Skip to content

Tragedi Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Ragut 23 Nyawa, Cekup 7 Remaja

Kongsikan artikel ini

Satu negara meratapi korban kebakaran di pusat tahfiz di ibu kota dan kemudian menelan pahit kerana ia angkara khianat remaja yang ingin menuntut dendam.

Sedih bertukar marah. Tragedi tahfiz menjadi isu lantang warga Malaysia sejak beberapa hari ini. Mulanya kita meratapi kehilangan 21 anak tahfiz serta dua guru mereka. Kini peristiwa ini membelok ke sebuah kisah ngeri yang bakal mengupas realiti menggerunkan.

Hening subuh Khamis itu kala azan berkumandang, begitu juga api sedang marak di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di lorong padat Dato Keramat. Hari itu apabila ramai antara kita menerima berita kebakaran dari grup whatsapp masing-masing atau update di laman Facebook, semua berharap tiada kemalangan jiwa berlaku. Di benak masing-masing ada banyak spekulasi dan satu lagi pusat tahfiz terbabit lagi. Sejak pagi menanti berita perkembangan terkini, satu per satu media mengemaskini situasi.

Bagai gugur jantung bila korban disahkan pelajar, bukan seorang dua tetapi lebih dari 20 nyawa yang tidak dapat diselamatkan. Media utama yang gigih melaporkan serta mencari apa jua berita di lokasi turut menemui keluarga serta mangsa yang terselamat. Sejak itu satu negara menitiskan air mata, mengenang nasib anak-anak syurga. Surat akhir buat ayah ibu, kelakuan luar biasa bila pulang beraya, tiga beradik yang syahid bersama dan balu yang ditinggalkan pengantin baru, menjadikan mendung Jumaat lalu lebih sedih pilu.

Walau punca kebakaran masih belum disahkan, aspek keselamatan premis menjadi bualan hangat. Begitu juga dengan kecuaian pusat tahfiz yang buat ramai mula menuding jari. Bukan akibat litar pintas, tetapi sesuatu yang lebih mengerikan bakal dirungkai pihak berkuasa. Semua mahu seseorang atau sesiapa saja bertanggungjawab. Kesabaran setiap yang punya hati mula membengkak bila ada unsur khianat mula melakar sebuah misi mencari hingga ke akar umbi.

Semalam penantian misteri dua tong gas kuning menjadi tanda soal sejak hari kejadian sudah terjawab. Juga bantuan paling berharga kamera litar tertutup di bangunan bersebelahan menjadi petunjuk. Kelibat seseorang memanjat pagar dan merangkak dalam premis mula tular. Masyarakat makin tak sabar. Pihak berkuasa terpaksa bersuara dengan segera. Di penghujung hari  dalam sebuah sidang media, polis sahkan tujuh anak muda adalah dalang kebakaran kerana ingin membalas dendam.

Begitu mudah mereka mencari jalan kerana tidak puas hati dengan  teguran dan ejekan oleh pelajar tahfiz. Bersama merancang, keberanian disogok oleh khalayan kerana enam darinya positif dadah. Netizen jadi marah, tiada siapa yang tidak mahu memberi pandangan mengenai selekoh baru kisah tragis ini.

Ya, selekoh kisah ini menuju ke sebuah lorong gelita. Begitu gelap dengan berita duka anak warga kita yang hilang perikemanusiaan dan tanpa ragu memilih laluan jenayah. Mungkin perselisihan faham antara mereka dengan pelajar tahfiz tidak boleh dibendung lagi dengan kesabaran. Apabila hilang pertimbangan dek kerana dadah durjana, pelan dendam jadi pilihan.

Status di semua laman sosial selepas sidang media makin marak dengan amarah. Semua mahukan keadilan walau ia mungkin kes juvana. Geram dan ramai yang masih tidak boleh menghadam, liputan media kencang menyalur maklumat. Zaman siber membolehkan sesiapa saja jadi wira dan pelapor paling efisien. Semua berlumba mahu berkongsi info serta pandangan kerana merasakan ia kewajipan menegakkan keadilan walau salurannya tidak bersesuaian.

Kini asuhan keluarga remaja yang bergelumang dengan dadah dan jenayah jadi wadah debatan semua. Mengapa remaja di tengah kota yang tidak bersekolah ini terjerumus dalam onar begini. Malahan lokasi ini tidak jauh dari komuniti elit berpagar tinggi. Begitu mudah akses muda mudi liar ini kepada dadah dan berkeliaran awal pagi sudah norma bagai tak perlu ditegur lagi.

Ada netizen yang bersuara, jika mereka orang susah bagaimana mampu melayan nafsu syabu atau ganja serta ada motosikal untuk ke sana ke mari. Sekali lagi peranan ibu bapa hingga anak mereka luar kawalan diketengahkan. Masyarakat menuding kepada punca semua ini bermula dari didikan keluarga mahupun situasi domestik yang tidak sempurna buat remaja ini lebih senang habiskan masa bersama teman yang salah.

Kita tidak tahu mengapa mereka jadi begini. Kemusykilan ini buat netizen lebih lancang mencanang bermacam teori. Pelbagai pandangan mula membanjiri kotak komen laman sosial. Begitu pedas untuk kita telan kerana mereka juga anak bangsa yang kita gagal lindungi.

Perihal dadah juga menjadi isu yang makin parah dan hikmahnya ia muncul semula setelah sekian lama diketepikan saja. Mungkinkah suspek seawal usia 11 tahun sudah terdedah kepada penyakit sosial ini. Bagaimana dengan anak-anak kita pula? Adakah mereka turut terdedah dengan dadah semudah membeli mercun di musim raya? Bahaya tetapi masih boleh diperolehi jika keseronokan yang diingini.

Dalam masa tiga hari, pengajaran yang kita tuai dari tragedi ini cukup menginsafkan. Banyak perkara yang menjadi iktibar. Isu keselamatan asrama pelajar, sokongan kerajaan buat pusat tahfiz, pemantauan ibu bapa ke atas anak-anak, tanggungjawab pengurusan pusat pendidikan persendirian, sikap orang ramai di alam maya yang berlumba-lumba mahu jadi yang pertama berkongsi eksklusif dan juga isu yang timbul semula sejauh mana kesungguhan kita memerangi dadah durjana.

Sama-samalah kita pikul tanggungjawab untuk tekad belajar dari kesilapan dan kealpaan kita sebagai masyarakat. Banyak hikmah dan juga penyesalan yang boleh dibaiki supaya ia tidak berulang lagi.

Sumber: jelita.com.my

Foto: TheStar

By Izza Ibrahim
Kongsikan artikel ini

Artikel Yang Berkaitan

COACH PLAY: DESTINASI TRENDI TERBARU DI KUALA LUMPUR YANG WAJIB KUNJUNGI

Bacaan Lanjut

CARA MUDAH MENJAGA RAMBUT BERUBAN

Bacaan Lanjut

5 TREND GAYA RAMBUT LELAKI 2024

Bacaan Lanjut
10 TIPS PENJAGAAN KESIHATAN MENTAL UNTUK LELAKI

10 TIPS PENJAGAAN KESIHATAN MENTAL UNTUK LELAKI

Bacaan Lanjut

10 MANFAAT KESIHATAN PENGGUNAAN MAINAN SEKS UNTUK LELAKI

Bacaan Lanjut
5 DRAMA LAKONAN MIERUL AIMAN DIGEMARI RAMAI

5 DRAMA LAKONAN MIERUL AIMAN DIGEMARI RAMAI

Bacaan Lanjut