Skip to content

KONSERT MAHARDIKA SATUKAN MASDO, ELLA & SPIDER

KONSERT MAHARDIKA SATUKAN MASDO, ELLA & SPIDER

Kongsikan artikel ini

Walau di mana saja sambutan Hari Merdeka diadakan, ia bagaikan tidak lengkap tanpa acara hiburan mahupun konsert daripada artis tanah air.

Justeru sempena meraikan Hari Kebangsaan ke-67 yang bakal tiba, sebuah konsert ambang merdeka akan diadakan buat julung kalinya di Pulau Pinang. Diberi nama Mahardika, ia dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos bertempat di Spice Arena Penang.

Dianjurkan oleh The Dons Group, Mahardika bakal menyaksikan penyatuan tiga nama besar dalam industri muzik tanah air. Pemuzik yang dimaksudkan adalah kugiran masa kini Masdo, kumpulan legenda Spider dan Ratu Rock Ella.

Wakil dari The Dons Group, Syed Mohamad atau mesra dengan panggilan Don menjelaskan maksud di sebalik nama Mahardika yang menjadi pilihan untuk kali ini.

konsert mahardika

“Mahardika adalah singkatan kepada ‘Malam Hari Merdeka’. Kami di The Dons Group memang sengaja memilih nama Mahardika kerana ia dilangsungkan sesuai dengan tarikh yang dipilih iaitu 30 Ogos 2024, menuju kepada hari kemerdekaan negara dalam era serta fasa muzik,” katanya.

Konsert Ambang Merdeka

Sudah menjadi kebiasaan malam ambang merdeka biasanya dimeriahkan dengan konsert yang diadakan secara percuma. Bercakap mengenai penjualan tiket, Don berkata dia tidak bimbang kerana sejak dahulu lagi Pulau Pinang jarang mengadakan konsert percuma.

“Kami menganjurkan konsert ini di tempat tertutup Spice Arena Penang yang akan menampilkan artis hebat lama dan baru iaitu Spider, Ella dan Masdo.

“Daripada maklum balas sebelum ini, kami yakin dengan sambutan yang bakal diterima. Insya-Allah seramai 10,000 orang akan memenuhi Spice Arena Penang pada malam hari merdeka nanti,” katanya.

Jualan tiket setakat ini amat memberangsangkan di mana sebanyak 50 peratus sudah terjual.

Tiket boleh didapatkan di laman web Ticket2u. Ia dijual pada harga RM98 (Standing), RM118 (Silver Zone), RM128 (Rock Zone), RM148 (Platinum) RM198 (Gold) dan RM350 (VIP).

 

Foto: Harian Metro/Instagram

Pautan berkaitan: AMIR MASDI TERUJA TERAJUI KONSERT SEARCH GEMURUH