5 DJ GENERASI BAHARU YANG KINI SEDANG HANGAT DI MALAYSIA
Didorong oleh DJ muda di Malaysia yang baharu, berani,dan penuh identiti, scene tempatan kini tidak lagi terikat pada satu bunyi atau acuan.
Generasi baharu DJ di Malaysia kini tampil dengan identiti yang lebih berani, segar dan autentik. Mereka bukan sekadar menghidupkan lantai tari, tetapi membentuk budaya, mencabar norma dan memperkenalkan bunyi-bunyi baharu yang memberi nafas segar kepada scene tempatan. Dari hip hop underground ke house, global beats dan eksperimen elektronik. Bakat-bakat muda ini membuktikan bahawa Malaysia bukan lagi sekadar pengguna trend, tetapi pencipta gelombang.
GLAM Lelaki sempat menemubual barisan DJ yang sedang hangat di Malaysia ini. Dengan semangat, visi dan keberanian untuk berdiri atas suara sendiri, inilah lima DJ muda yang sedang hangat menggegarkan landskap muzik tempatan — dan wajar anda kenali sekarang.
#1 Maya Letisha
Maya Letisha merupakan wajah baharu yang mencuri perhatian dalam scene DJ tempatan selepas mula berkecimpung secara serius pada Julai 2025. Bermula sekadar rasa ingin tahu kerana dikelilingi rakan-rakan terdekat yang juga DJ. Apa yang bermula sebagai sesi mencuba bertukar menjadi debut sebenar hanya dua minggu kemudian — satu lonjakan pantas yang membuktikan bakat semula jadinya.
Inspirasi terawalnya datang daripada sahabat baiknya, Julia Amin. Julia bukan sahaja percaya pada potensinya tetapi juga menjadi sumber ilmu dan semangat sepanjang perjalanan. Melihat Julia berkembang hingga ke peringkat antarabangsa memberi Maya keyakinan bahawa impian itu tidak mustahil. Detik paling membanggakan setakat ini adalah apabila diberi kepercayaan untuk mengendalikan gig solo pertamanya bersama Block Party, bermain selama dua jam penuh di hadapan crowd yang tidak dapat dijangka. Ia merupakan satu cabaran besar bagi seorang pendatang baharu.
Maya melihat scene EDM dan kelab di Malaysia kini semakin terbuka kepada pelbagai bunyi baharu, dengan house music melonjak naik dan genre seperti jersey, baile serta moombahton mula mendapat tempat. Impian terbesarnya adalah untuk menjelajah bandar-bandar lain, menghasilkan muzik sendiri bersama rakan kreatif, serta mencipta remix lagu terkenal. Bagi Maya, berada dalam industri ini terasa seperti satu kitaran penuh — menggabungkan cintanya terhadap muzik dan tarian, kini diperkukuh dengan pemahaman teknikal yang lebih mendalam.
#2 ADER2K
Perjalanan ADER2K dalam dunia DJ bermula secara organik pada tahun 2016 sebelum menyertai Midlyfe. Dia pertama kali menjejakkan kaki ke acara Atas Maulana di Safehouse KL. Ia merupakan sebuah ruang kecil di atas mamak di TTDI yang menjadi medan eksperimen muzik bawah tanah ketika itu. Suasana yang cukup intim dan penuh tenaga di situ menjadi “sekolah tidak rasmi” buatnya. Ia membentuk cita rasa serta kefahaman muziknya sebelum dia sendiri berani melangkah ke belakang dek.
Inspirasi terbesarnya datang daripada Alfie Rrari, yang membuka matanya bahawa DJ-ing bukan sekadar memainkan lagu popular. Tetapi, satu bentuk ekspresi peribadi tanpa peraturan tetap. Antara detik paling membanggakan dalam kerjayanya setakat ini adalah ketika bermain di Paranoid, Vice Circa pada 2024. Set hip-hop underground yang agresif mencetuskan ini moshpit — sesuatu yang hampir tidak pernah berlaku dalam kelab di Malaysia.
Bagi ADER2K, landskap EDM dan kelab tempatan kini semakin didorong algoritma dan trend, menyebabkan banyak malam terasa sama dan selamat. Namun dia percaya, masa depan scene ini terletak pada keberanian DJ untuk mengambil risiko. Selain itu, untuk memperkenalkan bunyi baharu dan membina hubungan tulen dengan penonton. Impiannya bukan kemasyhuran, tetapi sebuah komuniti yang benar-benar memahami dan menyokong muziknya. Bagi ADER2K, hubungan itulah asas kepada segala kejayaan.
#3 Exclusive Pete
Exclusive Pete mula berkecimpung dalam dunia DJ pada tahun 2021. Perjalanan kerjayanya banyak dipengaruhi oleh pendedahan awal terhadap pelbagai genre muzik sejak kecil. Dibesarkan dalam persekitaran yang kaya dengan variasi bunyi dan irama, minat terhadap muzik berkembang secara semula jadi. Ia sekaligus membuatkan Exclusive Pete melihat DJ-ing sebagai medium terbaik untuk berkongsi muzik dengan orang ramai.
Inspirasi terbesarnya datang daripada bapanya sendiri, yang sentiasa memperkenalkan pelbagai jenis muzik di rumah. Detik paling membanggakan dalam kerjayanya setakat ini adalah apabila dia dinobatkan sebagai juara Martell Noblige Swift Talent Quest 2023. Ia merupakan satu kemenangan yang tidak pernah disasarkan, namun menjadi pengiktirafan besar terhadap bakat dan usaha yang dicurahkan.
Sebagai seorang DJ hip hop, Exclusive Pete melihat perubahan positif dalam scene tempatan hari ini. Terdapat lebih banyak kepelbagaian genre yang semakin diterima serta rasa ingin tahu penonton yang semakin tinggi. Baginya, perubahan ini membuka peluang besar untuk Malaysia membina budaya kelab yang lebih progresif dan matang. Impian terbesarnya adalah untuk menukar passion menjadi legasi, membina sesuatu yang benar-benar bermakna. Selain itu, mengharumkan nama di peringkat antarabangsa, dan pada masa yang sama terus mengangkat komuniti serta scene tempatan bersama.
#4 Daniel Fleischer
Perjalanan Daniel Fleischer sebagai seorang DJ bermula secara organik ketika tempoh pandemik Covid-19. Ia berakar daripada minatnya mengumpul piring hitam sebelum mengambil langkah lebih serius dengan membeli sepasang turntable dan mixer. Dari situ, Daniel Fleischer mula bereksperimen sendiri, mempelajari asas DJ-ing secara natural dan membina kefahaman muzik melalui sentuhan analog yang autentik.
Inspirasi terawalnya datang daripada duo legenda Perancis, JUSTICE dan Mr Oizo di bawah label ikonik Ed Banger. Mereka yang membentuk citarasa terhadap bunyi elektronik yang berani, quirky dan penuh karakter. Antara detik paling membanggakan dalam kerjaya Daniel Fleischer adalah apabila terlibat dalam barisan line-up dan projek yang benar-benar menyumbang kepada perkembangan scene tempatan. Sama ada memperkenalkan bunyi baharu atau membentuk mood sesebuah malam, baginya setiap set adalah sumbangan kepada budaya.
Percampuran pop, house, global electronic dan underground kini berlaku secara lebih natural, menjadikan scene lebih fluid dan menarik. Impian terbesarnya adalah untuk terus membentuk dan mengangkat scene tempatan melalui acara kurasi, kolaborasi serta bimbingan kepada bakat baharu — menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar daripada dirinya sendiri, sambil meninggalkan kesan positif yang berkekalan dalam budaya muzik tempatan.
#5 Syaza Shahmir
Penglibatan Syaza Shahmir dalam dunia DJ bermula secara natural apabila suaminya, DJ Fazz, menubuhkan House Blend. Ia merupakan sebuah kolektif yang memberi ruang dan sokongan kepada bedroom DJs serta bakat baharu. Dikelilingi komuniti kreatif dan suasana yang sentiasa hidup dengan muzik, minatnya terhadap DJ-ing mula berkembang dengan serius. Ia sekaligus mendorong Syaza Shahmir untuk belajar dan meneroka seni ini dengan lebih mendalam.
Inspirasi terawalnya datang daripada DJ Fazz sendiri, yang muzik dan playlistnya terus mencipta hubungan emosional dengannya sejak awal. Selain itu, kehadiran DJ wanita tempatan seperti DJ Aidaho dan DJ Julia Amin turut memberi dorongan besar. Mereka menjadikan dunia DJ terasa lebih dekat, realistik dan boleh dicapai sebagai seorang wanita dalam industri ini. Antara detik paling membanggakan dalam kerjaya Syaza Shahmir setakat ini adalah apabila diberi kepercayaan untuk bermain bagi acara-acara hiburan seperti EH Malaysia, Christy Ng dan Toyota.
Syaza Shahmir melihat landskap EDM dan kelab di Malaysia terus berkembang dengan kemunculan genre serta ruang baharu, dan berharap dapat membantu mengubah persepsi bahawa DJ-ing tidak terhad kepada kelab semata-mata, tetapi boleh berlaku di mana-mana. Impian terbesarnya adalah untuk mula menghasilkan muzik sendiri dan seterusnya membina jenama peribadi sebagai seorang artis yang berdiri atas identiti dan visinya sendiri.
Pautan berkaitan: KENALI JEMPUT DENGAR, MERAYAKAN MUZIK, GAYA & INSPIRASI MERENTAS GENERASI
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.





