TONTON 8 FILEM INI SEMPENA HARI LELAKI SEDUNIA
Hari Lelaki Sedunia tahun ini boleh diraikan dengan senarai filem-filem yang fokus kepada pemberian lelaki di dunia ini.
Setiap 19 November, dunia memperingati Hari Lelaki Sedunia. Satu tarikh penting yang bukan sahaja meraikan sumbangan positif lelaki dalam masyarakat, keluarga, dan komuniti, tetapi juga platform untuk meningkatkan kesedaran tentang isu-isu kesihatan, kesejahteraan emosi, dan peranan mereka yang kian berkembang dalam dunia moden. Dalam era di mana definisi ‘lelaki sejati’ sentiasa diperbaharui, media seperti filem memainkan peranan penting dalam mencerminkan, dan kadangkala membentuk, naratif ini. Filem memberikan kita peluang unik untuk menyelami kepelbagaian pengalaman maskuliniti. Dari kesusahan menjadi bapa tunggal, tekanan seorang profesional yang berjuang melawan stereotaip, hinggalah keberanian seorang pahlawan yang belajar untuk bersuara.
Sempena sambutan Hari Lelaki Sedunia tahun ini, kami telah menyusun senarai lapan filem yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menawarkan renungan yang mendalam tentang makna sebenar menjadi seorang lelaki. Senarai ini merangkumi genre yang pelbagai. Dari aksi mendebarkan yang menguji semangat, drama kekeluargaan yang menyentuh jiwa, hinggalah kisah biografi yang memberi inspirasi. Sediakan masa, kerana filem-filem ini pasti akan meninggalkan kesan, mengingatkan kita bahawa kekuatan sejati seorang lelaki seringkali ditemui bukan pada kekebalan, tetapi pada keupayaan untuk berasa, berubah, dan berhubung secara jujur.
#1 Fatherhood
Kisah ini menelusuri perjalanan seorang bapa yang diuji dengan kehilangan. Setelah isteri tercinta meninggal dunia sehari selepas melahirkan anak perempuan mereka, si bapa kini bergelar bapa tunggal dan berusaha sedaya upaya membesarkan puteri kecilnya itu. Pengorbanan seorang bapa yang ditayangkan di dalam filem ini semestinya menjadi ikon di Hari Lelaki Sedunia.

#2 17 Again
Mike O’Donnell adalah seorang lelaki yang menyesali dan tidak bersyukur dengan perjalanan hidupnya. Namun, beliau mendapat peluang kedua untuk menulis semula nasibnya apabila secara tidak sengaja terbabit dalam pusaran masa. Kejadian itu berlaku selepas beliau cuba menyelamatkan seorang pekerja pembersih di tepi jambatan dan terjun mengikut lelaki itu ke dalam pusaran masa tersebut.

#3 Die Hard
Seorang anggota polis New York City, John McClane, berdepan misi getir untuk menyelamatkan isterinya yang terpisah dan beberapa orang lain yang telah dijadikan tebusan oleh sekumpulan pengganas. Kejadian tebusan ini berlaku semasa sambutan parti Malam Krismas di pencakar langit Nakatomi Plaza di Los Angeles, California. Keberaniannya di dalam filem ini menjadikan filem ini patut ditonton sempena Hari Lelaki Sedunia.

#4 Pride and Prejudice
Apabila Elizabeth Bennet pertama kali bertemu dengan jejaka kacak, Mr. Darcy, beliau yakin bahawa lelaki itulah orang terakhir di dunia yang mungkin akan dikahwininya. Namun, takdir menentukan lain. Seiring dengan kehidupan mereka yang semakin bertaut dan saling berkait, Elizabeth mendapati dirinya terpikat dan tertarik dengan lelaki yang pernah dia bersumpah untuk membenci selama-lamanya.

#5 Abah Saya, Uncle Mike
Kisah inspiratif dan menyentuh hati Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike. Mengisahkan perjalanan seorang lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga orang anak angkat berbangsa Melayu sejak kecil. Yang lebih luar biasa, beliau telah memelihara anak-anak tersebut dengan penuh kasih sayang sambil menghormati dan menjunjung tinggi ajaran agama Islam mereka. Ini sekali gus membuktikan kekuatan ikatan kekeluargaan yang merentasi batas bangsa dan agama.

#6 Babah
Dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup, bermula dari kehilangan pekerjaan, pergelutan melawan penyakit, hinggalah kehilangan pendengaran. Namun, ikatan yang kuat antara Isyak dan anak perempuannya, Maya, membuktikan betapa utuhnya kuasa cinta dan kekeluargaan. Hubungan mendalam mereka menjadi sumber kekuatan yang kekal, membolehkan mereka mengharungi saat-saat paling sukar bersama-sama. Filem Babah turut memenangi Anugerah Filem Terbaik di FFM-34. Watak utama, Qi Razali dan Sweet Qismina turut meraih Anugerah Pelakon Terbaik melalui filem ini di FFM-34.

#7 Gemencheh Boys
Gemencheh Boys (asalnya dikenali sebagai Adiwiraku 2) ialah sebuah filem drama biografi sukan Malaysia terbitan bersama SOL Pictures, GV Corporates Advisory dan Astro Shaw. Ia diarahkan oleh Eric Ong dan Jason Chong. Diinspirasikan oleh kisah benar yang diceritakan semula oleh atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif. Filem ini mengisahkan tentang usaha gigih seorang guru berdedikasi bernama Cikgu Azman yang memulakan perjalanan transformatif. Dia melatih enam orang pelajar nakal yang digelar ‘Enam Jahanam’ dari Felda Bukit Rokan Utara dalam sukan kriket. Seterusnya, mereka berjaya mengubah nasib serta kehidupan mereka selama-lamanya dari budak kampung ke pentas sukan antarabangsa.

#8 The Bros
Abang beradik, Lee Suk-Bong dan Lee Joo-Bong, bertemu semula setelah sekian lama berpisah di majlis pengebumian bapa mereka. Namun, perjumpaan ini tidak membawa kepada penyatuan keluarga seperti yang diharapkan. Sebaliknya, ia mendedahkan masalah peribadi yang sedang dihadapi oleh kedua-dua mereka secara individu. Dalam perjalanan ke kampung halaman mereka, nasib buruk menimpa. Mereka terlanggar seorang wanita misteri dengan kereta mereka. Kejadian yang tidak disengajakan ini bukan sahaja merumitkan lagi masalah peribadi mereka. Malah, ia membuka lembaran baharu yang penuh misteri dalam hidup Suk-Bong dan Joo-Bong.

Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
KESIHATAN MENTAL BUKAN LAGI TOPIK ‘TABOO’: MENGENALI SUARA DI SEBALIK SENYAP
Kesihatan mental bukan lagi topik 'Taboo'. Sempena International Men’s Day, ikuti selebriti Malaysia berkongsi tentang depresi dan anxiety.
HARI LELAKI ANTARABANGSA: KEKUATAN SEBENAR ADALAH BERANI UNTUK BERSUARA
Pada 19 November 2025, kita bakal menyambut Hari Lelaki Antarabangsa dengan tema yang penting: Supporting Men and Boys
LELAKI DAN PERUBAHAN: MENYEIMBANGKAN KEJAYAAN & KESIHATAN MENTAL
Keseimbangan dalam kejayaan dan kesihatan mental buat lelaki amat penting lebih-lebih lagi apabila ia dipandang kecil oleh masyarakat.








