HOBI BAHARU LELAKI PATUT CUBA BERSAMA PASANGAN
Kini, semakin banyak hobi yang menjadi trend dan lelaki turut boleh lakukan bersama pasangan untuk mengisi masa lapang bersama.
Dalam kesibukan rutin harian seperti bekerja, komitmen keluarga dan tanggungjawab lain, meluangkan masa berkualiti bersama pasangan menjadi semakin penting. Namun, date night tidak semestinya terhad kepada makan malam atau menonton wayang sahaja. Mencuba hobi baharu bersama bukan sahaja menyeronokkan, malah mampu mengeratkan hubungan, membina komunikasi yang lebih baik dan mencipta memori indah bersama.
Bagi lelaki yang ingin keluar daripada zon selesa atau mencari aktiviti baharu bersama pasangan, berikut merupakan beberapa hobi yang patut anda cuba.
#1 Pilates / Yoga
Ramai masih menganggap pilates atau yoga sebagai aktiviti yang lebih sinonim dengan wanita, tetapi persepsi itu sudah lama berubah. Semakin ramai lelaki mula menyedari manfaatnya terhadap fleksibiliti, postur badan dan kekuatan otot teras. Menghadiri kelas pilates atau yoga bersama pasangan juga boleh menjadi aktiviti bonding yang menenangkan. Selain membantu tubuh lebih cergas, ia turut melatih fokus, kesabaran dan pernafasan. Sesuatu yang berguna dalam kehidupan seharian.
#2 Rock Climbing
Jika anda gemarkan cabaran dan aktiviti yang meningkatkan adrenalin, rock climbing mungkin pilihan terbaik. Aktiviti ini menguji kekuatan fizikal, strategi dan kepercayaan terhadap pasangan. Dalam rock climbing, komunikasi sangat penting, terutama apabila seorang menjadi belayer dan seorang lagi memanjat. Ia secara tidak langsung membina rasa saling percaya dan sokongan antara satu sama lain.

#3 Berkayak
Bagi pasangan yang sukakan alam semula jadi dan aktiviti air, berkayak menawarkan pengalaman yang unik. Sama ada di tasik, sungai atau laut, aktiviti ini memerlukan koordinasi dan kerjasama yang baik. Mengayuh bersama menuju destinasi tertentu memberi kepuasan tersendiri. Bonusnya, anda dapat menikmati pemandangan indah sambil lari seketika daripada kesibukan kota.

#4 Berkhemah
Berkhemah atau camping kini bukan lagi sekadar aktiviti lasak, malah sudah menjadi gaya hidup bagi ramai orang. Menghabiskan malam di bawah langit berbintang sambil menikmati unggun api boleh menjadi pengalaman yang sukar dilupakan. Bagi lelaki, berkhemah memberi peluang untuk mengasah survival skills, manakala bersama pasangan, ia membuka ruang untuk perbualan yang lebih mendalam tanpa gangguan telefon atau media sosial. Buat yang ingin lebih selesa, pilihan Glamping juga sudah semakin banyak.

#5 Membaca
Jika anda dan pasangan lebih selesa dengan aktiviti santai, membaca boleh menjadi hobi yang surprisingly intimate. Pilih buku dan bincangkan isi kandungannya bersama. Buku yang dipilih boleh jadi buku yang sama, mahupun berbeza. Perkongsian selepas sesi bacaan yang menjadi sorotan utama aktiviti ini. Anda juga boleh menetapkan “reading date” di kafe atau taman. Aktiviti ini membantu memperluaskan perspektif, merangsang perbualan yang lebih bermakna dan menunjukkan sisi intelektual masing-masing.

#6 Escape Room / Taman Tema
Mahukan sesuatu yang lebih fun dan penuh aksi? Cuba escape room atau kunjungi taman tema bersama pasangan. Escape room menguji cara anda berfikir di bawah tekanan, menyelesaikan puzzle dan bekerjasama sebagai satu pasukan. Ia boleh mendedahkan bagaimana anda berkomunikasi ketika berdepan cabaran. Jika anda mahukan pengalaman yang lebih santai tetapi tetap menyeronokkan, taman tema seperti Sunway Lagoon menawarkan pelbagai tarikan menarik. Lebih-lebih lagi dengan acara seperti Night of Fright, pengalaman seram yang penuh adrenalin ini sesuai untuk pasangan yang sukakan thrill. Menariknya, siapa tahu ini peluang terbaik untuk melihat siapa yang benar-benar berani, atau siapa yang akan pegang tangan pasangan paling kuat.
#7 Memasak/Baking
Ada sebab mengapa ramai menganggap memasak sebagai love language. Menyediakan makanan bersama memerlukan komunikasi, koordinasi dan sedikit kreativiti. Sama ada mencuba resepi baharu, membakar dessert atau sekadar memasak makan malam bersama di rumah, aktiviti ini boleh menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Bonus tambahan: anda dapat menikmati hasil usaha bersama.

Mencari hobi baharu bersama pasangan bukan tentang menjadi pakar dalam sesuatu perkara, tetapi tentang mencipta pengalaman yang mengeratkan hubungan. Sama ada anda seorang yang aktif, adventurous atau lebih santai, sentiasa ada aktiviti yang sesuai untuk dicuba bersama. Kadangkala, perkara kecil seperti berkongsi hobi baharu mampu membawa hubungan ke tahap yang lebih bermakna.
Pautan berkaitan: NAIL ART KINI UNTUK LELAKI JUGA! TREND TERBAHARU UNTUK TAMBAH GAYA
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.





