Skip to content

18 SELEBRITI TERKENAL YANG MENINGGAL DUNIA PADA 2023

18 SELEBRITI TERKENAL YANG MENINGGAL DUNIA PADA 2023

Kongsikan artikel ini

Perjalanan tahun 2023 bagaikan roller coaster, dan salah satu titik terendah adalah apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada selebriti kesayangan.

Pemergian beberapa bintang pujaan ramai sepanjang 12 bulan lalu amat mendukacitakan. Namun legasi mereka akan terus diingati peminat pada tahun-tahun yang akan datang.

GL kongsikan beberapa selebriti popular yang meninggalkan kita pada tahun ini

 

1. Lee Sun Kyun, 48

Saat 2023 hampir melabuhkan tirainya, dunia hiburan dikejutkan dengan berita kematian aktor Parasite ini. Lee Sun Kyun ditemui tidak bernyawa dalam kereta miliknya di sebuah taman pada 27 Disember, disyaki membunuh diri. Isterinya, aktres Jeon Hye Jin membuat laporan polis tentang kehilangannya selepas menemui sepucuk surat menyerupai wasiat yang ditinggalkan. Aktor ini didakwa mengalami tekanan selepas dituduh mengambil bahan terlarang dan berlaku curang terhadap isterinya.

 

2. M Daud Kilau, 85 Tahun

Raja Gelek dan bintang legenda ini meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak pada 18 Disember disebabkan jangkitan kuman dalam darah. Menghidap penyakit kencing manis dan masalah pendengaran, tahap kesihatannya dilaporkan merosot sejak enam tahun lalu.

 

3. Ibnor Riza, 62 Tahun

Pelantun lagu Meneka Dalam Kesamaran ini disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada awal tahun. Selepas beberapa bulan menjalani rawatan, Ibnor Riza menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia pada 17 Disember.

 

4. Andre Braugher, 61 Tahun

Aktor yang terkenal dengan peranannya dalam siri komedi Brooklyn Nine-Nine ini meninggal dunia pada 11 Disember. Punca kematiannya disebabkan oleh kanser paru-paru.

 

5. Suhaimi Saad, 43 Tahun

Industri hiburan berduka dengan pemergian mengejut penyanyi ini pada 15 November lalu. Suhaimi Saad dilaporkan mengalami jangkitan pada organ dalaman dan terpaksa ditidurkan. Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru akibat jangkitan kuman di paru-paru.

 

6. Matthew Perry, 54 Tahun

Selebriti yang berjaya memikat hati penonton menerusi watak Chandler Bing dalam siri Friends meninggal dunia di kediamannya pada 28 Oktober. Matthew Perry sudah pun tidak bernyawa sewaktu ditemui dalam jakuzi miliknya. Punca kematiannya disebabkan oleh kesan akut ketamin. Faktor lain yang menyumbang adalah lemas, penyakit arteri koronari dan kesan buprenorphine.

 

7. Badrul Muhayat, 55 Tahun

Pelakon Gerak Khas ini menghembuskan nafas terakhir pada hari yang sama dengan Matthew Perry. Badrul Muhayat meninggal dunia dalam tidur pada 28 Oktober akibat serangan jantung di sebuah inap desa di Pulau Pinang. Dia tidak menghidap penyakit kronik selain kencing manis yang dilaporkan stabil.

 

8. Michael Gambon, 82 Tahun

Pelakon Ireland-Inggeris yang juga bintang francais Harry Potter ini meninggal dunia pada 28 September. Dia disahkan meninggal akibat pneumonia atau radang paru-paru.

 

9. Angus Cloud, 25 Tahun

Pada usia begitu muda, pelakon yang terkenal dengan peranannya sebagai Fezco O’Neill dalam siri Euphoria meninggal dunia di kediaman keluarganya pada 31 Julai. Angus Cloud dilaporkan sukar menerima kematian bapanya beberapa hari sebelum itu dan ini mengganggu kesihatan mentalnya. Punca kematiannya disebabkan pengambilan dadah secara berlebihan.

 

10. Sinead O’Connor, 56 Tahun

Penyanyi dan aktivis kemanusiaan yang dikenali sebagai Shuhada’ Sadaqat menghembuskan nafas terakhir pada 26 Julai. Dia ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di kediamannya di London. Menurut keluarganya, penyanyi ini telah bertahun-tahun bergelut dengan masalah kesihatan mental. Dia disahkan menghidap gangguan bipolar kesan trauma zaman kanak-kanak akibat didera ibunya. Kesihatan mentalnya bertambah teruk selepas anak remajanya, Shane Lunny membunuh diri pada Januari 2022.

 

11. Coco Lee, 48

Akibat kemurungan, penyanyi Amerika Syarikat kelahiran Hong Kong ini membuat keputusan meragut nyawa sendiri. Coco Lee ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kediamanya oleh ahli keluarga. Dia dilaporkan mengalami depresi beberapa tahun kebelakangan ini namun keadaannya merosot secara drastik beberapa bulan sebelum kematiannya. Coco Lee meninggal dunia dalam koma di hospital selepas melakukan percubaan membunuh diri.

 

12. Rohana Jalil, 68 Tahun

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Jauh Terkenang ini meninggal dunia pada 20 Jun ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia. Rohana Jalil mengalami kebocoran usus dua bulan sebelum pemergiannya, yang menyebabkan kuman merebak beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang.

 

13. Tina Turner, 83 Tahun

selebriti meninggal dunia 2023

Dilaporkan menghidap penyakit bronkitis, radang paru-paru dan pneumothorax, Ratu Rock ‘n’ Roll ini meninggal dunia pada 24 Mei selepas menderitai sakit berpanjangan. Tina Turner disahkan menghidap kanser usus pada 2016 dan menjalani pemindahan buah pinggang setahun kemudian. Dia pernah diserang angin ahmar pada tahun 2013.

 

14. Ridzuan Hashim, 62 Tahun

selebriti meninggal dunia 2023

‘King’ dalam filem KL Gangster ini menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada 4 Mei lalu. Punca kematian Ridzuan Hashim adalah disebabkan serangan jantung.

 

15. Moonbin, 25 Tahun

selebriti meninggal dunia 2023

Anggota kumpulan ASTRO ini ditemui tidak bernyawa di kediamannya pada 19 April oleh pengurusnya. Dia dilaporkan membunuh diri.

 

16. Lance Reddick, 61 Tahun

selebriti meninggal dunia 2023

Aktor John Wick menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung pada 17 Mac lalu. Dia sudah pun meninggal dunia sewaktu dijumpai di kediamannya di California.

 

17. Na Chul, 36 Tahun

selebriti meninggal dunia 2023

Aktor Vincenzo ini meninggal dunia secara tragis pada 21 Januari. Nafasnya terhenti ketika sedang menjalani prosedur perubatan kritikal di sebuah hospital. Menurut laporan, Na Chul terpaksa melalui pembedahan disebabkan komplikasi kesihatan yang dialaminya sejak sekian lama.

 

18. Lisa Marie Presley, 54

selebriti meninggal dunia 2023

Penyanyi-komposer yang merupakan anak tunggal Elvis Presley ini dimasukkan ke hospital setelah mengalami serangan jantung dan menghembus nafas terakhir pada 12 Januari. Enam bulan selepas kematiannya, laporan bedah siasat mengesahkan dia meninggal dunia akibat gangguan pada usus kecil, kesan pembedahan bariatrik untuk menurunkan berat badan.

 

Pautan berkaitan: BARISAN ARTIS HOLLYWOOD YANG MENINGGAL DUNIA SEPANJANG 2022