ANIQ AQIL, “BERSIKAP BAIK KEPADA SEMUA ORANG, KEKAL RENDAH DIRI.”
Aniq Aqil, yang memulakan kariernya sebagai model komersial dan runway, kini mengembangkan haluan sebagai content creator. Dengan kreativiti dan gaya peribadi yang menarik, Aniq membawa nafas baharu ke dunia digital sambil terus mengekalkan pengaruhnya dalam industri fesyen.
Boleh kongsikan sedikit tentang perjalanan anda dalam content creation? Apa yang menginspirasikan Aniq untuk bermula?
Sejak kecil, saya memang sudah berminat dengan konsep pembuatan video. Saya membesar menonton YouTube pada era kegemilangannya dan terinspirasi oleh ramai pembuat video komedi seperti Ryan Higa, Smosh, dan Ray William Johnson. Semasa meningkat dewasa, saya cuba menghasilkan video sendiri dan memuat naiknya di Twitter, Vine, dan Instagram, tetapi ia kurang mendapat perhatian. Segalanya berubah apabila saya mula memuat naik di TikTok. Video pertama saya mendapat lebih 100k tontonan, dan itu memberi motivasi untuk terus berkarya. Saya belajar sendiri cara mengedit video dan sejak itu tidak berhenti mencipta. Kini, saya menjadikan ia pekerjaan sepenuh masa dan tidak pernah sebahagia ini!
Bidang modelling pula berlaku secara spontan bagi saya. Saya selalu bermimpi untuk muncul di papan iklan, tetapi tidak pernah menganggap ia sebagai ‘modelling’. Namun, selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang, saya menyertai agensi model, TheModelsLabKL.
Bagaimanakah anda menggambarkan gaya peribadi anda? Adakah ia berubah atau berkembang dari masa ke masa?
Gaya saya sememangnya telah berkembang dan berubah dari masa ke masa. Semasa remaja, saya tidak begitu memikirkan tentang fesyen kerana saya selalu memilih pakaian yang paling selesa! Tetapi apabila saya semakin dewasa, saya mencuba pelbagai gaya, lebih cenderung kepada formal dan streetwear, dan akhirnya menyedari bahawa saya berasa paling selesa dalam sut yang disesuaikan dengan baik. Pengalaman sebagai model juga banyak membantu membentuk stail saya, dan kini saya rasa cara berpakaian saya jauh lebih baik daripada sebelum ini. Jika saya perlu menggambarkan gaya peribadi saya, ia boleh dikatakan klasik, tetapi masih mengekalkan unsur keselesaan dari zaman muda saya.
Apakah gaya peribadi anda? Bagaimanakah anda kekal mengikuti perkembangan gaya lelaki terkini?
Saya memang berpegang kepada konsep ‘less is more’. Seluar yang bagus dipadankan dengan atas yang fit, atau sut yang cantik dengan warna yang sesuai, sudah cukup untuk saya.
Saya suka memerhati selebriti dan model bagaimana mereka menyusun pakaian untuk kekal terkini. Saya juga perhatikan cara orang berpakaian di jalanan ketika berjalan di bandar. Kadang-kadang, orang yang berpakaian dengan tujuan tertentu kelihatan lebih menarik daripada mereka yang hanya berpakaian untuk nampak cantik, dan itu juga memberi inspirasi kepada saya.
Adakah sebarang trend atau aksesori fesyen tertentu yang kini membuat anda excited?
Sejak akhir ini saya sangat berminat dengan jam tangan, dan bagi lelaki, saya rasa impresi pertama yang boleh anda berikan tanpa bercakap ialah jam tangan yang anda pakai. Anda mungkin berpakaian sederhana, tetapi jika memakai jam tangan yang cantik, itulah perkara pertama yang akan diperhatikan orang.
Bolehkah anda kongsikan tentang hasil kerja yang paling memberi kenangan atau bermakna buat anda?
Yang paling terlintas dalam fikiran saya ialah penggambaran Bvlgari Serpenti yang saya lakukan bersama kakak saya tahun ini. Bukan sahaja saya berpeluang bekerja dengan jenama yang tidak pernah saya sangka akan bekerjasama, tetapi saya melakukannya bersama kakak saya, menjadikannya lebih istimewa! Kini, saya juga sedang bekerjasama dengan Adidas Malaysia bagi kolaborasi menjelang Piala Dunia FIFA 2026, dan saya amat teruja dengan projek itu juga.
Apakah nasihat yang anda ingin berikan kepada model-model baru?
Bersikap baik kepada semua orang, kekal rendah diri, dan yang paling penting, nikmati pengalaman itu. Industri ini menyeronokkan kerana anda berpeluang bertemu ramai orang serta bekerja dengan individu yang sehaluan, menginspirasikan dan kreatif. Walaupun ia industri yang menekankan penampilan fizikal, orang jarang mengingati wajah yang cantik semata-mata; yang lebih penting ialah cara anda membawa diri dan melayan orang lain, jadi lakukannya dengan bijak.
Apakah yang anda ingin capai sebelum menjelang umur 35 tahun?
Sejujurnya, saya lebih suka menikmati hari demi hari. Cara ini sesuai untuk saya. Saya tidak mempunyai terlalu banyak matlamat spesifik yang ingin dicapai sebelum umur 35 kerana saya tahu masa itu relatif. Anda boleh bekerja keras selama 10 tahun dan mencapai sesuatu pada hari yang random bila-bila umur 25 atau 45. Saya hanya berharap dapat berasa gembira melakukan apa sahaja yang saya tekuni dan menghargai perkara-perkara kecil setiap hari.
Artikel berkaitan: KENALI PENYANYI DARI INDONESIA, ADRIAN KHALIF. KINI POPULAR DENGAN LAGU ‘ALAMAK’.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
SENARAI INFLUENCER LELAKI YANG MENGINSPIRASIKAN SEMPENA HARI LELAKI SEDUNIA
Enam nama ini wajar diberi perhatian kerana mereka membawa impak tersendiri kepada komuniti. Ketahui influencer lelaki yang menginspirasikan.
5 JENAMA YANG PERNAH RIDZMAN ZIDAINE, MODEL MALAYSIA, PERAGAKAN DI FASHION WEEK
Ridzman Zidaine semakin mendapat perhatian di pentas fesyen global apabila wajahnya sering menghiasi runway rumah-rumah fesyen ternama dunia.
GL THE MAN AWARDS 2025, “GAME CHANGER”-RIDZMAN ZIDAINE
Ridzman Zidaine melakar sejarah sebagai model lelaki Malaysia pertama di melewati pentas Louis Vuitton untuk beberapa musim berturut-turut.
GL THE MAN AWARDS 2025, “STAIL TERBAIK”-PIPI RAZI
"Saya bangga saya masih relevan hingga ke hari ini. Saya dapat lakukan apa yang saya suka, iaitu peragaan dan mencipta kandungan fesyen walaupun pendapatannya tidak stabil. Tetapi, I love what I do, itu lebih penting," Pipi Razi.
6 HAIR STYLISTS YANG PAKAR GAYA RAMBUT LELAKI
Khusus selebriti lelaki yang masih kurang pasti untuk mendapatkan hairstylists yang sesuai, rujuklah enam nama hairstylists berikut.
NARATIF GAYA IDRIS KHAN BERSAMA MONTBLANC
Montblanc memperkenalkan koleksi baharu diinspirasikan dari kaki Gunung Mont Blanc dengan siluet lebih ringan dan rona bumi yang menenangkan.











