Mahathir

Kredit foto: Instagram Tun Mahathir
Ini bukan klise. Tun Mahathir tidak percaya pada alasan. Kalau sesuatu itu penting, kita cari masa. Jika tidak, kita bagi alasan. Lelaki zaman sekarang patut belajar kawal masanya, bukan dikawal olehnya.
5. “Malas tak bawa ke mana.”
Pedih tapi benar. Dalam mana-mana wawancara, Tun Mahathir tidak pernah simpati pada sifat malas. Usaha tetap usaha. Tidak kira siapa kita, kejayaan tidak datang bergolek. Itu pesannya!
6. “Nak pimpin, kena sanggup berkorban.”
Kalau ingin dihormati dalam keluarga, kerja, atau masyarakat, pengorbanan itu perlu. Bukan semua benda boleh kita peroleh dengan serentak. Tun Mahathir sendiri berkorban masa, privasi, malah hubungan peribadi demi tanggungjawab.
7. “Ilmu itu senjata.” – kata Tun Mahathir

Kredit foto: Instagram Tun Mahathir
Tun Mahathir membaca setiap hari. Tidak kira lelaki mahupun wanita hari ini yang berhenti belajar, sebenarnya sedang perlahan-lahan mundur. Tidak kisah minat apa sekalipun sama ada politik, sukan, kewangan, kerohanian, teruskan belajar.
8. “Jangan terlalu bergantung.”
Bergantung tidak salah, tetapi kalau terlalu berharap pada orang lain, kita lemah. Tun Mahathir mengajari kita supaya kita berdikari, bukan tunggu ditarik. Itu nilai lelaki sebenar, berdiri di atas kaki sendiri.
9. “Kejayaan ambil masa.” – kata Tun Mahathir
Ramai orang sekarang nak semua perkara cepat. Tetapi Tun Mahathir ambil masa berpuluh tahun untuk jadi siapa beliau hari ini. Jika kita sabar, usaha itu akan balik dalam bentuk yang kita tidak jangka.
10. “Kalau kita kuat, orang hormat.”
Bukan kuat fizikal semata-mata. Tetapi kuat dari segi prinsip, hati, dan pendirian. Lelaki yang ada prinsip tidak akan goyah walau diuji. Orang akan hormat bukan kerana gaya, namun kerana nilai yang dibawa.
Lelaki, Ini Waktunya Kembali Pada Nilai Teras
Dalam hidup ini, kita semua perlukan kompas. Kadang-kadang terlalu banyak ‘noise’ buat kita hilang arah. Kata Tun Mahathir bukan ubat segala masalah, tetapi ia boleh jadi cermin untuk kita semak semula siapa diri kita, dan ke mana arah kita.
Sebagai lelaki khususnya, kita bukan sekadar mengejar kejayaan tetapi kita juga pewaris nilai. Dan kata Tun Mahathir, jika dihayati, bukan sahaja buat kita jadi lebih baik, malah boleh bantu kita bentuk generasi yang lebih kuat, berani dan berprinsip.
Kerana akhirnya, lelaki sebenar bukan yang paling kuat suara, tetapi yang paling tenang dan tahu ke mana dia melangkah.
Selamat Ulang Tahun Ke-100, Tun Mahathir!

Kredit foto: Instagram Tun Mahathir
Terima kasih atas segala jasa, ketegasan dan keberanian dalam membentuk wajah Malaysia yang kita kenal hari ini. Dalam dunia yang semakin berubah, kata-kata Tun tetap menjadi sumber rujukan dan kekuatan.
Selamat menyambut ulang tahun ke-100, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Semoga terus dikurniakan kesihatan, ketenangan dan keberkatan berpanjangan. Negara ini tidak akan pernah lupa dan generasi hari ini akan terus belajar daripada jejak yang Tun tinggalkan.
Artikel berkaitan: VETERAN DAN LAGENDA: KENALI 5 INDIVIDU HEBAT DALAM ‘COUNCIL OF ELDERS’
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.