TALK TO MY MANAGER 2: KENALI 10 ANAK SELEBRITI YANG SERTAI
Talk To My Manager 2 menjadi program terhangat apabila kembali dengan musim kedua tahun ini, bersama peserta yang semakin hebat.
Selepas kejayaan musim pertama, program hiburan keluarga Talk To My Manager (TTMM) kembali dengan musim kedua. Kini, mereka tampil lebih meriah dan penuh emosi. Musim kedua mengekalkan momentum yang berjaya menawan hati penonton menerusi gabungan cabaran kompetitif dan persembahan memukau. Selain itu, musim baharu ini tampil dengan penyertaan lebih ramai selebriti bersama anak-anak mereka.
Masih mengekalkan konsep ikonik pass-the-baton, musim ini menyaksikan gandingan unik antara selebriti sebagai “manager” dan anak-anak mereka sebagai “artist”. Setiap persembahan bukan sekadar hiburan, tetapi turut menjadi medan untuk menguji kepercayaan, bimbingan serta keserasian antara dua generasi, sekali gus menonjolkan hubungan kekeluargaan yang jarang dipertontonkan di kaca televisyen.
Program ini turut menyaksikan kembalinya Aznil Hj Nawawi sebagai pengacara, bersama barisan juri Sarimah Ibrahim dan AC Mizal yang terus menyumbang kepakaran serta karisma dalam menghidupkan suasana pertandingan.
#1 Anggrek
Anak kepada Adira Suhaimi ini tampil dengan aura lembut namun penuh potensi. Ramai ingin melihat sama ada bakat seni ibunya turut mengalir dalam dirinya. Sebagai peserta paling muda, gelagat comel Anggrek turut menjadi perhatian ramai.
#2 Viviana
Mewarisi pesona Ani Maiyuni, Viviana hadir dengan keyakinan tinggi dan gaya tersendiri yang memikat perhatian. Pada minggu kedua rancangan Talk To My Manager 2, Viviana meraih markah tertinggi yang diberi oleh juri dengan dendangan lagu Rayuan Perempuan Gila oleh Nadin Amzah.
#3 Azeva
Sebagai anak kepada penerbit terkenal Dato’ A. Aida, Azeva bukan asing dengan dunia produksi, memberi kelebihan dari segi pengalaman di belakang tabir. Kehadrian Azeva menjadi tanda tanya dan ramai ingin ketahui bakatnya yang terpendam.
#4 Fariedz Fazley
Anak kepada cef selebriti Dato’ Fazley Yaakob ini membawa personaliti ceria dan karisma yang mudah disenangi. Bermula dengan minat seperti bapanya dalam bidang kulinari, Fariedz rupanya meminati bidang nyanyian juga. Fariedz telah memenangi hati orang ramai dengan persembahannya selama dua minggu ini.
#5 Cik B
Tidak perlu diperkenalkan lagi, anak kepada usahawan kosmetik sensasi Dato’ Sri Vida ini sememangnya sudah mempunyai pengaruh tersendiri di media sosial. Dengan bakat rap Cik B yang diketahui ramai, mungkin dia akan memberi kejutan dalam rancangan ini.
#6 Hussain
Anak kepada pelakon senior Jamilul Hayat ini tampil dengan aura misteri dan sisi serius yang menarik perhatian penonton. Hussain turut meraih markah tertinggi pada minggu pertama, membuktikan bakat nyanyiannya. Hussain turut mendapat perhatian kerana wajahnya yang mirip seperti Amir Ahnaf, pelakon kesukaan ramai.
#7 Ratu
Mewarisi keanggunan Linda Jasmine, Ratu dilihat sebagai antara peserta yang mempunyai potensi besar dalam bidang hiburan. Keunikkan anak kepada Linda Jasmine dan Que Haidar ini menjadikannya salah seorang peserta yang berpotensi besar.
#8 Althea
Anak kepada personaliti TV popular Nana Mahazan ini tampil dengan gaya moden dan penuh keyakinan. Althea turut menyahut cabaran ibunya untuk keluar dari zon selesa, seperti menyanyikan lagu berbahasa Melayu.
#9 Amarra
Membawa nama Azad Jasmin sebagai bapa, Amarra hadir dengan keperibadian ceria dan spontan. Sama seperti bapanya, Amarra juga menyerlahkan bakatnya, serta kelucuannya yang menarik mperhatian ramai. Amarra sudah dikenali sebagai seorang penari yang mewakili Malaysia serata dunia, kini tiba masanya dia membuktikan bakat nyanyiannya juga.
#10 Kim Khairii
Anak kepada penyanyi era 80-an Safura Ya’cob ini membawa elemen klasik dan aura seni yang tersendiri. Selain daripada bakat nyanyiannya yang hebat selama dua minggu ini, Kim Khairii turut mendapat perhatian sebagai sepupu kepada pelakon terkenal, Meerqeen.
Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh, Talk To My Manager 2 bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi platform yang meraikan legasi, bakat dan hubungan kekeluargaan. Sambutan hangat terhadap musim pertama membuktikan bahawa format ini dekat di hati penonton. Ia turut membuka ruang kepada generasi baharu untuk menyerlah dalam industri hiburan.
Dengan gabungan hiburan, emosi dan nilai kekeluargaan, musim kedua Talk To My Manager dijangka terus mencuri perhatian dan menjadi antara program tempatan paling dinanti-nantikan tahun ini.
Pautan berkaitan: DORM 403: KENALI PELAKON-PELAKON MUDA DRAMA SEKOLAH BERASRAMA PENUH KONFLIK
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.





