MAKANAN BAZAR RAMADHAN PILIHAN GLAM LELAKI
Istimewa sempena bulan Ramadhan, GL Team berkongsi makanan-makanan di bazar ramadhan yang menjadi pilihan kami.
Bulan Ramadan bukan sahaja sinonim dengan ibadah dan waktu berbuka bersama keluarga, malah turut meriah dengan kehadiran bazar Ramadan yang dipenuhi pelbagai hidangan menarik. Daripada makanan tradisional hinggalah sajian moden, bazar Ramadan sentiasa menjadi destinasi wajib untuk mencari juadah berbuka. Kali ini, GL Team berkongsi pilihan makanan kegemaran kami setiap kali berkunjung ke bazar Ramadan.
1. Cendol & Popia Basah — Johan Kassim (Pengarah Kreatif)
Bagi Johan, hidangan yang paling menggamit selera setiap kali ke bazar Ramadan ialah cendol dan popia basah. Kombinasi manis dan segar daripada cendol sangat sesuai dinikmati ketika berbuka selepas seharian berpuasa. Cendol dengan santan pekat, gula melaka dan ais kisar memang menyegarkan lebih-lebih lagi dengan cuaca kita yang panas. Selain itu, popia basah turut menjadi pilihannya kerana rasanya yang ringan tetapi penuh dengan inti sayur yang segar serta sos manis pedas yang menambah selera.

2. Ayam Bakar Madu — Khairani Ramli (Pengarah Seni Kanan)
Untuk Khairani pula, ayam bakar madu merupakan antara juadah wajib setiap kali mengunjungi bazar Ramadan. Aroma ayam yang dipanggang bersama perapan madu dan rempah ratus sememangnya sukar untuk ditolak. Bau ayam madu yang menyelerakan sememangnya akan buat kita rasa lapar. Ayam bakar madu lazimnya dihidangkan bersama nasi putih, nasi minyak atau dimakan begitu sahaja bersama sos cili bagi melengkapkan hidangan berbuka.
Baca: GL RAYA 2026: JANGKAAN WARNA BAJU RAYA GL TEAM TAHUN INI
3. Murtabak & Ayam Goreng — Hilman Hisham (Pereka Seni Kreatif)
Bagi Hilman, murtabak dan ayam goreng adalah pilihan klasik yang tidak pernah mengecewakan. Murtabak panas yang baru diangkat dari kuali sering menjadi pilihan utamanya. Murtabak berinti daging dengan kulit yang rangup, dimakan dengan kuah kari atau acar bawang. Selain murtabak, ayam goreng rangup juga sering menjadi tambahan dalam juadah berbuka. Menurut Hilman, gabungan makanan yang mengenyangkan ini sangat sesuai untuk mengisi tenaga selepas seharian berpuasa.

4. Kebab & Onde-Onde — Batrisyia Faisal (Penulis)
Penulis GLAM Lelaki, saya memilih gabungan makanan moden dan tradisional iaitu kebab dan onde-onde. Kebab yang dipenuhi daging, sayuran segar dan sos berkrim menjadikannya hidangan yang ringkas tetapi memuaskan. Kedua-dua hidangan ini mudah dimakan dan rasanya lengkap. Ada daging, sayur dan sos. Sesuai kalau mahu sesuatu yang ringan sebelum makan hidangan utama. Sebagai pencuci mulut, onde-onde menjadi kegemaran saya. Kuih tradisional berinti gula melaka ini memberikan rasa manis yang sempurna untuk mengakhiri waktu berbuka. Onde-onde antara makanan wajib dibeli oleh arwah atuk saya, buat saya dahulu.

Bazar Ramadan sentiasa menawarkan pelbagai pilihan makanan yang menggamit selera dan memori. Setiap individu pastinya mempunyai juadah kegemaran tersendiri, sama ada makanan tradisional seperti murtabak dan onde-onde, atau hidangan popular seperti ayam bakar madu dan kebab. Apa pun pilihannya, suasana meriah bazar Ramadan dan kepelbagaian makanan yang tersedia menjadikan pengalaman mencari juadah berbuka sesuatu yang dinanti-nantikan setiap tahun. Jadi, bazar Ramadhan mana menjadi kesukaan anda dan makanan bazar apa pilihan anda?
Pautan berkaitan: 6 LOKASI BERBUKA PUASA MAKANAN KAMPUNG PREMIUM DI KUALA LUMPUR
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
Sorry, we couldn't find any posts. Please try a different search.





