LEE SOO-MAN KEMBALI DALAM DUNIA MUZIK, KENALI 3 KUMPULAN DI BAWAH A2O ENTERTAINMENT
A2o Entertainment yang bernaung di bawah nama Lee Soo-man bawa semula genre K-Pop yang dirindui ramai dengan 3 kumpulan mereka.
Nama Lee Soo-man sememangnya tidak asing lagi dalam industri muzik Korea Selatan. Dikenali sebagai individu penting di sebalik perkembangan K-pop moden, pengasas SM Entertainment itu sekali lagi mencuri perhatian apabila kembali mengorak langkah dalam industri muzik menerusi A20 Entertainment. Sepanjang kerjayanya, Lee Soo-man memainkan peranan besar dalam membentuk identiti muzik K-pop. Segala strategi pembangunan artis, konsep kumpulan serta pendekatan yang menggabungkan muzik, persembahan dan teknologi hadir darinya. Selepas meninggalkan SM Entertainment, kemunculannya menerusi A20 Entertainment menandakan satu lagi fasa baharu dalam perjalanan kreatifnya. Antara kumpulan K-Pop besar yang dibentuk olehnya ialah Girls Generation, Super Junior, EXO, NCT dan ramai lagi.
Menerusi projek terbaharu ini, perhatian peminat muzik kini tertumpu kepada tiga kumpulan yang dikaitkan dengan A20 Entertainment. A20 Soul, A20 Lite dan A20 May. Setiap nama membawa identiti tersendiri dan menimbulkan rasa ingin tahu tentang hala tuju baharu yang ingin diketengahkan oleh Lee Soo-man dalam landskap K-pop.
Jadi, siapakah tiga kumpulan ini dan apakah yang menjadikan mereka antara nama yang wajar diperhatikan?
#1 A2o SOUL
Membawa identiti sebagai kumpulan lelaki dengan barisan seramai 15 anggota, A20 SOUL menjadi antara projek utama Lee Soo-man dalam kemunculannya semula di pasaran K-pop Korea Selatan. Kumpulan ini menampilkan anggota daripada latar belakang berbeza, sekali gus mencerminkan pendekatan antarabangsa yang semakin penting dalam industri muzik Korea. A20 SOUL memperkenalkan muzik mereka menerusi lagu pra-debut berjudul SUPERSTAR, yang dilancarkan pada 13 Oktober 2026. Kumpulan ini kemudiannya memperkenalkan video muzik rasmi lagu tersebut pada 17 Oktober, menandakan permulaan perjalanan mereka sebagai kumpulan baharu di bawah A20 Entertainment.
Dengan barisan anggota yang besar dan pendekatan berorientasikan pasaran global, A20 SOUL menjadi salah satu projek yang menarik untuk diperhatikan, khususnya bagi peminat yang ingin melihat bagaimana Lee Soo-man mengembangkan formula pembentukan kumpulan K-pop dalam era baharu. A2o SOUL dianggotai oleh Moon, Sora, Seoha, Teo, Gaku, June, Hansung, Lucien, See-one, Alure, Tai, Sono, Zai, Ayden, dan Zet.
#2 A2o LITE
Jika A20 SOUL mewakili barisan kumpulan lelaki, A20 LITE pula hadir sebagai kumpulan wanita dengan sembilan anggota, iaitu Young, Himeki, Vora, Xili, Rada, Merci, Ayune, Oa dan Aijing. Kumpulan ini turut diperkenalkan menerusi acara WELCOME TO SOULITE bersama A20 SOUL pada 12 Oktober 2026. A20 LITE membuat penampilan sulung menerusi single digital berjudul NEON. Ia yang dilancarkan pada 13 Oktober 2026. Apa yang lebih mencuri perhatian, lagu tersebut berjaya menduduki tangga pertama carta Melon Top 100 pada 14 Oktober, hanya sehari selepas pelancarannya. Pencapaian itu menjadi permulaan yang cukup memberangsangkan buat kumpulan rookie ini.

Kejayaan awal tersebut meletakkan A20 LITE dalam radar peminat K-pop yang ingin mengikuti perkembangan kumpulan baharu. Dengan sembilan anggota dan pelancaran yang mendapat sambutan pantas, perjalanan mereka selepas debut pastinya menjadi antara perkara yang dinantikan.
#3 A20 MAY
Sebelum kemunculan A20 SOUL dan A20 LITE di Korea Selatan, A20 MAY terlebih dahulu diperkenalkan sebagai kumpulan pertama di bawah A20 Entertainment. Kumpulan wanita dengan lima anggota ini terdiri daripada Chenyu, Shijie, Quchang, Miche dan Kat, dengan gabungan latar belakang dari China dan Amerika Syarikat. Mereka membuat debut rasmi pada 20 Disember 2024 menerusi single Under My Skin (A2O). Berbeza daripada pendekatan kumpulan K-pop yang lazim, A20 MAY menyasarkan pasaran muzik antarabangsa dengan mengetengahkan konsep Zalpha Pop. Ia merupakan satu identiti muzik yang diperkenalkan oleh A20 Entertainment. Kumpulan ini turut menggabungkan elemen muzik pop, persembahan bertenaga serta penggunaan bahasa yang pelbagai bagi mendekati pendengar dari pasaran berbeza.
Antara pencapaian mereka termasuk penampilan di festival muzik iHeartRadio Wango Tango serta kejayaan lagu Under My Skin (A2O) memasuki carta radio Amerika Syarikat. Mereka kemudian meneruskan perjalanan muzik menerusi lagu seperti BOSS dan B.B.B (Bigger Badder Better). Ini sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai antara artis terawal yang diperkenalkan menerusi visi muzik baharu Lee Soo-man. Dengan pengalaman A20 MAY dalam pasaran antarabangsa, kumpulan ini menjadi gambaran awal tentang cita-cita Lee Soo-man untuk membangunkan artis yang mampu melangkaui sempadan negara dan bahasa.
Kemunculan Baharu Lee Soo-man, Era Baharu A20 Entertainment
Kepulangan Lee Soo-man ke industri muzik Korea menerusi A20 Entertainment bukan sekadar memperkenalkan barisan artis baharu. Malah, ia membuka ruang untuknya meneruskan eksperimen terhadap cara muzik pop dihasilkan dan dipasarkan. Selepas membangunkan pelbagai artis terkenal sepanjang bersama SM Entertainment, dia kini mempunyai platform baharu untuk meneroka pendekatan kreatif yang berbeza.
Persoalannya, mampukah Lee Soo-man mengulangi kejayaannya membentuk fenomena muzik global menerusi generasi artis baharu ini? Hanya masa yang akan menentukan, namun perkembangan A20 Entertainment pastinya wajar diikuti oleh peminat K-pop.
Pautan berkaitan: 8 BINTANG K-POP SPOTTED DI F1 GRAND PRIX SINGAPURA 2026
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.





