5 DESTINASI PERCUTIAN MENARIK DI LAUSANNE, SWITZERLAND
GLAM Lelaki terbang ke Lausanne, Switzerland yang berlatarkan Tasik Geneva dan pergunungan Alps bersalji bersama Switzerland Tourism dan Heavens Portfolio.
Destinasi percutian yang mengagumkan. Lausanne berlokasi di utara Tasik Geneva yang dibina di atas tiga buah bukit iaitu Cité, Bourg dan Saint-Laurent yang memberikan lanskap berbukit-bukau yang unik. Kota ini kaya dengan taman-taman flora menghijau dengan sisiran tepian tasik, Ouchy yang mempersonakan. Pernah digelar “best small city in the world”, ibu negeri Canton of Vaud ini menjadi lambang kepada gaya hidup Swiss yang sebenar. GLAM Lelaki terbang ke kota Lausanne, Switzerland yang berlatarkan Tasik Geneva dan pergunungan Alps bersalji untuk percutian mewah bersama Switzerland Tourism dan Heavens Portfolio.
5 DESTINASI PERCUTIAN MENARIK DI LAUSANNE, SWITZERLAND
Perjalanan tren dari Zurich mengambil masa lebih dua jam dengan menggunakan Swiss Travel Pass. Lausanne merupakan pusat kesenian, kebudayaan dan pendidikan di Switzerland. Bandar keempat terbesar di Switzerland dan juga merupakan ibu kota Olimpik dunia ini juga menempatkan ibu pejaat International Olympic Committee dan beberapa federasi sukan antarabangsa.
Berikut adalah 5 tempat menarik yang boleh anda kunjungi ketika percutian di Lausanne, Switzerland:
1. Lausanne Old Town
Eksplorasi di Lausanne bermula di kota lama yang sarat sejarah. Lokasi pertama yang wajib dikunjungi oleh pengunjung sudah pastinya Lausanne Cathedral dan Cathedral Esplanade yang memberikan pemandangan kota dan kawasan sekeliling.
Pengunjung juga boleh menjejaki warisan budaya dengan berjalan melalui tangga kayu dan jalanan batu buntar yang menempatkan kafe, butik dan kedai yang menjual produk buatan tempatan. Jangan lupa untuk singgah di Palud Square menempatkan kolam air pancut tertua, dan bazar untuk mendapatkan coklat dan cenderamata nanti.
2. Tasik Geneva
Lausanne juga terkenal dengan ladang anggur di lereng bukit yang tiada tandingan. Pengunjung boleh menaiki feri atau cruise di Tasik Geneva untuk menikmati keindahan Lavaux Vineyard Terraces yang merupakan kawasan UNESCO World Heritage Site. Ladang anggur sepanjang 30 kilometer ini bertempat diantara timur Lausanne sehingga ke Chillon Castle.
Jika anda bermalam di hotel, hostel, inap-sarapan ataupun tapak perkhemahan berdaftar, setiap pengunjung akan diberikan Lausanne Transport Card yang boleh digunakan untuk semua pengangkutan awam seperti bas, tren dan metro.
3. Lausanne Palace
Hotel lima-bintang yang elegan sarat legasi ini pertama dibuka pada 1915. Melangkah masuk ke hotel ini, pengunjung seperti dibawa kembali ke zaman Belle Époque yang penuh sejarah. Kini, ia menyuntik sisi moden dalam memberikan kemewahan dan Swiss hospitality yang ikonik kepada pengunjung. Ia mempunyai 140 buah bilik penginapan dan suite, dan yang paling menarik adalah Suite Coco Chanel yang pernah menjadi bilik penginapan kegemaran pereka fesyen Perancis itu. Seni dekorasi bilik ini berlatarkan warna biru langit dan krim, selain mempunyai terrace dengan pemandangan Tasik Geneva.
Lausanne Palace mempunyai lima buah restoran yang akan memberikan pengalaman gastronomi yang luar biasa, termasuklah Matcha Picchu dan La Table du Palace yang menerima pengiktirafan bintang Michelin. Ia turut menyediakan ruang spa dengan keluasan 2100 meter persegi yang menawarkan rawatan kecantikan, selain mempunyai kolam renang dan pusat kecergasan. Lokasinya ditengah-tengah Lausanne juga akan memudahkan pengunjung untuk menerokai keajaiban kota dengan pengangkutan awam.
4. Chillon Castle
Terletak diantara Montreux dan Villeneuve, Chillon Castle adalah destinasi yang wajib dilawati ketika mengunjungi Lausanne. Seperti namanya yang bermaksud platform berbatu, bangunan penuh sejarah ini dibina di atas sebuah pulau berbatu di Tasik Geneva dan dikelilingi oleh Vaud Riviera dan pergunungan Alps.
Lawatan ke sana seperti melangkah ke masa lampau. Pengunjung dapat melihat seni bina istana Eropah lama, selain lebih 300 item antik dari Middle Ages kepada kurun ke-17 yang dipamerkan seperti perabot, senjata dan banyak lagi. Pengunjung boleh menggunakan tren, bus ataupun feri untuk ke Chillon Castle dari Lausanne. Pemegang tiket Swiss Travel Pass boleh masuk dengan percuma.
5. César Ritz Colleges Switzerland
GLAM turut mengikuti lawatan anjuran Swiss Education Group untuk melawat César Ritz Colleges Switzerland. Ia berkongsi kampus bersama Culinary Arts Academy Switzerland di Le Bouveret. Institut seni kulinari terbaik di Switzerland itu menawarkan pelbagai program pendidikan bertaraf dunia dalam jurusan hospitaliti dan pengurusan perniagaan. Ia menampilkan kerjasama bersama cef legenda kelahiran Switzerland, Chef Anton Mosimann. Beliau merupakan cef berbintang Michelin yang telah menjamu barisan selebriti ternama, keluarga diraja dan pemimpin dunia.
Untuk memudahkan pengembaraan anda di Switzerland, Swiss Travel Pass ini boleh didapati dalam pilihan tiga sehingga 15 hari. Pengunjung boleh menggunakan kesemua jenis pengangkutan awam termasuklah tren, bas dan bot di seluruh negara. Tidak perlu membuat tempahan terlebih dahulu. Pengunjung boleh menggunakannya pada sepanjang hari, selain boleh memasuki lebih 500 muzium dan lokasi percutian terpilih secara percuma.
Foto: Switzerland Tourism & Heavens Portfolio
Baca lebih lanjut: PENGALAMAN KULINARI JEPUN, THE TABLE KINI DIBUKA DI SURIA KLCC
Tags
Artikel Yang Berkaitan
LUGANO, DESTINASI PERCUTIAN ‘LA DOLCE VITA’ DI SWITZERLAND
Kombinasi gaya hidup Itali dan kualiti kehidupan Swiss, Lugano merupakan destinasi percutian yang memukau berlatarkan keindahan tasik dan pergunungan di Ticino, Switzerland.