7 NAMA DENGAN PENCALONAN TERTINGGI DI AIM25
Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal berlangsung dengan barisan nama besar serta bakat baharu yang mencuri perhatian menerusi pencalonan masing-masing.
Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) kembali dengan edisi istimewa sempena sambutan Jubli Perak tahun ini. Mereka sekali gus meraikan perjalanan panjang industri muzik tempatan dalam mengangkat karya serta bakat terbaik tanah air. Tahun ini, pentas AIM25 menghimpunkan barisan nama besar yang sudah lama mewarnai industri bersama generasi baharu yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pendengar.
Lebih istimewa, edisi Jubli Perak ini turut membuka satu lagi lembaran baharu apabila malam kemuncak AIM25 diadakan di Sarawak. Kali ini, mereka memperluaskan lagi sambutan acara muzik berprestij ini di luar Semenanjung. Dengan barisan calon yang cukup pelbagai dan nama-nama besar yang bersaing dalam beberapa kategori, AIM25 pastinya menjadi antara acara muzik tempatan yang paling dinantikan tahun ini.
#1 SITI NURHALIZA — 14 PENCALONAN
Dato’ Sri Siti Nurhaliza tampil sebagai nama dengan jumlah pencalonan tertinggi di AIM25 apabila menerima 14 pencalonan dalam lapan kategori. Antara pencalonan utamanya ialah Vokal Wanita Terbaik menerusi Kesuma, manakala album Gema Bumantara turut dicalonkan bagi Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik. Lebih menarik, empat karya Siti iaitu Kesuma, Rencong, Hujung Bumi dan Pesanan Buat Diri tersenarai dalam kategori Lagu Tradisional Terbaik. Dia turut mempunyai tiga pencalonan dalam kategori Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik menerusi Cenderamaya, Kumbang Bunga dan Jenjang Cinta.
#2 AISHA RETNO — 6 PENCALONAN
Aisha Retno pula antara nama generasi baharu yang mencuri perhatian dengan enam pencalonan. Antara yang menjadi tumpuan ialah pencalonan Album Terbaik menerusi [RE.HAB]. Kehadiran Aisha dalam beberapa kategori memperlihatkan kepelbagaian karya serta penglibatannya dalam landskap muzik tempatan. Dengan pencalonan merangkumi kategori utama dan produksi muzik, AIM25 menjadi antara pentas penting untuk Aisha memperlihatkan perkembangan dirinya sebagai artis serta pencipta karya.
#3 HAEL HUSAINI — 5 PENCALONAN
Tidak asing dengan pentas AIM, Hael Husaini kembali mencuri perhatian dengan lima pencalonan. Antara karya yang mendapat pengiktirafan ialah Peluk, Alangkah Perfect, Bangkit Malaysia dan Meriah Lain Macam, yang masing-masing mewakili kategori berbeza. Pencalonan tersebut turut memperlihatkan peranan Hael bukan sahaja sebagai penyanyi, malah sebagai individu yang aktif dalam aspek penciptaan dan produksi muzik.
#4 MIMIFLY — 5 PENCALONAN
Mimifly turut mengumpul lima pencalonan, dengan karya-karyanya merentasi beberapa kategori berbeza. Antara yang mencuri perhatian ialah Serumpun, Temberang dan Nara, yang memperlihatkan eksplorasi Mimifly dalam aspek muzik, visual serta elemen eksperimental. Kepelbagaian kategori yang disertai juga mencerminkan pendekatan muziknya yang tidak terikat kepada satu bunyi atau genre sahaja.
#5 ALPHA — 4 PENCALONAN
Nama yang cukup segar dalam industri, ALPHA menjadi antara wakil kumpulan muzik yang mendapat perhatian apabila menerima empat pencalonan. Kehadiran mereka dalam senarai finalis AIM25 turut memperlihatkan ruang yang semakin luas untuk kumpulan generasi baharu mencipta nama dalam industri muzik tempatan. Kategori Artis Baharu Terbaik, Vokal Kumpulan Terbaik, Lagu Pop Terbaik serta Rakaman Lagu Terbaik didominasi oleh mereka.
#6 SHILA AMZAH — 3 PENCALONAN
Shila Amzah turut tersenarai antara nama yang menerima lebih daripada satu pencalonan dengan tiga pencalonan. Antaranya ialah kategori Album Terbaik menerusi Sa25, selain dua lagi pencalonan, Rakaman Album Terbaik dan Vokal Wanita Terbaik yang mengukuhkan kehadirannya dalam edisi Jubli Perak AIM25. Dengan namanya yang semakin besar di China, Shila masih mengukuhkan nama sebagai penyanyi tersohor di Malaysia.
#7 AINA ABDUL — 3 PENCALONAN
Aina Abdul melengkapkan senarai dengan tiga pencalonan di AIM25. Dia meraih tiga pencalonan menerusi tiga lagu berbeza dalam kategori Top 5 Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25). Pencalonan ini menjadi bukti yang mengukuhkan kehadirannya dalam edisi kali ini. Antara pencalonannya ialah Lagu Perpaduan Terbaik, diikuti “Ayuh Pulang” bersama Amir Jahari untuk kategori Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik. Sementara itu, lagu “Sesaat” pula tercalon dalam kategori Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik.
AIM25 BAKAL CATAT SEJARAH DI SARAWAK
AIM25 bukan sekadar istimewa kerana edisi kali ini merupakan sambutan Jubli Perak, malah malam kemuncaknya akan berlangsung buat pertama kali di Sarawak. Sebanyak 135 calon mara ke peringkat akhir merentasi 32 kategori selepas sekitar 600 penyertaan diterima. Proses penjurian pula diketuai komposer Mohd Faizal Maas atau Ajai dan diaudit secara bebas. Malam kemuncak AIM25 dijadualkan berlangsung pada 26 September 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak. Dengan Siti Nurhaliza mendahului jumlah pencalonan, serta kemunculan nama-nama seperti Aisha Retno, Hael Husaini, Mimifly dan Kumpulan Alpha, AIM25 pastinya menjadi antara acara muzik tempatan yang paling dinanti-nantikan tahun ini.
Pautan berkaitan: 5 LAGU KOLABORASI JAY PARK BERSAMA ARTIS MALAYSIA
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
AMT 2026: HAEL HUSAINI & AISHA RETNO PECAH REKOD DENGAN LIMA PENCALONAN
Hael Husaini dan Aisha Retno merupakan nama tersibuk yang berada di dalam barisan pencalonan Anugerah Melodi Terhangat (AMT 2026).
5 PENYANYI GENERASI BAHARU MALAYSIA YANG SEMAKIN MENYERLAH
Kehadiran penyanyi generasi baharu bukan sahaja menyegarkan industri hiburan tempatan, malah membuktikan bahawa bakat tempatan mampu bersaing dengan penyanyi yang sedia ada.
20 LAGU YANG BAKAL BERENTAP DI ANUGERAH JUARA LAGU KE-40 SEPARUH AKHIR
Aina Abdul, Dayang Nurfaizah, Haqiem Rusli dan Imran Ajmain antara penyanyi yang tersenarai dalam separuh akhir Anugerah Juara Lagu ke-40.
MAKSIMALISME 2026 : MENGAPA SUDAH TIBA MASANYA LELAKI BERHENTI ‘PLAY SAFE’
Tinggalkan minimalisme. Terokai trend Maksimalisme 2026 bersama Hael Husaini, Hun Haqeem, dan Syed Syafiq. Berhenti bermain selamat sekarang!
GL PLAYLIST: KOLEKSI LAGU RAYA TERBARU TAHUN 2026, DARI ALPHA, MIERUL AIMAN & HAEL HUSAINI.
GL Playlist himpunkan 7 lagu raya terbaru 2026 termasuk Hael Husaini, Dayang Nurfaizah dan Wani Kayrie yang memeriahkan Syawal tahun ini.
5 PERSONALITI LELAKI TAMPIL STYLISH DALAM REKAAN RIZMAN RUZAINI
Hael Husaini, Anuar Zain, Syamel, Fattah Amin dan Nicholas Saputra tampil memikat dalam rekaan eksklusif Rizman Ruzaini.











