Skip to content

MASDO & GERHANA SKACINTA HANGATKAN PANGGUNG MALAM MINGGU

MASDO & GERHANA SKACINTA HANGATKAN PANGGUNG MALAM MINGGU

Kongsikan artikel ini

Bermula September ini, malam minggu di tengah ibu kota akan lebih meriah dengan persembahan hebat daripada kugiran tanah air.

Panggung Malam Entertainment selaku penganjur membawakan acara istimewa yang menggabungkan muzik retro dan ska yang menggamit nostalgia. Menurut penganjur, ia bukan sekadar malam minggu biasa tetapi pengalaman yang akan membawa penonton ke era muzik yang sarat kegemilangan masa lampau.

Diberi nama Panggung Malam Minggu @ Panggung Odeon, ia akan berlangsung pada 21 September 2024 bermula 6 petang hingga 12 tengah malam. Panggung Odeon Kuala Lumpur dipilih dek lokasinya yang strategik dan mudah dikunjungi dengan pelbagai pengangkutan awam.

MASDO & GERHANA SKACINTA HANGATKAN PANGGUNG MALAM MINGGU

Persembahan Panggung Malam Minggu pertama bakal dimeriahkan oleh dua kugiran terkenal tanah air, Masdo dan Gerhana Ska Cinta. MOC dan Jemput Dengar juga akan muncul sebagai pembuka tirai.

Panggung Malam Minggu Menyokong Industri Muzik Tanah Air

Menurut Pengarah Malam Entertainment, Khairul Afizi Ayub, selain untuk menghiburkan, acara ini juga merupakan satu usaha bagi mengangkat kembali industri muzik tempatan.

“Muzik adalah bahasa universal yang menyatukan kita semua. Dengan menganjurkan Panggung Malam Minggu, kami berharap dapat memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada peminat muzik di Malaysia, sambil turut memberi sokongan kepada artis tempatan yang berbakat,” katanya.

Tambahnya, Masdo dipilih kerana lagu-lagu mereka adalah kombinasi masa lalu dan tenaga segar yang semakin terkenal di Malaysia dan Indonesia. Gerhana Skacinta pula kerana kugiran itu sentiasa aktif memeriahkan industri tempatan.

Tiket sudah pun dijual bermula 13 Ogos 2024 pada harga RM98 (early bird) dan RM118 (harga asal) untuk Kategori 1 Free Standing. Kategori 2 Free Seating pula berharga RM128 (early bird) dan RM158 (harga). Tiket boleh didapatkan di laman web MyTicketEmpire.

Panggung Malam Minggu

 

Foto: Instagram

Pautan berkaitan: ARTIS POPULAR MERIAHKAN KONSERT JIWA MALAYSIA 2024