“SILAP MATA ADALAH PERJUANGAN SAYA” – SOBHI SHAKER, PESERTA ASIA’S GOT TALENT, DARI PENDATANG KINI SEORANG PEJUANG
Asia’s Got Talent sudah memulakan pencarianya mencari bakat terunggul di Asia yang kini sudah memasuki pusingan separuh akhir, dan sepanjang pencarian ini, antara peserta yang menarik perhatian selain bakatnya, adalah Sobhi Shaker. Ya, kisah hidupnya yang bermula dengan satu perjuangan mencari kebebasan, akhirnya didorong usaha mencipta satu pencapaian. Walau lahir di bumi beretakan, dirinya nekad mengubah nasib dengan bakat dianugerahkan. Silap mata. Ya, seni silap mata akhirnya membawa Sobhi ke pentas Asia’s Got Talent. GLAM Lelaki berkesempatan untuk menemubual dirinya secara atas talian dan meminta berkongsi kisah hidup dan perjalanannya dari seorang pendatang kepada seorang pejuang. Semoga bermanfaat.
GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan serba sedikit tentang diri anda?
SOBHI SHAKER: Baiklah pertama sekali saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada pihak GLAM Lelaki kerana sudi menyiarkan kisah hidup saya. Baiklah, nama saya Sobhi Shaker, berusia 24 tahun dan berasal dari Syria. Saya mempunyai tiga orang adik beradik. Saya kini bertugas sebagai penyelia di sebuah restoran di ibu kota. Mengilai seni silap mata, dan saya sentiasa mencari jalan untuk menambah baik trik-trik magik untuk tontonan semua.
GLAM Lelaki: Anda pertama kali dikenali sewaktu rancangan Asia’s Got Talent dan kisah hidup anda telah menarik minat ramai yang menontoni. Boleh anda kongsikan kisah hidup serta perjalanan anda sehingga sampai ke bumi Malaysia.
SOBHI SHAKER: Sebaik menamatkan pengajian dalam ijazah dalam jurusan ekonomi (perbankan dan insuran) di Syria, keadaan di sana kembali bergolak dan di ambang peperangan. Demi kelangsungan hidup saya membuat keputusan untuk mengembara setelah mendapat keizinan dari ibu dan bapa. Saya bersyukur negara Malaysia menerima kami dengan terbuka sebagai perantau Muslim, malah di sini turut mempunyai banyak universiti yang unggul, maju dan berfasiliti tinggi, jadi saya yakin Malaysia adalah pilihan terbaik.
GLAM Lelaki: Bagaimana pula dengan cabaran yang perlu dilalui sejak pertama kali anda menjejakkan kaki di bumi Malaysia.
SOBHI SHAKER: Pertama kali saya menjejakkan kaki di sini, agak sukar untuk saya membiasakan diri, terutama sekali dengan cuaca di sini yang panas dan lembap. Syukurlah, saya mengenali saudara-saudara Syria yang turut mencari nafkah di sini, membantu saya mencari pekerjaan. Seawal 8 bulan, saya bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran dan perlu bekerja keras untuk meneruskan kehidupan sehingga terpaksa melupakan seketika minat dalam silap mata. Saya langsung tidak berkesempatan untuk memegang kad-kad saya. Agak sukar sewaktu itu, namun ahamdulilah kini saya memegang jawatan sebagai sebagai penyelia dan masa malam saya akan habiskan masa untuk mempelajari trik-trik silap mata. Saya juga bersyukur rakyat Malaysia banyak membantu saya. Mereka semuanya baik-baik dan peramah.
GLAM Lelaki: Apa yang memotivasikan anda dalam seni silap mata ini?
SOBHI SHAKER: Sudah pasti keluarga dan rakan-rakan yang kini berada di Syria. Saya perlu buktikan pada mereka dengan silap mata saya boleh menyara kehidupan dan memberi semula kepada keluarga. Ada juga yang memandang rendah dan tidak mempercayai akan bakat saya ini, tetapi saya tidak ambil pusing malah menjadikan ia semangat untuk buktikan bergelar ahli silap mata bukanlah satu yang sia-sia.
GLAM Lelaki: Kenapa silap mata dan di mana anda mempelajarinya?
SOBHI SHAKER: Silap mata buat orang ketawa dan terpesona, dan mempersembahkannya membuatkan saya rasa puas dan gembira. Selama tiga tahun, saya hanya mempelajari selok belok silap mata dengan menonton video YouTube, lima hingga enam jam sehari, termasuklah di dapur sewaktu sedang bekerja. Ya, saya akui ibu bapa saya kurang bersetuju dengan minat saya ini, kerana mereka inginkan saya untuk memegang jawatan di dalam pejabat.
GLAM Lelaki: Siapakah idola anda?
SOBHI SHAKER: Idola ahli silap mata saya adalah Shin Lim. Beliau memberikan inspirasi buat saya untuk menjadi sehebatnya. Saya ingin menunjukkan sisi lain dunia magik kad dan daun terup dan membawanya ke peringat yang lebih tinggi.
GLAM Lelaki: Kongsikan dengan kami perjalanan anda dalam ujibakat Asia’s Got Talent?
SOBHI SHAKER: Saya membuat keputusan menyertai Asia’s Got Talent demi membuktikan saya boleh membuat sesuatu dari silap mata yang dipelajari. Malah dapat membuat persembahan di pentas besar Asia’s Got Talent memberi ruang kepada saya untuk membaiki diri dan meningkatan penguasaan saya dalam arena show business. Malah, krew dan bakat-bakat lain juga sangat sporting dan sejujurnya ini adalah pengalaman terbaik dalam hidup saya.
GLAM Lelaki: Apa yang akan anda lakukan dengan wang kemenangan sekiranya memenangi musim ini dan di mana anda melihat diri anda dalam tempoh 5 tahun akan datang?
SOBHI SHAKER: Siapa yang inginkan kegagalan bukan, malah ini pertama kali saya bertanding di pentas besar. Menipulah jika saya tidak merasa gementar dan panik. Sekiranya tertulis rezeki saya, saya ingin sekali menggunakan duit tersebut membantu ibu bapa dan keluarga saya yang masih berada di Syria. Mungkin saya akan membawa mereka ke sini. Ikut keadaan semasa di sana. Saya juga akan menggunakan duit tersebut untuk kegunaan saya pada masa hadapan contohnya untuk membeli kereta dan rumah, dan sudah pastinya untuk menamatkan zaman bujang.
GLAM Lelaki: Apa agaknya kriteria utama untuk bergelar ahli silap mata yang bagus?
SOBHI SHAKER: Yang pasti menjadi ahli silap mata tidak sukar, namun untuk menjadi ahli silap mata yang berjaya, anda perlu banyak melatih diri dan yang paling penting, anda percaya dengan magik yang dipersembahkan. Sekiranya anda sendiri ragu-ragu, tiada siapa yang akan menikmatinya. Have faith in your own magic, then magic will happens.
GLAM Lelaki: Apakah sebenarnya silap mata dan fakta tentangnya yang tidak semua tahu?
SOBHI SHAKER: Silap mata berkisar reaksi mereka yang menonton pada saat dan ketika itu. Ia juga tentang momen di mana mereka ‘dikejutkan’ bukan sekadar pada penglihatan, tetapi dalam akal dan fikiran. Silap mata juga punya banyak rasa. Terpesona, ketakutan, kerisauan, debaran dan sebagainya. Yang pasti, untuk benar-benar menghayati mana-mana silap mata, penonton perlu berfikiran terbuka.
GLAM Lelaki: Kata-kata terakhir anda?
SOBHI SHAKER: Sudah pastinya buat semua keluarga, rakan-rakan dan penonton yang menyokong, terima kasih saya ucapkan atas segala sokongan, dorangan dan kritikan. Teruskan mengundi dan menyokong saya sepanjang saya berada di pentas Asia’s Got Talent ini. Kita hanya hidup sekali, dan kita seharusnya berhak untuk lakukan apa saja asalkan ia dapat mengembirakan hati kita. Teruskan berusaha mencapai impian walau berapa kali pun anda gagal.
Asia’s Got Talent bersiaran pada pukul 8.30 malam di saluran Astro CH 701 dan CH 721 (HD). Anda boleh mengundi Sobhi Shaker bermula hari Khamis ini (30 November 2017) melalui tanda pagar (hashtag) FB dengan menulis posting atau menulis komen #AGTVote23, Facebook Messenger dan Google Search. Undian berkahir pada Ahad, (3 November 2017) 11.59pm. Untuk informasi lanjut tentang bagaimana untuk mengundi, layari www.AXN-Asia.com/AGTVote.
Oleh Wan Mohd Firdaus, 30 November 2017
Tags
Artikel Yang Berkaitan
LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON MENUTUP TIRAI 2023 DENGAN PENUH MERIAH
Semasa matahari terbenam di ufuk pada hari terakhir tahun 2023, Lexis Hibiscus Port Dickson berubah menjadi syurga kaleidoskopik bagi lebih daripada 2,000 para tetamu yang meraikan perayaan Malam Tahun Baru yang paling dinantikan tahun ini.
STREET PIZZA MILIK GORDON RAMSAY KINI DIBUKA DI SUNWAY PYRAMID
Bagi peminat chef selebriti terkenal Gordon Ramsay, anda kini boleh menikmati makanan lazat di restoran terbarunya Street Pizza di Sunway Pyramid.
SISTEM MUZIK REVOLUSIONER SIRI 100 RUARK MENGHUBUNGKAN ANDA DENGAN MUZIK
Ruark menampilkan Siri 100 sistem muzik yang menawarkan lonjakan dalam kualiti audio evolusi dan gabungan kesenian dan inovasi yang lancar.
10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA
Daripada menunggu lamaran cinta hati, barisan selebriti ini memilih untuk mengabaikan gelaran 'perigi cari timba' dan melamar lelaki idaman.
BACHA COFFEE MEMBUKA DESTINASI SUMBANGANNYA DI SURIA KLCC
Jenama kopi legenda Bacha Coffee diasaskan di Marrakech pada tahun 1910, telah meneruskan jelajah dunianya ke tengah-tengah Kuala Lumpur Suria KLCC.
5 SENAMAN TERBAIK UNTUK KURANGKAN SAKIT PINGGANG
Anda mempunyai masalah sakit pinggang sehingga menjejaskan aktiviti harian? Cuba senarai senaman ini untuk mengurangkan rasa sakit.