AIM25: SITI NURHALIZA RAIH DUA ANUGERAH UTAMA, AISHA RETNO DINOBATKAN ALBUM TERBAIK
Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) melabuhkan tirai dengan meraikan barisan nama besar serta bakat generasi baharu yang mewarnai industri muzik tempatan.
Malam kemuncak AIM25 ini menyaksikan pelbagai karya daripada genre berbeza diberi pengiktirafan, termasuk beberapa kemenangan yang mencuri perhatian. Antara yang paling menyerlah ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza yang membawa pulang beberapa kemenangan pada malam tersebut. Dia dinobatkan sebagai Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Kesuma, selain memenangi Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik menerusi Cenderamaya.
Lebih istimewa, Pesanan Buat Diri nyanyian Siti yang dicipta oleh Aubrey Suwito dengan lirik oleh Datuk Habsah Hassan memenangi Lagu Tradisional Terbaik sebelum turut dinobatkan sebagai Lagu Terbaik AIM25.
Anugerah Album Terbaik Jadi Milik Aisha Retno
Bintang muda Aisha Retno turut mencatat pencapaian besar apabila album [RE.HAB] dinobatkan sebagai Album Terbaik. Album terbitan Jaydi dan Seatravel itu turut memenangi kategori Rakaman Album Terbaik pada sesi pra anugerah. Aisha turut membawa pulang Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi O.R.B.I.T., sekali gus mengukuhkan lagi pencapaiannya pada AIM25.
Dalam kategori vokal, Arddley Nicholas dinobatkan sebagai Vokal Lelaki Terbaik menerusi Sandiwara Cinta, manakala Inteam memenangi Vokal Kumpulan Terbaik menerusi Satukan Kami Di Syurga. Hael Husaini dan Nadeera pula mengungguli kategori Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik menerusi Peluk, sementara Sekumpulan Orang Gila (SOG) bersama Amir Masdi membawa pulang Kugiran Terbaik menerusi Mahkota.
Alpha, Mimifly Antara Yang Menyerlah
Kumpulan Alpha turut mencipta detik tersendiri apabila dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik menerusi Mona Lisa (Bang Bang). Kumpulan tersebut turut memenangi Lagu Pop Terbaik menerusi P Ramlee Saloma. Sementara itu, Mimifly muncul antara nama yang paling menyerlah menerusi beberapa kemenangan. Lagu Temberang memenangi Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik, selain video muzik arahan Hafiz Rashid dinobatkan sebagai Video Muzik Terbaik.
Mimifly turut memenangi Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu menerusi Nara, manakala Serumpun membawa kemenangan dalam kategori Lagu Perayaan Terbaik serta Anugerah Dalam Talian, Lagu Dengan Hasilan Tertinggi Di TikTok.
Anugerah Sri Wirama Milik Ella
Antara momen istimewa AIM25 ialah pengiktirafan buat Ratu Rock Negara, Ella, yang menerima Anugerah Sri Wirama pada edisi ke-25 anugerah berprestij tersebut. Dalam kategori lain, Faizal Tahir memenangi Lagu Rock Terbaik menerusi Bila Sampai Waktu, manakala Yonnyboii dan Malique membawa pulang Lagu Rap/Hip Hop Terbaik menerusi Tanya Tuhan.
Halim Ahmad pula memenangi Lagu Nasyid Terbaik menerusi Fitnah Akhir Zaman, sementara Marsha Milan dinobatkan sebagai pemenang Lagu Etnik Terbaik menerusi Pelangi Pasti. Bagi kategori Lagu Perpaduan Terbaik, kemenangan menjadi milik Matahari Malaya nyanyian Mc Syze dan Noh Salleh.
Selain trofi kemenangan, pemenang bagi 15 kategori AIM25 menerima geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) sebanyak RM50,000 setiap seorang. Pemenang kategori Album Terbaik pula menerima geran berjumlah RM200,000.
Senarai Penuh Pemenang AIM25
- Artis Baru Terbaik: Alpha – Mona Lisa (Bang Bang)
- Vokal Lelaki Terbaik: Arddley Nicholas – Sandiwara Cinta
- Vokal Wanita Terbaik: Dato’ Sri Siti Nurhaliza – Kesuma
- Vokal Kumpulan Terbaik: Inteam – Satukan Kami Di Syurga
- Kugiran Terbaik: Sekumpulan Orang Gila (SOG) ft Amir Masdi – Mahkota
- Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik: Hael Husaini & Nadeera – Peluk
- Video Muzik Terbaik: Hafiz Rashid – Temberang (Mimifly)
- Runut Bunyi Terbaik Di Dalam Filem Atau Drama: Aku Bukan Narsisis – Hazama
- Lagu Rock Terbaik: Bila Sampai Waktu – Faizal Tahir
- Lagu Pop Terbaik: P Ramlee Saloma – Alpha
- Lagu Rap/Hip Hop Terbaik: Tanya Tuhan – Yonnyboii & Malique
- Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik: Temberang – Mimifly
- Lagu Inggeris Tempatan Terbaik: O.R.B.I.T – Aisha Retno
- Lagu Cina Tempatan Terbaik: (Love Yourself) – Yise Loo
- Lagu India Tempatan Terbaik: Kadhal War – Buggimaan ft Sri Vithya
- Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik: Cenderamaya – Dato’ Sri Siti Nurhaliza
- Lagu Nasyid Terbaik: Fitnah Akhir Zaman – Halim Ahmad
- Lagu Etnik Terbaik: Pelangi Pasti – Marsha Milan
- Lagu Perpaduan Terbaik: Matahari Malaya – Mc Syze & Noh Salleh
- Lagu Tradisional Terbaik: Pesanan Buat Diri – Dato’ Sri Siti Nurhaliza
- Lagu Borneo Terbaik: Dayang Bintang – Mawat
- Album Terbaik: [RE.HAB] – Aisha Retno
- Lagu Terbaik: Pesanan Buat Diri – Dato’ Sri Siti Nurhaliza
- Kulit Single/Album Terbaik: Aidil Saleh – Misompuru, Marsha Milan
- Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu: Mimifly – Nara
- Lagu Perayaan Terbaik: Serumpun – Mimifly
- Rakaman Album Terbaik: Jaydi & Seatravel – [RE.HAB], Aisha Retno
- Rakaman Lagu Terbaik: Koh Kok Boon – Gasoline, Akim & The Majistret
- Anugerah Dalam Talian, Lagu Paling Tinggi Distrim: Seni Berdamai Dengan Takdir – Naim Daniel & Adnin Roslan
- Anugerah Dalam Talian, Lagu Dengan Hasilan Tertinggi Di TikTok: Serumpun – Mimifly
- Anugerah Dalam Talian, Video Muzik Rasmi Malaysia Dengan Tontonan Tertinggi Di Pelantar Video Utama: Meriah Lain Macam – Hael Husaini & Nadeera
- Anugerah Sri Wirama: Ella
Pautan berkaitan: SENARAI PEMENANG MTV VMAS 2026
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
ZARIF GHAZZI MENCERMINKAN KARISMA ROYAL OAK OFFSHORE
Zarif Ghazzi membuka interpretasi tersendiri terhadap rekaan terbaharu Royal Oak Offshore, menyerlahkan semangat yang kekal relevan serta tenaga berani yang menjadi identiti koleksi ikonik ini.
8 LAGU BAHARU TEMPATAN ANDA PATUT DENGAR SEPANJANG BULAN OKTOBER 2026
Tiba masanya untuk update playlist lagu anda sempena bulan Oktober 2026 dengan keluaran lagu-lagu dari artis tempatan.
SELEBRITI TEMPATAN YANG HADIR KE F1 GRAND PRIX BAHRAIN DI SEPANG
Selain dari dentuman kereta F1 hujug minggu yang lalu, kehadiran selebriti tempatan di Sepang turut dinantikan oleh peminat.
FOSSIL SIGNATURE CS-1, KEMBALINYA FOSSIL KE ARENA PEMBUATAN JAM TANGAN SWISS
Reka bantuk minimalis, identiti jelas, serta ketukangan jam tangan Switzerland menjadi tumpuan utama Fossil Signature CS-1.
SUARA BAHARU GL, 5 PENYANYI LELAKI YANG MENINGKAT NAIK
Kenali lima penyanyi lelaki generasi baharu yang sedang mencuri perhatian dan mencipta gelombang tersendiri dalam industri muzik Malaysia.
F1 BAHRAIN DI SEPANG JADI MILIK MAX VERSTAPPEN, HAMILTON KEMBALI DI PODIUM
Malaysia digegarkan dengan dentuman bunyi dari kereta F1 sepanjang hujung minggu yang lalu dengan Bahrain GP di Sepang.











