Skip to content

PENGADILAN YANG SAKSAMA

Kongsikan artikel ini

writers_profile_picAPRIL 2015

KISAH HIDUP SEBAGAI AHLI MINORITI YANG BERAGAMA
Oleh Ali Imran K.

Semenjak tahun baru, aku berhijrah buat sementara waktu ke Auckland menuntut ilmu. Perpindahan ini sesuatu yang sudah lama dirancang, tetapi kini barulah berbuah hasilnya.

Auckland kota terbesar di New Zealand. Percaya atau tidak, lebih ramai penduduk tinggal di sini berbanding dengan seluruh pulau selatan. Aku menyewa kamar tingkat paling atas sebuah pangsapuri. Dari jendela ku, kota raya ini terbentang luas. Tetapi yang lebih menakjubkan adalah pementasan waktu senja di kala hari yang jelas. Langit di ufuk barat seakan-akan terbakar – menyala ia dengan rona-rona merah, jingga dan keemasan.

Teman-teman seangkatan ku semuanya berasal dari sini. Walaupun begitu, kami semua pantas sekali akrab dan bisa dibawa bercanda. Sebelum tamat pengajian, seorang teman ku menyusul agar kita semua mendapatkan tattoo kenang-kenangan. Aku memberitahunya, aku tidak mampu menuruti hasratnya itu kerana aku beragama Islam. Seorang lagi teman, gadis yang dipenuhi tattoo bertanyakan kepada ku, “Are you religious?

If you’re asking if I believe in God, then the answer is yes, I do,” jawabku. Dia memandang ku sinis. Menoleh dia ke arah teman-teman yang lain lantas menyebut, “Well, I have an imaginary friend too but I don’t call him God,” disambung tawa daripada beberapa orang. Aku cuma tersenyum sahaja dan menukar topik serta-merta. Ini kerana aku tidak perlu menjelaskan diri ku kepada mereka yang sudah tertutup fikirannya.

Hubungan aku dengan Tuhan adalah suatu pengalaman peribadi yang aku rasakan setiap kali melangkah ke dalam laut buat berselancar.

Dalam perjalanan pulang, aku terfikir akan kata- kata teman ku itu tadi. Berbanding dengan kebanyakan individu yang beragama, aku tidak pernah merasakan seperti tugas ku untuk menyebarkan kepercayaan ku. Hubungan aku dengan Tuhan adalah suatu pengalaman peribadi yang aku rasakan setiap kali melangkah ke dalam laut buat berselancar. Hubungan itu penuh dengan rasa kasih, kemaafan dan rendah diri daripada pihak ku.

Bukan masalah ku jika orang lain percaya atau tidak akan kepercayaan ku. Aku juga menghormati pendapat orang lain, meskipun mereka tergolong dalam golongan yang tidak percaya akan Tuhan langsung. Asalkan mereka menghormati akan kepercayaan ku, itu sudah cukup memadai. Jadi mengapa tanpa diundang, teman ku itu tadi mempersendakan prinsip diri ku? Aku membiarkan dirinya sahaja kerana mungkin usianya yang muda membuatkan dia merasa dirinya sahaja yang betul. Sebagai yang tua, aku mengalah.

surfer_point

Dalam perjalanan pulang, aku terfikir akan episod itu lagi. Seringnya kita melihat orang fanatik agama yang memperkecilkan sang atheist. Kata mereka, atheist akan ke neraka, dihukum kerana enggan menerima kehadiran Tuhan. Tetapi kali ini giliran ku pula disindir kerana mempunyai pegangan hidup. Persoalannya, walau di pihak mana pun kita berada, mengapakah kita masih mengadili sesama kita berdasarkan kepercayaan masing-masing?

Kian hari aku melihat kebanyakan masalah di dunia bermula daripada perselisihan faham antara dua puak yang merasakan kepercayaan mereka lebih layak atau lebih benar daripada kepercayaan orang lain. Oleh kerana terlalu ekstrem, mereka sanggup menindas dan membunuh atas nama Tuhan. Aku tidak percaya ada satu pun agama di dalam dunia yang menggalakkan pembunuhan. Kebanyakan waktu, penganut agama itu yang keterlaluan.

Tetapi berbalik kepada teman ku tadi dan situasi kami. Secara umumnya, dia seorang yang ramah dan sanggup membantu teman-teman dalam kesusahan. Dia juga seorang yang berpendapat dan kadangkala terlalu kuat untuk kebaikan dirinya sendiri, seperti mana yang aku saksikan. Jadi apakah adil buat aku menyimpulkan personaliti dan sifatnya berdasarkan insiden yang mungkin dia sendiri tidak sedar akan impaknya?

Pada pendapat ku, tidak ada manfaatnya jika aku terlalu mudah tersinggung dengan segala kata orang lain. Terus, mama ku juga pernah berkata, jangan mudah sangka buruk terhadap orang. Tetapi andainya, setelah lama berkenalan dan perangai teman ku ini begitu menjengkelkan, aku masih jua tidak akan bertikam lidah, berhadapan dengan konfrontasi. Aku akan memilih untuk menjauhkan sahaja diri daripada bahana tenaga negatif kerana kelak nanti akan menimbulkan unsur-unsur yang sama dari dalam diri kita.

Kita juga harus mengelakkan daripada merasakan begitu gah dan besar kepala akan kepercayaan kita sendiri.

Aku melihat ketidakpercayaan teman ku ini adalah kepercayaannya, andainya anda memahami maksud ku. Jadi kiranya itu pegangan hidupnya, kita harus menghormati. Dan sebanyak mana kita menghormati mereka, begitu jugalah seharusnya layanan mereka terhadap kita – golongan yang beragama. Hanya kerana dia melandaskan kehidupannya tanpa agama, tidaklah bererti dia seorang yang jahil dan zalim. Ingat, bukan semua manusia yang menggelar diri mereka itu kononnya beragama baik. Kita harus berhenti mengadili sesama kita berdasarkan kepercayaan atau ketidakpercayaan kita.

Kita juga harus mengelakkan daripada merasakan begitu gah dan besar kepala akan kepercayaan kita sendiri. Jangan memperkecilkan kepercayaan orang lain andainya itu sahaja yang mendorong mereka melangkah hari demi hari. Siapakah kita, manusia yang sering melakukan kesilapan untuk memberitahu orang lain akan kesahihan atau kebenaran kepercayaan mereka? Dan bukan sahaja dengan mereka yang berlainan agama, tetapi jua dengan mereka yang seagama tetapi berlainan amalan. Pokoknya anda semua di bawah satu naungan yang sama.

Fikirkan dahulu, adakah tingkah laku mereka sengaja menyakiti orang lain? Jika tidak, walaupun anda tidak semestinya setuju dengan apa yang dilakukan, itu bukan urusan mu. Mungkin aku pernah menyentuh isu ini dahulu, tetapi dengan apa yang telah berlaku kepada diri ku baru-baru ini, mungkin ada baiknya aku membangkitkannya kembali. Ini sebagai peringatan bukan sahaja pada anda semua tetapi pada aku juga. Mungkin kiranya aku menjadi contoh dan memimpin melalui teladan, teman ku ini akhirnya akan percaya. Siapa yang tahu?