Skip to content

SALAHKAH LELAKI BERMEKAP, DAN KENAPA TIDAK?

Kongsikan artikel ini

Bulan Februari yang lalu, media sosial dan saluran berita antarabangsa seperti CNN dan Daily Mail UK mula gamat dan kecoh pabila satu tutorial video melibatkan anchorman, Bob Herzog menjadi tular seluruh dunia. Langsung menaikkan nama Herzog sebagai ikon baru media sosial. Isi kandungan videonya? Bob Herzog, 44, bapa kepada 5 orang anak, berkongsi tip peribadinya memakai mekap sebelum beliau ke udara.

Bertugas sebagai salah seorang peneraju utama rancangan Good Morning Cincinnati sejak tahun 2005, Herzog memang sudah dikenali di kalangan penontonnya dengan gelagat lucu dan perwatakan mesranya. Yang sering membuat laporan berita dalam format parodi lagu-lagu masa kini bersama rakan-rakan kerjanya. Tika itu, audiens Herzog kecil sahaja, jarang sekali boleh mencecah sehingga 10 ribu Views.

Namun, sejak berkongsi siri tutorial bersolek yang diberi judul ‘Wake Up And Makeup!’ bermula Januari tahun ini di akaun Facebook-nya, populariti Bob Herzog mendadak naik sehinggakan mampu mencatat sebanyak 5.7 juta Views, dengan 73 ribu Shares dan 63 ribu Likes untuk videonya! Baik para peminat mahupun rakan-rakan industri, ramai yang memuji keterbukaan dan telatah Herzog yang menghiburkan dengan cara bersoleknya yang agak ‘kasar’ dan selamba. Hinggakan ada yang memberi komen membina selain daripada mereka yang mencuba sendiri tip-tip Herzog dengan jayanya.

Tidak dinafikan, untuk lelaki yang bekerja dalam industri hiburan, amalan bersolek itu sudah menjadi tuntutan kerja yang normal. Malah, awal bulan April, pelakon Nazim Othman pula dilihat memuatnaik video di Instagram di mana beliau memasang sendiri mekap untuk drama bersiri Monalisa. It’s nothing new in show business. Tapi jika dikaji trend semasa, ramai pakar-pakar industri telah meramalkan bahawa tahun 2018 bakal melihat kaum lelaki semakin terbuka untuk memakai mekap. Sejauh manakah kesahihan ramalan ini?

MEMPERBAIKI CACAT-CELA

Industri kecantikan sebenarnya sudah lama mahu memancing kaum lelaki sebagai klien. Biarpun syarikat kosmetik telah mula merekrut kaum Adam sebagai duta mereka (James Charles untuk CoverGirl, 2016 dan Manny Gutierrez untuk Maybelline, 2017), secara realistiknya, mereka tidaklah mengharapkan lelaki heteroseksual untuk terus beranikan diri bergincu merah dan bermaskara biru. Sungguhpun pasaran sebegitu wujud untuk lelaki yang lebih artistik atau punya identiti jantina yang fluid, rata-rata rangkaian alat solek yang mahu diajukan kepada konsumer lelaki lebih bersifat neutral; dengan tujuan praktikal untuk menegaskan look yang tampak natural dengan menyembunyikan cacat-cela atau meratakan tona kulit, misalnya. Seperti yang diamalkan oleh Bob Herzog dan Nazim Othman.

 

Renung balik satu dekad yang lalu, pabila pereka Jean Paul Gaultier mengemukakan rangkaian mekap khusus lelaki, yakni Monsieur. Produknya terdiri daripada bronzer, concealer, celak dan gel kening. Dalam tahun yang sama, Yves Saint Laurent memasarkan semula concealer ikonik mereka, Touche Eclat dengan jenama L’Homme untuk memikat konsumer lelaki. Tujuan produk-produk ini lebih cenderung kepada memperbaiki melalui solekan, bukan untuk ‘bertata rias’. Akan tetapi, sungguhpun menerima sokongan positif daripada komuniti fesyen, usaha awal itu gagal untuk memercikkan suatu revolusi berkaitan keterampilan lelaki.

Namun, sekarang sudah 2018. Dan sejak dua tahun kebelakangan ini, enjin gerakan mekap untuk lelaki seolah-olah kembali bertenaga. Bermula dengan perlantikan Charles dan Gutierrez selaku duta lelaki jenama kosmetik, sikit demi sedikit lelaki semakin terbuka untuk bereksperimen dengan alat solek.

Manny Gutierez

Kerana attitude konsumer semakin berubah. Antara faktor perubahan ini ialah pengaruh media sosial yang semakin kuat bernyawa dan budaya swafoto yang tidak terlihat penghujungnya. Pengguna bukan sahaja dahagakan perhatian, mereka mahukan pengiktirafan untuk portret mereka dalam bentuk Likes dan komen yang memuja kalau tak pun memuji. Dan kepuasan mereka hanya boleh dipenuhi dengan wajah yang tampak sempurna.

Mungkin segala cacat-cela boleh disorok di sebalik ajnas filter yang disediakan, tanpa perlu bermekap. Namun Lucy Atkinson, jurucakap jenama MMUK yang kini punya 40 produk kosmetik khusus lelaki, percaya, “memang dulu lelaki cukup berpuas hati dengan filter dalam platform media sosial untuk menjadikan mereka tampak sempurna. Tetapi kini mereka lebih terbuka untuk pakaikan ‘filter’ sepanjang hari (di luar media sosial) dengan menggunakan mekap.”

Sebagai contoh, YouTuber popular, Chris Oflyng, 21 tahun. Oflyng yang punya 1.1 juta pengikut YouTube mengaku memakai alat solek untuk rakaman videonya akibat rasa low self-esteem hasil daripada wajahnya yang menggerutu. Wartawan majalah GQ, Sean Hotchkiss yang mengalami kondisi akne sistik pula berkongsi dengan para pembacanya akan keajaiban suatu concealer, yang dipelajarinya daripada seorang bekas teman wanita.

Chris Oflyng

Tidak lupa juga selebriti siri realiti Geordie Shore, Gaz Beadle, 30, yang baru menyambut kelahiran anak pertamanya awal tahun ini. Beadle tak merasa segan pun untuk berkongsi rutin bersoleknya dengan penonton MTV. “Sebagai lelaki, kita sebenarnya tak menyangka kita akan bermekap. But I swear to God it is the best thing in the world!” akui Beadle. “Sedikit concealer untuk kawasan bawah mata, sedikit bronzer and you look amazing!” Akan tetapi, mungkin hujah paling signifikan berkaitan keberkesanan seorang lelaki memakai alat solek di era moden ini ialah berita pada Ogos 2017 yang menyatakan Emmanuel Macron telah berbelanja sehingga USD30,000 sebagai upah jurusolek peribadi sepanjang tiga bulan pertama Macron berkhidmat sebagai Presiden Perancis! Lelaki nombor satu Perancis pun berharap pada solekan untuk tampil sempurna di mata dunia.

MAKEUP AS SKINCARE

Dengan lebih ramai lelaki tampil ke depan untuk berkongsi hubungan jujur mereka dengan mekap, jenama-jenama fesyen dan kecantikan pun semakin gigih menawarkan produk-produk kosmetik khusus lelaki. Dilaporkan, penjualan BB Cream – yang boleh berfungsi sebagai pelembap, primer, SPF, rawatan kulit, concealer dan bedak asas – di kalangan lelaki semakin meningkat. Malah, Lab Series For Men sudah punya rangkaian BB Cream sendiri. Rangkaian grooming daripada Tom Ford kini sudah berkembang untuk merangkumi bronzer, concealer dan gel kening. Tutorial video berkaitan efek mekap semulajadi untuk lelaki tajaan ASOS pula telah menjana 758 ribu Views di lama Facebook mereka.

Jelaslah penerimaan lelaki Amerika Syarikat dan Eropah terhadap mekap semakin positif. Untuk memahami realiti ini dengan lebih cekap, mungkin kita harus melihat ke Korea Selatan, di mana komuniti lelaki mereka amat terbuka pada konsep alat solek. Ini kerana mereka tidak melihat produk kosmetik itu sebagai mekap – mereka melihat ia sebagai skincare, yakni sebahagian daripada rutin penjagaan kulit. Yang sememangnya punya tujuan praktikal untuk menyembunyikan masalah kulit supaya penggunanya berasa lebih selesa dengan penampilan diri.

Dalam erti kata lain, dalam konteks ini, tujuan mekap untuk lelaki bukanlah untuk merubah rupa anda semata. Tetapi merubah perasaan anda terhadap diri sendiri, menjadi lebih konfiden untuk berdepan dengan dunia yang sememangnya judgmental. Jadi, nak malu apa?

Oleh Aziz Draim, Editorial GL

By Wan Firdaus
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

10 FAKTA TENTANG MOVEMBER BOLEH SELAMATKAN NYAWA ANDA

Bacaan Lanjut

LEXIS HIBISCUS PORT DICKSON MENUTUP TIRAI 2023 DENGAN PENUH MERIAH

Bacaan Lanjut
makanan Lelaki

5 MAKANAN YANG LELAKI PERLU ELAK UNTUK ZAKAR LEBIH KUAT

Bacaan Lanjut

STREET PIZZA MILIK GORDON RAMSAY KINI DIBUKA DI SUNWAY PYRAMID

Bacaan Lanjut
Ruark

SISTEM MUZIK REVOLUSIONER SIRI 100 RUARK MENGHUBUNGKAN ANDA DENGAN MUZIK

Bacaan Lanjut
10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA

10 SELEBRITI WANITA YANG MELAMAR PASANGAN HIDUP MEREKA

Bacaan Lanjut