GLAM LELAKI RAIKAN SEDEKAD PENUBUHAN BERSAMA ALPHAMEN 2017
Sepuluh tahun, bukanlah satu jangka masa singkat. Sedekad mempelopori industri penerbitan sebagai satu-satunya naskah rujukan utama buat lelaki alfa dalam fesyen dan gaya hidup, GLAM Lelaki kiranya sudah banyak menyumbang dan memperkasakan kaum Adam era milenial di dalam negara ini. Walau ada turun dan naiknya, GLAM Lelaki unggul merentasi cabaran dalam dunia penerbitan dan tetap utuh di sanubari pengikut dan pembaca. Naskah pertama dikeluarkan pada tahun 2007, dan sehingga kini tiada majalah seumpamanya yang mampu menyaingi kualiti, kandungan dan kehebatan GLAM Lelaki. Itulah kuasa GL!
Dan semalam, parti tahunan meraikan 10 tahun penerbitan majalah GLAM Lelaki berlangsung penuh meriah dan gilang- gemilang di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur. Malam santai dan mesra bertemakan ‘Malaya Glamor’ itu turut meraikan sepuluh GLAM Lelaki AlphaMen 2017 yang menghiasi muka depan sampul isu November 2017, merangkap personaliti-personaliti yang pernah tampil di muka depan majalah GLAM Lelaki sepanjang 10 tahun ini.
Antara AlphaMen yang hadir adalah Amy Search, Anuar Zain, Joe Flizzow, Hisyam Hamid, Izzue Islam, Iedil Putra dan Keith Foo. Yang pastinya, kesemua AlphaMen tampak segak, bergaya dan ternyata stylish menyarung busana dari Hugo Boss, selaku salah satu penaja utama. Gaya peribadi mereka turut dilengkapi dengan tajaan dan sarungan jam tangan mewah dari ORIS. Selain itu, istimewanya jentera hebat BMW secara eksklusifnya menaja dan membawa mereka menaiki kenderaan yang disediakan khas ke acara ini.
Bermula 7 malam, kelihatan ramai barisan selebriti, personaliti, ikon fesyen, influncer, para klien, jemputan dan dif-dif kehormat sudah mula melewati ruang foyer dewan sebelum masuk ke dalam grand ballroom untuk majlis makan malam formal. Kelihatan semuanya segak dan cantik sambil sempat bergambar di dinding foto GLAM Lelaki yang eksklusif, termasuk photo booth khas dilengkapi kamera gerak perlahan (slow-mo cam) yang berinspirasikan pentas klasik muzikal Malaya.
Tepat pukul 8 malam, majlis terus dimulakan dengan persembahan pembukaan yang memukau oleh barisan tiga penyanyi hebat, iaitu Tony Eusoff, Ushera dan Elvira yang ternyata unggul dengan lantunan vokal masing-masing kala mendendangkan lagu klasik ‘Getaran Jiwa’.
Kata-kata aluan oleh pengacara, the one and only, Sazzy Falak membuka bicara disusuli ucapan ringkas oleh Editor GLAM Lelaki, Abdul Aziz Draim yang diikuti persembahan video khas sejarah dan evolusi GLAM Lelaki sepanjang 10 tahun ini.
Kemudian hidangan makan malam pun dipersembahkan. Ketika para tetamu sedang enak menjamu selera, senario malam itu dibingitkan lagi dengan persembahan komedi solo oleh Dr. Jason Leong, komedian yang tidak asing lagi, dan ternyata semua para tetamu terhibur dengan telatahnya yang bersahaja.
Kemeriahan malam itu diteruskan lagi dengan persembahan solo memukau oleh Tony Eusoff dan Ushera yang masing-masing menyampaikan tiga buah lagu.
Sebaik saja persembahan mereka tamat, majlis bergerak ke acara utama, iaitu majlis penghargaan kepada kesemua GLAM Lelaki AlphaMen 2017. Walaupun tidak semuanya hadir atas komitmen masing-masing yang tidak dapat dielakkan, majlis tetap berjalan lancar di mana tujuh AlphaMen yang hadir dijemput ke atas pentas untuk menerima plak penghargaan yang dipersembahkan oleh Editor GLAM Lelaki, sambil diiringi sedutan video-video wawancara ringkas setiap AlphaMen . Tamat saja sesi penganugerahan barisan AlphaMen, malam itu diteruskan dengan persembahan terakhir oleh Elvira yang turut menyampaikan tiga buah lagu, termasuk dendangan ‘One Hundred Million Smiles’ dendangan asal Allahyarham Sudirman Hj. Arshad, sebelum majlis tamat sekitar jam 10.30 malam.
Walau singkat, acara tahunan majalah GLAM Lelaki meraikan #GLAMLelaki10 dan ‘Alphamen 2017 A Celebration of Style and Success’ ternyata meletakkan GLAM Lelaki di suatu tanda aras yang baru, dan ini semua kiranya mustahil tanpa sokongan para tetamu yang hadir, dan tidak dilupakan kepada pembaca-pembaca kesayangan. Anda semua adalah nadi dan jantung yang menggerakkan kami dalam menyalurkan informasi dan kandungan terbaik khas untuk anda. Terima kasih sekali lagi buat semua yang menjayakan majlis secara langsung dan tidak langsung. Tidak dilupakan kepada semua penaja-penaja utama iaitu BMW, Oris, Faber-Castell dan Hugo Boss.
Semoga kita bertemu lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Long live GLAM Lelaki!
Oleh Wan Mohd Firdaus, 29 November 2017
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Gelak Tawa #GLAMLelaki10
Kita mungkin sudah biasa melihat selebriti kesayangan kita berwajah serius dan ‘control’ tatkala merentasi karpet merah. Jarang sekali berpeluang melihat mereka let loose dan ketawa besar, apatah lagi dalam majlis formal. Satu minggu sudah berlalu namun memori manis malam Gala Ulangtahun ke-1o GLAM Lelaki masih terasa pabila membelek gambar-gambar kandid para jemputan. Antara highlight malam…
‘MALAYA GLAMOR’ GAMIT MEMORI
Jom kita intai momen-momen mesra yang sempat dirakam oleh jurufoto Saufi Nadzri sepanjang majlis gala Ulangtahun Ke-10 GLAM Lelaki.
‘POWER COUPLE’ MALAM ULANG TAHUN KE-10 GLAM LELAKI
Dengan tema Malaya Glamor, mengamit kenangan lampau saat bercinta, jadi padanlah semuanya datang berhias indah apatah lagi dengan pasangan masing-masing.