Skip to content

GIORGIO ARMANI MADE TO MEASURE 2026: SENI TAILORING YANG DIREKA KHAS UNTUK ANDA

GIORGIO ARMANI MADE TO MEASURE 2026: SENI TAILORING YANG DIREKA KHAS UNTUK ANDA

Kongsikan artikel ini

Menerusi Giorgio Arrmani Made to Measure 2026, rumah fesyen Itali ini sekali lagi mengangkat seni tailoring ke tahap yang lebih peribadi. 

Dalam dunia fesyen lelaki, sut bukan sekadar pakaian formal. Ia adalah gambaran karakter, cita rasa dan keyakinan seorang lelaki. Menerusi Giorgio Armani Made to Measure 2026, jenama ini kembali  menggabungkan DNA Armani dengan ketukangan eksklusif yang disesuaikan mengikut setiap individu.

Dikenali sebagai antara nama paling berpengaruh dalam fesyen lelaki, Giorgio Armani telah memainkan peranan penting dalam mentakrifkan semula tailoring moden. Siluet yang lebih lembut, elegan dan selesa menjadi antara identiti utama jenama ini, membuktikan bahawa pakaian formal tidak semestinya perlu terasa rigid atau terlalu konvensional.

Kembali Kepada Inti Pati Rekaan

Pada 2006, Giorgio Armani mengambil keputusan untuk memperkenalkan pendekatan baharu terhadap dunia fesyen yang semakin dipengaruhi korporat besar dan globalisasi. Bagi sang pereka, kreativiti perlu kembali kepada asasnya. Menghasilkan pakaian yang indah, praktikal dan diperbuat daripada material terbaik.

Falsafah tersebut menjadi antara asas kepada Giorgio Armani Made to Measure. Perkhidmatan ini dicipta untuk pelanggan yang mahukan sesuatu yang lebih daripada sekadar sut sedia pakai.  Sebuah rekaan yang benar-benar dibuat mengikut tubuh, gaya dan keperibadian mereka.

Daripada potongan, fabrik dan lapisan dalam hinggalah kepada pilihan butang serta perincian kecil, setiap elemen boleh disesuaikan. Hasil akhirnya ialah sehelai sut yang eksklusif dan unik, lengkap dengan label peribadi pemakainya.

Pengalaman Mewah Yang Lebih Peribadi

Memilih sut Made to Measure bukan sekadar proses membeli pakaian. Ia merupakan pengalaman yang meletakkan pelanggan sebagai sebahagian daripada proses kreatif. Dibantu oleh kakitangan yang terlatih khusus, pelanggan boleh menyentuh dan memilih fabrik. Mereka juga boleh menentukan jenis lapisan dalam serta butang, selain memilih siluet yang paling sesuai dengan gaya masing-masing.

armani made to measure

Pilihan turut merangkumi pelbagai perincian tailoring seperti jenis lapel, kedudukan poket, rekaan single atau double-breasted serta seluar berlipat atau tanpa lipatan. Setiap ukuran diambil di butik bagi memastikan sut yang dihasilkan memberikan padanan terbaik. Pelanggan juga boleh memilih untuk hadir bagi sesi fitting sebelum sut diserahkan atau sekadar mengambilnya apabila ia siap. Malah, sut tersebut boleh dihantar terus ke kediaman atau pejabat.

Lebih menarik, model eksklusif pelanggan disimpan oleh butik. Ini bermakna, untuk tempahan sut seterusnya, proses boleh dilakukan dengan lebih mudah tanpa perlu memulakan sesi ukuran dari awal. Untuk koleksi Made to Measure, Giorgio Armani menawarkan beberapa pilihan siluet yang mencerminkan karakter berbeza.

Dua garis utama ialah Soho, yang lebih kontemporari dan sofistikated, serta Wall Street, yang mengetengahkan estetika klasik dan tradisional. Kedua-duanya turut menawarkan pilihan untuk pakaian siang dan malam, membolehkan pelanggan memilih gaya mengikut keperluan dan acara. Bagi seluar pula, keselesaan menjadi antara keutamaan. Perincian seperti waistband berlipat direka untuk menyesuaikan bentuk tubuh pemakai, manakala pilihan tambahan seperti poket bertetulang dan butang fly memberikan sentuhan peribadi yang lebih halus.

Fabrik Eksklusif, Kualiti Tanpa Kompromi

Antara tarikan utama Made to Measure ialah pilihan fabrik yang luas. Selain corak klasik seperti Prince of Wales, herringbone dan houndstooth, pelanggan turut boleh memilih material yang digunakan dalam koleksi ready-to-wear Giorgio Armani. Untuk mereka yang mahukan kemewahan pada tahap lebih tinggi, tersedia pilihan seperti vicuña dan fabrik wool dengan kiraan benang yang sangat halus. Malah, lebih halus daripada cashmere.

armani made to measure

Pilihan turut merangkumi fabrik lestari yang diperakui, termasuk kapas organik, linen, Nativa wool yang menawarkan kualiti serta kebolehkesanan yang diperakui, dan cupro kitar semula.

Ketukangan Yang Tersembunyi

Apa yang menjadikan sebuah sut Made to Measure benar-benar istimewa bukan hanya perincian yang boleh dilihat, tetapi juga apa yang tersembunyi di sebalik struktur pakaian. Setiap sut dihasilkan mengikut standard ketukangan yang tinggi. Jahitan tangan pada lapel dan functional sleeve buttonholes menjadi antara perincian yang menonjolkan aspek craftsmanship.

Di bahagian dalam pula, struktur sut menggunakan canvas semula jadi yang diperbuat daripada bulu kuda dan kambing. Interfacing turut dijahit bagi memastikan jaket terasa ringan dan mempunyai aliran yang lembut ketika dipakai. Penggunaan material semula jadi ini juga membantu pakaian kembali kepada bentuk asal selepas dihimpit dalam bagasi atau terkena hujan, selain membantu mengawal pengekalan dan pelepasan haba.

armani made to measure

Kualiti dan eksklusiviti Made to Measure turut menjadikannya pilihan dalam kalangan golongan berprofil tinggi. Sejak diperkenalkan, perkhidmatan ini telah berkembang daripada hanya tersedia di beberapa butik terpilih kepada hampir semua butik Giorgio Armani di seluruh dunia. Antara nama terkenal yang pernah memilih Giorgio Armani Made to Measure termasuk pemenang Academy Award seperti Leonardo DiCaprio dan Paolo Sorrentino, selain Christian Bale, Tom Cruise, Will Smith dan George Clooney.

Sut Yang Benar-benar Milik Anda

Dalam era fesyen yang semakin pantas, konsep Made to Measure menawarkan sesuatu yang semakin bernilai — keperibadian. Daripada pilihan fabrik hingga kepada bentuk lapel, butang, poket dan siluet, setiap keputusan mencerminkan cita rasa pemakai. Ia bukan sekadar tentang memiliki sut yang muat dengan sempurna, tetapi tentang memiliki pakaian yang terasa benar-benar milik anda.

Menerusi Giorgio Armani Made to Measure 2026, tradisi tailoring bertemu inovasi kontemporari, menghasilkan pengalaman menswear yang eksklusif, peribadi dan, paling penting, timeless.

Pautan berkaitan: 5 ELEVATED PANTS UNTUK NAIKKAN TARAF ALMARI ANDA

Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

5 ARTIS LELAKI “DUDA HOT” YANG TERUS JADI PERHATIAN

Bacaan Lanjut

5 KERETA F1 YANG PALING MAHAL PERNAH DIJUAL DI AUCTION

Bacaan Lanjut
KIT WOO KLFW 2026: EKSPLORASI FALSAFAH "NOTHING IS FINISHED"

KIT WOO: EKSPLORASI FALSAFAH “NOTHING IS FINISHED”

Bacaan Lanjut
SITI NURHALIZA DAN NORANIZA IDRIS BAKAL BERGANDING DI KONSERT GEMA BUMANTARA

SITI NURHALIZA DAN NORANIZA IDRIS BAKAL BERGANDING DI KONSERT GEMA BUMANTARA

Bacaan Lanjut
GIORGIO ARMANI I WILL, WANGIAN YANG MERAIKAN KEKUATAN TEKAD DAN KEAZAMAN BERSAMA JONATHAN BAILEY

GIORGIO ARMANI I WILL, WANGIAN YANG MERAIKAN KEKUATAN TEKAD DAN KEAZAMAN BERSAMA JONATHAN BAILEY

Bacaan Lanjut
5 PEREKA FESYEN BAHARU WAJIB TONTON DI KLFW26

5 PEREKA FESYEN MUDA WAJIB TAHU DI KLFW 2026

Bacaan Lanjut