THE BODY SHOP RAI ULANG TAHUN GLOBAL KE-50 DENGAN SUMBANGAN
The Body Shop meraikan ulang tahun global mereka yang ke-50 tahun ini dengan menegaskan semula kepercayaan mereka terhadap sumbangan.
Bagi The Body Shop, perniagaan boleh menjadi kuasa yang membawa kebaikan kepada masyarakat. Bersempena pencapaian emas ini, jenama kecantikan berasaskan alam semula jadi itu telah menganjurkan majlis penyampaian cek di butik mereka di Suria KLCC bagi menghargai tiga rakan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang telah lama bekerjasama dengannya.
Tiga organisasi tersebut ialah Tenaganita, Yayasan Chow Kit dan Hopes Malaysia. Masing-masing memainkan peranan penting dalam memperkasakan komuniti tempatan serta mewujudkan impak sosial yang positif.

Majlis tersebut menyaksikan Mina Cheah, Pengarah Urusan InNature Berhad dan pemegang francais The Body Shop di Malaysia, menyampaikan cek sumbangan kepada wakil setiap organisasi. Glorene Das, Pengarah Eksekutif Tenaganita; Hartini Zainuddin, pengasas Yayasan Chow Kit; serta Aaron Bosuang, Eksekutif Perhubungan Awam Hopes Malaysia.
Majlis Penyerahan Cek
Sumbangan tersebut dikumpulkan menerusi inisiatif Gifts for Good di bawah kempen Wrapped in Love Holiday 2025. Melalui kempen ini, bagi setiap RM100 yang dibelanjakan di kedai, RM1 akan disalurkan kepada organisasi kebajikan pilihan pelanggan. Hasilnya, sebanyak RM63,267 berjaya dikumpulkan dan diagihkan kepada ketiga-tiga NGO tersebut bagi menyokong pelbagai inisiatif mereka yang sedang berjalan.

Kerjasama berterusan antara The Body Shop dengan Tenaganita, Yayasan Chow Kit dan Hopes Malaysia kekal berpanjangan. Ia mencerminkan perkongsian nilai yang sama serta komitmen untuk membawa perubahan bermakna kepada masyarakat. Hubungan jangka panjang ini turut menegaskan tujuan The Body Shop sebagai sebuah jenama yang berasaskan alam semula jadi. Mereka turut dipandu oleh misi sosial dan komited untuk memberi impak positif di luar bidang peruncitan.
Menurut Mina Cheah, daripada sekian banyak NGO yang wujud, tiga organisasi ini dipilih kerana benar-benar mencerminkan kepercayaan bahawa perniagaan boleh menjadi agen perubahan yang baik.
Beliau berkata bahawa kepercayaan tersebut sentiasa menjadi teras kepada The Body Shop dan juga sesuatu yang sangat peribadi baginya. Menurutnya lagi, apabila sesebuah perniagaan menggunakan suara dan platformnya untuk melakukan kebaikan, ia mampu mempengaruhi dunia dengan cara yang bermakna. Melalui sumbangan ini, pihaknya berharap dapat menunjukkan bahawa tindakan memberi yang kecil mampu mencipta impak besar dan berkekalan kepada individu, komuniti serta planet ini.
Sejak penubuhannya pada tahun 1976, The Body Shop terus mengekalkan komitmennya untuk mencipta perubahan positif di luar produk yang dihasilkan. Kini, setelah 50 tahun, jenama ini terus berpegang kepada prinsip asalnya sambil membina perniagaan yang berteraskan tujuan dan memberi manfaat kepada masyarakat di Malaysia.
Internet bergerak pantas, tetapi fesyen bergerak lebih laju. Di GLAM Lelaki, Batrisyia Faisal menterjemah trend kepada cerita. Fesyen, personaliti dan sedikit sentuhan gaya hidup di dalam penulisannya.
Tags
Artikel Yang Berkaitan
PENJAGAAN KULIT BERMULA DENGAN BUNGA EDELWEISS
The Body Shop memperkenalkan formula Edelweiss baharu dengan 43% lebih kuasa antioksidan berbanding retinol untuk kulit yang lebih kuat, licin dan segar berseri tanpa mengira usia.
SANATIZER, PENCUCI DAN KRIM TANGAN KEPERLUAN ASAS MASA KINI
Hari ini penggunaan sanatizer sudah sama penting dengan ubat gigi. Malah penggunaan sanatizer lebih kerap dalam sehari jika hendak dibandingkan dengan rutin kita menggosok gigi. Apatah lagi dengan kes Covid-19 yang masih meningkat dan belum menunjukkan tanda-tanda akan surut peratusannya. Banyak cara yang disarankan dalam usaha menurunkan angka jangkitan virus ini termasuklah penggunaan sanatizer. Hari…
Banyaknya pilihan hadiah menarik di The Body Shop!
"Be The King Of Christmas" menyemarakkan musim cuti dan Hari Natal dengan berbagai pilihan hadiah menarik daripada The Body Shop








