DORM 403: KENALI PELAKON-PELAKON MUDA DRAMA SEKOLAH BERASRAMA PENUH KONFLIK
Drama Dorm 403 telah mula ditayangkan, menampilkan barisan pelakon muda yang menyerlah dan bakal menghidupkan lagi drama ini.
Drama bersiri 13 episod ini bakal menampilkan barisan gabungan pelakon muda berbakat. Mereka berjaya menghidupkan pelbagai watak dengan lapisan emosi yang kompleks dalam dunia yang penuh tekanan, rahsia dan konflik yang semakin memuncak.
Mengangkat latar di Sekolah Menengah Seri Alami, sebuah sekolah berasrama penuh. Cerita ini bermula dengan kehilangan misteri Sheikh, lakonan Zairi Aziz, yang juga anak kepada pengetua sekolah, Puan Asma (Dynas Mokhtar). Apa yang pada awalnya kelihatan seperti kisah tipikal remaja yang melibatkan persahabatan, percintaan dan konflik harian perlahan-lahan bertukar menjadi tragedi yang membongkar pelbagai rahsia gelap yang telah lama tersembunyi.
DORM 403 bukan hanya berkisar tentang misteri kehilangan, tetapi turut menyelami realiti kehidupan remaja yang berdepan tekanan, keinginan untuk diterima, serta kesan luka emosi yang berpanjangan.

#1 Muaz Zabir
Muaz Zabir memegang watak utama sebagai Fuza atau “Kuyu”, ketua kumpulan The Palang. Dia dikenali sebagai seorang pelajar yang digeruni, dengan pandangan tajam dan aura dingin yang mencetuskan rasa takut dalam kalangan pelajar lain. Namun di sebalik sikapnya yang pendiam dan tertutup, tersimpan sisi gelap yang lahir daripada trauma silam serta latar belakang keluarga yang penuh pergolakan.
#2 Zairi Aziz
Semakin meningkat naik, Zairi Aziz kembali dalam drama bergenre sekolah. Kali ini, bakal memegang watak Sheikh, anak kepada Puan Asma yang juga pengetua sekolah. Zairi sebelum ini menjayakan wataknya dalam drama Kelas Belakang, menjadikan drama ini dinanti-nantikan.
#3 Gbril
Dari pentas peragaan ke televisyen, Gbril mengambil langkah baharu dalam dunia lakonan. Turut menjadi salah seorang watak penting buat Dorm 403, lakonan sulung Gbril menjadi penantian ramai.
#4 Evertts Gomes
Evertts Gomes merupakan salah satu wajah terbesar yang di dalam drama ini. Kini kembali dengan watak budak sekolah, Evertts bakal menonjolkan lagi bakat lakonannya yang sedia ada, kepada setiap penonton Dorm 403.
#5 Nik Rifaie
Kehadiran Nik Rifaie di dalam drama Dorm 403 semestinya bakal mencuri perhatian. Penonton pastinya menantikan bagaimana peranannya akan memberi impak kepada perkembangan cerita, sebagai watak Lonjong.
Dengan gabungan pelakon muda berbakat dan jalan cerita yang sarat emosi, Dorm 403 menjanjikan pengalaman tontonan yang penuh debaran. Setiap watak membawa latar belakang tersendiri, menjadikan drama ini bukan sekadar kisah sekolah biasa, tetapi sebuah naratif yang menyelami sisi gelap kehidupan remaja.
Drama ini pastinya akan menjadi antara naskhah yang dinanti, terutamanya bagi mereka yang gemarkan cerita berunsur psikologi, konflik dalaman dan hubungan kompleks antara watak.
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.





