Skip to content

DUA SPACE DANCE THEATRE, SUTRA FOUNDATION & DIDANCE MEMPERSEMBAH ‘RENTAK BUMI 2.0’ DISEMBER INI

Kongsikan artikel ini

Menerokai kepelbagaian warisan tarian Malaysia, “Rentak Bumi 2.0” adalah hasil usahasama tiga kumpulan tarian terkemuka negara dan bakal berlangsung pada 16 – 18 Disember 2022.

Direalisasikan sebagai sebuah persembahan gabungan pelbagai budaya merangkumi tarian kontemporari, tradisional dan moden, “Rentak Bumi 2.0” anjuran tiga kumpulan tarian terkemuka di Malaysia iaitu Dua Space Dance Theatre, Sutra Foundation dan DiDance. “Rentak Bumi 2.0” mengajak anda menerokai kekayaan budaya dan warisan tarian di Malaysia menerusi sebuah pementasan gah oleh penari-penari terulung tanahair.

Tahun lepas, ketika dunia termasuk rakyat Malaysia bergelut dengan pandemik Covid-19, Sutra Foundation bersama DiDance dan Dua Space Dance Theatre, telah menampilkan enam persembahan tarian secara virtual yang dinamakan Rentak Bumi. Persembahan di atas talian ini telah diilhamkan oleh Pengarah Artistik kumpulan-kumpulan tarian tersebut iaitu Datuk Ramli Ibrahim, Zaridah Abdul Mallik, Anthony Meh dan Aman Yap, sebagai salah satu program di bawah ArtsFAS, inisiatif anjuran Yayasan Hasanah.

Tahun ini, sekali lagi dengan sokongan dari ArtsFAS 2022, tiga syarikat tarian ini bakal bekerjasama semula dan bergabung tenaga untuk mempersembahkan koreografi dan persembahan tarian dari video-video yang telah terhasil ke dalam bentuk pementasan secara langsung. Ia akan menjanjikan kepuasan visual serta ‘artistry’ tahap tertinggi buat peminat tarian tempatan.

“Rentak Bumi 2.0” juga akan menganjurkan satu sesi demonstrasi khas bertajuk ‘Behind the Making of Rentak Bumi’ sebagai salah satu cara untuk mendekati pelajar seni persembahan dan semua yang berminat untuk mendalami perihal belakang tabir produksi ini. Sesi khas ini akan dikendalikan oleh pengarah artistik yang akan menawarkan perspektif unik mereka mengenai usahasama kreatif sepanjang proses menjayakan persembahan ini. Dijadualkan pada 6 petang, sejurus sebelum persembahan terakhir pada 18 Disember 2022.

“Bagi pihak Sutra Foundation, Dua Space Dance Theatre dan DiDance,kami ingin menjemput anda semua untuk datang menyaksikan kemegahan dan kekayaan kesenian tarian Melayu, Cina dan India rangkuman persembahan tarian tradisional sehinggalah ke tarian moden dalam produksi “Rentak Bumi 2.0”. Kami juga mengalu-alukan kedatangan pelajar seni persembahan untuk hadir ke sesi perkongsian khas sebagai peluang untuk mereka mengenali pengarah-pengarah artistik yang merupakan minda kreatif di sebalik penghasilan persembahan tarian di dalam Rentak Bumi,” kata Pengasas dan Pengarah Artistik Sutra Foundation, Datuk Ramli Ibrahim.

 

Rentak Bumi 2.0
16-18 Dec 2022 | 8.30pm
Panggung Bandaraya DBKL (Jalan Raja, KL)
RM 30 / RM 50 / RM 100
Tiket boleh didapati di www.cloudjoi.com

 

Foto: Dua Space Dance Theatre, Sutra Foundation & DiDance

Baca lebih lanjut: RAIKAN CITA RASA KOPI IKONIK BERSAMA PIERRE HERMÉ DI MALAYSIA