Skip to content

GLAM LELAKI SEPTEMBER 2026 BERSAMA ALPHA: DALAM RENTAK SENDIRI

GLAM LELAKI SEPTEMBER 2026: ALPHA, DALAM RENTAK SENDIRI

Kongsikan artikel ini

Tujuh individu dengan karakter dan kekuatan berbeza bertemu membentuk nama hangat dalam muzik tempatan kini. ALPHA dianggotai Daniel Sher, Izat Ibrahim, Rizal Rasid, Ariel Fesol, Ray-D, Araff dan Afiq Sky. Mereka membuktikan bahawa kerja keras, keserasian, dan keberanian untuk mencuba adalah rentak sebenar dalam merealisasi objektif seni mereka.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by GLAM Lelaki (@glamlelaki)

Menginjak jam tujuh malam, team GL, glam team dan krew mula beransur pulang. Pun begitu, ketujuh-tujuh anggota ALPHA bersama pengurus mereka termasuk saya masih berada di set selepas tamatnya sesi penggambaran muka depan GLAM Lelaki edisi September. “Ya Allah, leganya!” ujar Izat sambil melabuhkan diri di sofa kulit. Maka, bermulalah sesi temu bual kami.

ALPHA hadir ke studio dengan energi yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan selebriti lain yang pernah saya temu bual. Setiap daripada mereka penuh karakter. Serius, namun tetap playful pada masa yang sama. Ada kalanya mereka benar-benar lock in ketika penggambaran, namun di satu ketika, mereka tiba-tiba mengharmonikan lagu Ya Hanana oleh Habib Syech di set. You can’t really predict their next move.

Temu bual ini juga menandakan kali pertama saya bertemu dengan kesemua ahli ALPHA setelah sekian lama menyaksikan mereka mencipta impak menerusi skrin. Ternyata, sisi mereka yang mudah didekati dan bersahaja di media sosial tidak hanya sekadar persona, malah lebih menyerlah ketika bersua secara bersemuka.

Ketika sesi penggambaran ini berlangsung, muzik video Haru Biru baru sahaja dilancarkan tiga hari sebelumnya. Dengan muzik video baharu, album sulung (berjudul The First Wave) dan konsert yang bakal berlangsung pada 26 September, jelas sekali jadual ALPHA kini cukup padat. Namun, setiap pencapaian baharu ini seakan menyemarakkan lagi semangat kumpulan yang kian mencuri perhatian.

“Kami sangat teruja! Menerbitkan album merupakan antara impian kami, jadi kami sentiasa ingin memberikan yang terbaik. Ramai peminat yang hadir ketika pelancaran album. Dan album ini juga membuka peluang untuk kami mengadakan konsert buat mereka pada September ini.”

Percaya atau tidak, kata-kata itu hanyalah permulaan kepada deretan cerita tentang para peminat mereka, yang dikenali sebagai ALPHAnites, sepanjang temu bual ini.

 

MONA LISA (BANG BANG)

Satu karakter yang paling terserlah sepanjang perbualan kami ialah kerendahan hati ALPHA. Adakah orang ramai akan hadir menyaksikan persembahan mereka di Pavilion untuk separuh akhir? Lebih-lebih lagi ketika itu, Mona Lisa masih belum dilancarkan dan mereka juga belum aktif di media sosial? Adakah orang akan membeli album mereka? Adakah peminat akan memenuhi konsert The First Wave?

Namun, segala persoalan itu akhirnya terjawab. Hampir 7,000 orang hadir menyaksikan ALPHA di Pavilion KL. Album mereka meraih 25 juta strim dalam tempoh sebulan, manakala tiket konsert pula habis terjual dalam masa sejam. “Semuanya memberikan perasaan nostalgia yang sama,” ujar Sky.

Apa yang peminat boleh jangkakan daripada konsert akan datang? “100% energi,” ujar Ariel. Dengan hanya berbaki 19 sesi untuk memantapkan vokal, tarian dan susunan lagu, tempoh dua bulan sememangnya singkat. Namun, ALPHA mahu memastikan setiap detik di atas pentas meninggalkan kesan. “Kami ingin bina ekspresi supaya selepas ini, orang rasa, ‘Oh, ALPHA buat show, kena pergi!’”

 

SOKONGAN DARI ALPHANITES

Setelah mendengar tentang kepenatan yang mereka lalui, saya tertanya-tanya, apakah yang terus menjadi pembakar semangat ALPHA? Jawapannya, tidak lain dan tidak bukan, ialah ALPHAnites. “Selagi orang bagi peluang, selagi itu kami akan terus mencipta. Kerana kita tidak pernah tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang.”

Sudah jelas bahawa ALPHA sudah mempunyai landasan bunyi yang tersendiri. Lihat sahaja album sulung mereka yang mengimbangi attitude menerusi Gerak dengan luahan emosi seperti Roman Empire. “Cabaran terbesar adalah untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa kami tidak cuba untuk menjadi siapa-siapa,” ujar ALPHA.

Tidak kira genre, sama ada indie mahupun pop, ALPHA berharap momentum industri muzik Malaysia akan terus berkekalan. Mereka mahu terus berkarya, memanfaatkan setiap ruang yang diberikan dan mencari rezeki melalui sesuatu yang mereka cintai.

Namun, mereka sedar bahawa perkembangan ini tidak mungkin dicapai sendirian. Setiap individu, daripada penyanyi hingga pendengar, memainkan peranan dalam menggerakkan industri dan membuka ruang kepada sesuatu yang baharu. “Yang penting, buat yang terbaik dan terus berusaha. Jadi atau tidak, Tuhan yang menentukan. In God’s time.”

Baca temu bual penuh dengan mendapatkan GLAM Lelaki September 2026 Volume 4 edisi fizikal yang kini berada di pasaran.

Artikel berkaitan: GLAM LELAKI OGOS 2026 BERSAMA PENINJU MUAY THAI, KABILAN JELEVAN

Mengintegrasikan fesyen dan advokasi, one article at a time.

Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

GL EKSKLUSIF: DISEBALIK PENGGAMBARAN ISU SEPTEMBER 2026 BERSAMA ALPHA

GL EKSKLUSIF: DISEBALIK PENGGAMBARAN ISU SEPTEMBER 2026 BERSAMA ALPHA

Bacaan Lanjut
PERSONA AHLI TERMUDA ALPHA, AFIQ SKY

PERSONA AHLI TERMUDA ALPHA, AFIQ SKY

Bacaan Lanjut
7 FAKTA TENTANG RAPPER UTAMA ALPHA, ARIEL FESOL

7 FAKTA TENTANG RAPPER UTAMA ALPHA, ARIEL FESOL

Bacaan Lanjut
APA WANGIAN KEGEMARAN AHLI ALPHA? INI 7 PILIHAN MEREKA

APA WANGIAN KEGEMARAN AHLI ALPHA? INI 7 PILIHAN MEREKA

Bacaan Lanjut
APA SEBENARNYA MAKSUD ‘MAHU MENGAHWINI LELAKI KAYA’?

APA SEBENARNYA MAKSUD ‘MAHU MENGAHWINI LELAKI KAYA’?

Bacaan Lanjut
5 ARTIS LOKAL UNTUK DIDENGARI SEKIRANYA ANDA MEMINATI ALPHA

5 ARTIS LOKAL UNTUK DIDENGARI SEANDAINYA ANDA MEMINATI KUMPULAN ALPHA

Bacaan Lanjut