Skip to content

ACNE STUDIOS RASMI BUTIK PERTAMA DI MALAYSIA, DI PAVILION KUALA LUMPUR

ACNE STUDIOS RASMI BUTIK PERTAMA DI MALAYSIA, TERLETAK DI PAVILION KUALA LUMPUR

Kongsikan artikel ini

Acne Studios kini berada di Kuala Lumpur! Butik Acne Studios di Pavilion KL mendapat perhatian dengan pembukaan yang bakal berlangsung. 

Jenama fesyen mewah dari Sweden, Acne Studios, kini secara rasmi melebarkan sayapnya ke Malaysia menerusi pembukaan butik pertamanya di Pavilion Kuala Lumpur. Terletak di tengah-tengah kawasan beli-belah ikonik Golden Triangle, pembukaan ini turut menandakan langkah penting jenama itu dalam mengukuhkan kehadirannya di rantau Asia Tenggara.

Butik baharu ini direka hasil kolaborasi berterusan antara Pengarah Kreatif Acne Studios, Jonny Johansson, bersama firma seni bina Sweden, Halleroed. Kerjasama ini sebelum ini telah membentuk identiti butik Acne Studios di seluruh dunia, dan kini diterjemahkan ke ruang yang unik di Kuala Lumpur.

acne studios pavilion

Rekaan butik mengetengahkan penggunaan granit merah jambu, warna yang sinonim dengan identiti Acne Studios. Material ini digunakan pada bahagian fasad, lantai serta deretan tiang batu, menghasilkan suasana yang moden, bersih dan artistik.

Elemen tersebut dipadankan dengan tempat duduk beralun hasil rekaan pereka perabot terkenal, Max Lamb. Ia menjadi titik fokus di tengah ruang butik. Gabungan tekstur batu yang kukuh bersama bentuk organik mencipta keseimbangan visual yang menyerlahkan karakter jenama.

Gabungan Industri Dan Sentuhan Seni

Selain granit merah jambu, Acne Studios turut menggunakan kelengkapan daripada keluli tahan karat bergeometri yang memberikan sentuhan industrial kepada ruang butik. Sistem pencahayaan pula direka oleh pereka dari Perancis, Benoît Lalloz. Rekaan ini direka khas untuk menyerlahkan tekstur serta tona semula jadi granit, sekali gus mewujudkan suasana yang hangat tetapi minimalis.

acne studios pavilion

Menurut Jonny Johansson dan Halleroed, gabungan material, pencahayaan dan elemen perabot ini mencipta sebuah “keharmonian yang tidak dijangka”. Ia selari dengan falsafah rekaan Acne Studios yang sering menggabungkan elemen kontras, kreativiti dan ekspresi.

Koleksi Musim Terkini Ditampilkan

Sejak dibuka pada 1 Julai 2026, butik Acne Studios Pavilion Kuala Lumpur menampilkan koleksi Fall/Winter 2026 untuk lelaki dan wanita. Selain koleksi pakaian sedia pakai, butik ini turut menawarkan pilihan kasut dan aksesori. Ikon terbaharu jenama itu, Camero Bag, yang semakin mendapat perhatian dalam dunia fesyen antarabangsa juga ada.

Dengan pembukaan butik ini, peminat fesyen tempatan kini berpeluang menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih dekat dengan dunia kreatif Acne Studios tanpa perlu ke luar negara. Ia sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Kuala Lumpur sebagai antara destinasi fesyen mewah yang semakin berkembang di rantau Asia Tenggara.

Pautan berkaitan: FENOMENA CHROME HEARTS DALAM DUNIA K-POP

Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

SELEBRITI THAILAND MENDOMINASI BARISAN HADAPAN PARIS FASHION WEEK 2026

Bacaan Lanjut