ADIDAS ORIGINALS TAMPIL KOLEKSI EKSKLUSIF UNTUK HAIWAN PELIHARAAN
Fesyen tidak semestinya sesuai untuk spesies lain, pakaian dicipta untuk manusia, bukan haiwan. Namun begitu, trend masa kini membuktikan sebaliknya. Jenama seperti Crocs pernah melancarkan clog untuk anjing pada Oktober lalu, dan kini Adidas Originals tampil membawa perkara ini ke tahap yang lebih tinggi dengan pelancaran Adidas pet collection: satu kapsul lengkap terdiri daripada pakaian, aksesori dan beg pembawa khas untuk kucing dan anjing.
Koleksi ini memperkenalkan pelbagai item fesyen yang bergaya namun cukup function. Antara sorotan utama ialah T-shirt inspirasi Adidas Cali Tee yang dicipta khas untuk saiz badan haiwan peliharaan kecil hingga sederhana. Masih mengekalkan rekaan Three Stripes pada bahu dan logo Trefoil dalam kemasan ton pada dada serta belakang, T-shirt ini hadir dalam warna-warna menarik seperti merah jambu, biru, kuning dan hijau. Paling menarik, Adidas turut menawarkan versi T-shirt yang sama dalam saiz manusia jadi anda dan si comel boleh bergaya sedondon!

Kredit foto: Adidas Originals
Selain pakaian, Adidas turut melancarkan kolar kulit boleh laras yang premium, lengkap dengan perkakasan metalik berwarna emas dan perak. Kolar ini dihiasi logo Trefoil sepanjang rekaannya, dan turut dilengkapi tag gantung eksklusif. Dua pilihan warna disediakan: hitam dan coklat yang menampilkan gabungan gaya dan fungsi yang sesuai untuk pelbagai baka kucing atau anjing.

Kredit foto: Adidas Originals
Buat anda yang gemar membawa haiwan peliharaan ke luar, Adidas turut memperkenalkan dua beg pembawa kulit yang eksklusif, satu dalam kemasan kulit semula jadi, dan satu lagi dalam warna hijau zaitun. Kedua-duanya direka dengan poket simpanan, sistem pengudaraan jaring, dan lapisan lembut di dalam untuk keselesaan haiwan. Seperti item lain dalam koleksi ini, penjenamaan Adidas boleh dilihat dengan jelas, manakala perkakasan metalik memberikan sentuhan mewah yang premium.

Kredit foto: Adidas Originals
Koleksi ini telah ditonjolkan melalui kempen fotografi rasmi Adidas, memperlihatkan betapa seriusnya jenama ini dalam membina dunia fesyen untuk haiwan peliharaan yang moden dan bergaya.
Namun, ada berita penting: Adidas pet collection ini hanya akan dilancarkan secara eksklusif di China. Pelancaran fizikal pertama akan berlangsung di kedai Adidas Originals Anfu Road di Shanghai pada 20 Mei, diikuti dengan pelancaran dalam talian pada 27 Mei 2025. Menurut maklumat terkini, koleksi penuh dijangka tersedia untuk pembelian bermula 26 Mei 2025.
Harga rasmi adalah seperti berikut:
-
T-shirt haiwan: ¥199 (~RM130)
-
Kolar kulit: ¥399 (~RM260)
-
Beg pembawa kulit: ¥899 (~RM590)

Kredit foto: Adidas Originals
Buat peminat Adidas di luar China, pilihan untuk mendapatkan koleksi ini agak terhad. Anda mungkin perlu bergantung kepada platform pihak ketiga atau reseller untuk mendapatkan salah satu daripada item kapsul ini. Ini menjadikan Adidas pet collection bukan sekadar koleksi gaya tetapi juga barang edisi terhad yang menjadi rebutan peminat fesyen dan haiwan peliharaan di seluruh dunia.

Kredit foto: Adidas Originals
Adidas pet collection membuktikan bahawa gaya tidak terhad kepada manusia sahaja. Kini, si comel juga boleh tampil selari dengan trend lengkap dengan tiga jalur ikonik yang menjadi lambang gaya global.
Artikel berkaitan: 5 PERKARA ANDA MUNGKIN TIDAK TAHU MENGENAI SNEAKER IKONIK, ADIDAS SUPERSTAR
Tags
Artikel Yang Berkaitan
5 PERKARA ANDA MUNGKIN TIDAK TAHU MENGENAI SNEAKER IKONIK, ADIDAS SUPERSTAR
Bulan ini, adidas Originals melancarkan edisi kasut sniker ikonik Superstar XLG terbaharu yang telah dilihat digayakan oleh bintang popular Thailand, Bright.
ADIDAS MALAYSIA MENGUASAKAN KOMUNITI KREATIF LOKAL DENGAN ‘HOME OF CLASSICS’
adidas Malaysia membawakan “Home of Classics” dengan acara berasaskan muzik untuk mengangkat bakat tempatan dan komuniti kreatif di REXKL.
APAKAH KELEBIHAN ADICLUB BUAT PEMINAT ADIDAS DI MALAYSIA?
Ahli adiClub di Malaysia akan mendapat pelbagai ganjaran, serta menyertai adiClub Members Week yang akan diadakan pada 27 April hingga 7 Mei 2023.