Skip to content

NE-YO KEMBALI GEGARKAN PENTAS KUALA LUMPUR NOVEMBER INI

NE-YO KEMBALI GEGARKAN PENTAS KUALA LUMPUR NOVEMBER INI

Kongsikan artikel ini

Tahun ini seorang demi seorang artis antarabangsa terbang ke Malaysia untuk menghiburkan peminat setia. Terbaharu adalah penyanyi dan penulis lagu, NE-YO.

Selepas kejayaan konsert lalu, penyanyi berusia 45 tahun ini akan kembali menghangatkan pentas hiburan tanah air. Kuala Lumpur merupakan lokasi persinggahan Asia dalam konsert jelajah dunia Champagne & Roses yang sedang dijayakannya.

Dianjurkan oleh penganjur konsert terdahulu iaitu Hitman Solutions dengan kerjasama Happymoon, pemilik nama Shaffer Chimere Smith ini akan sekali lagi membuat persembahan di Dewan Plenari KLCC.

ne-yo live in malaysia

Dek sambutan hangat, konsert yang sepatutnya berlangsung hanya satu malam terpaksa dilanjutkan. Menurut pihak penganjur, tarikh persembahan kini menjadi dua hari iaitu pada 9 dan 10 November 2024.

NE-YO: Live In Malaysia

Menerusi konsert terbarunya, ikon R&B tahun 2000-an ini menjanjikan persembahan yang tidak dilupakan buat penonton yang hadir.

Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal meluahkan keterujaannya menerusi satu kenyataan rasmi baru-baru ini.

“Berikutan sambutan luar biasa terhadap persembahan sebelum ini, kami tahu kami perlu membawa NE-YO kembali ke Malaysia dalam jelajah terkininya. Media sosial kami dipenuhi dengan permintaan untuk menganjurkan konsertnya sekali lagi. Jadi kami sangat teruja untuk menunaikan impian anda.

“Kami berharap peminat yang telah memberi sokongan kepada NE-YO dalam konsertnya sebelum ini akan kembali dengan semangat lebih membara. Juga bersedia untuk menikmati konsert penuh bertenaga dan kenangan nostalgia bersama lagu-lagu klasik R&B pada tahun ini,” katanya.

Jualan tiket sudah pun dibuka pada akhir bulan lalu. Ia berharga RM288 (Gold), RM488 (Platinum), RM648 (Diamond) dan RM988 (VIP).

Penyanyi ini terkenal dengan lagu-lagu yang menjadi siulan peminat seperti So Sick, Because Of You dan Sexy Love. Dia baru saja tampil dengan muzik terbaru berjudul 2 Million Secrets yang dilancarkan pada Jun lalu.

 

Foto: Facebook

Pautan berkaitan: KONSERT DUA LIPA DI KUALA LUMPUR DIPANJANGKAN