“ATMOSFERA MALAM MENJADI KONSEP UTAMA NEW MOON.” – TABBER, TEMUBUAL EKSKLUSIF
Bintang R&B Korea, Tabber kembali denggan single baharu, New Moon dan berkongsi mengenainya di temubual eksklusif bersama GLAM Lelaki.
Satu nama yang tidak asing dalam dunia Korea R&B, Tabber. Kini berada di bawah naungan you.will.knovv, Kim Hyeon-jun yang lebih dikenali sebagai Tabber dalam industri muzik mula dikenali melalui program survival hip-hop Show Me the Money 10. Naratif visualnya yang seakan dunia fantasi gelap, aura misteri yang dimiliki, serta gaya persembahan yang lancar bertukar antara rap dan vokal menjadikan Tabber cepat menonjol dalam industri.
Tabber muncul sebagai satu kuasa unik yang sedang mentakrif semula landskap muzik R&B Korea menerusi bunyi alternative pop yang tersendiri. Menerusi debut EPnya, Deep End Mix Tape pada tahun 2020, Tabber memberikan impresi pertama yang cukup kuat dengan menampilkan atmosfera muzik yang muram serta vokal mentah yang penuh tekstur dan emosi. Kerjasama bersama artis-artis seperti DEAN, Kim Ximya dan So!YoON! daripada Se So Neon turut memperkukuhkan identiti muziknya yang berbeza daripada arus perdana.
Sempena single terbaharunya, New Moon, GLAM Lelaki berpeluang untuk menemubual Tabber, dalam perjalanannya sebagai seorang penggiat seni, serta karya baharunya.

Sumber: Instagram @honjowolf
1. Muzik anda sering terasa sangat atmosferik dan penuh lapisan emosi. Apa yang biasanya menjadi inspirasi kepada dunia yang anda cipta dalam setiap lagu?
Pada masa lalu, saya banyak dipengaruhi oleh filem, tetapi sekarang saya rasa kebanyakan inspirasi datang daripada situasi semasa saya dan juga memori peribadi saya sendiri.
2. Dengan single baharu yang sudah dilancarkan dan EP yang bakal keluar tidak lama lagi, adakah terdapat naratif atau emosi utama yang menghubungkan semua projek ini?
Perkara terbesar yang mengikat keseluruhan album ini mungkin adalah atmosfera “malam”, bersama rasa kesunyian dan perasaan dingin serta misteri yang sering hadir pada waktu malam.

Sumber: Instagram @honjowolf
3. Anda bakal membuat persembahan di festival besar seperti Summer Sonic dan Seoul Jazz Festival tahun ini. Apa yang paling membuatkan anda teruja untuk tampil di suasana seperti itu?
Saya dijadualkan untuk membuat persembahan di festival besar seperti Summer Sonic dan Seoul Jazz Festival tahun ini. Dahulu saya sendiri sering menghadiri festival seperti itu, tetapi ini sebenarnya kali pertama saya membuat persembahan di sana. Jadi perkara yang paling membuatkan saya teruja ialah tertanya-tanya tentang jenis penonton dan orang yang akan berada di sana nanti.
4. Selain muzik, identiti visual dan pilihan fesyen anda juga sangat tersendiri. Sejauh mana gaya mempengaruhi cara anda mengekspresikan diri sebagai seorang artis?
Jika orang hanya mengenali seseorang artis melalui muziknya sahaja, saya rasa ia mungkin tidak begitu penting. Tetapi jika anda benar-benar dianggap sebagai artis pada era ini, seseorang yang membuat persembahan di pentas dan menampilkan diri sebagai seorang artis, maka saya fikir gaya memainkan peranan yang sangat besar.

Sumber: Instagram @honjowolf
Sumber: Instagram @honjowolf
5. K-R&B terus berkembang secara global dan menarik perhatian audiens yang lebih luas. Pada pandangan anda, apa yang menjadikan genre ini begitu memberi impak hari ini?
Sudah ada begitu banyak muzik K-R&B yang hebat di luar sana. Walaupun mungkin tidak begitu dikenali secara meluas, terdapat banyak lagu yang bagus dan artis berbakat dalam K-R&B. Jadi saya rasa itulah `sebabnya pendengar dari luar negara terus menikmati genre ini juga.
6. Adakah terdapat sisi diri anda yang anda rasa peminat atau orang ramai masih belum benar-benar fahami?
Saya sedang dalam proses untuk menunjukkan sisi-sisi tersebut sekarang. Saya mempunyai banyak projek berbeza yang sedang diusahakan, termasuk visual video, fotografi dan tentunya muzik saya sendiri. Baru-baru ini saya juga mula menggunakan Tumblr untuk banyak berinteraksi dengan peminat, selain memuat naik perkara-perkara yang saya sendiri sukai di blog tersebut. Jadi saya rasa orang ramai akan mula mengenali lebih banyak sisi diri saya yang sebelum ini mereka belum tahu.
Pautan berkaitan: IKMAL AMRY, “SAYA PERCAYA PROGRES LEBIH PENTING DARIPADA KESEMPURNAAN.”
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.





